Tuesday, November 24, 2009

SEJAUH MANA NARUMI BERKORBAN?


Sejauh mana saya berkorban?


Saya berkorban untuk siapa?


Saya berkorban untuk apa?


Saya berkorban kerana apa?


Ikhlaskah saya dalam berkorban?


Semua jawapan saya pulangkan kepada

diri, saya tanyakan pada hati. Saya renung

kejadian insani, semoga PENGORBANAN

saya berbaloi, hanya kerana saya hambaNYA,

DAMBA CINTANYA.


Bukan kerana glamour...


Bukan kerana pangkat...


Bukan kerana sanjungan...


Bukan kerana paksaan...


Tapi kerana itu yang saya WAJIB jalankan..


Sebagai hambaNYA yang diciptakan.


SALAM EIDUL ADHA 1430H, semoga ALLAH menerima pengorbanan kita semua, amin..!

Monday, November 23, 2009

SEMOGA TABAH, USTAZ NASA!

Ustaz Nasaruddin Stabil di IJN



Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Bachok, YB Ust Nasharudin Mat Isa kini dilaporkan stabil dan sedang mendapat rawatan lanjut di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.Menurut doktor yang merawat beliau, keadaannya tidak begitu membimbangkan. Beliau tidak mengalami masalah serangan jantung. Mungkin keletihan disebabkan tidak cukup rehat menyebabkan otot di bahagian dada beliau mengalami kesakitan.

Nasharudin kini ditahan di IJN untuk mendapat rawatan lanjut. Pagi tadi beliau dilaporkan mengalami kesakitan di bahagian dada ketika mengikuti sidang Parlimen dan di bawa ke IJN oleh ambulan kira-kira pada pukul 11:45 pagi.

http://penawarrinduku.blogspot.com

Catatan Narumi:Semoga Ustaz Nasa sentiasa diberi perlindungan oleh ALLAH, syafakallah ya sheikh!

Monday, November 16, 2009

MONOLOG SEORANG BLOGGER AMATUR....




Assalamualaikum....








  • Saya sibuk.....

  • Mood untuk berblog mengalami krisis penurunan....

  • Situasi fitnah dan huru-hara yang dicetuskan oleh sesetengah blogger yang tidak bertanggungjawab men'down'kan saya....

  • Masalah capaian internet yang masih belum bertemu titik penyelesaian....


Itulah kata hati, banyak disuluh dengan emosi saya yang bernama PEREMPUAN. Tapi logik akal saya menyanggah. Maka dalam 'perang emosi-logik' ini saya bertemu dengan bidasan dari akal saya, dimuhasabah melalui hati seorang Narumi...jawapannya:


  • Sesibuk manapun Narumi, blog adalah salah satu medium dakwah, berblog bukan untuk suka-suka, tapi tanggungjawab, bukan nak menunjuk tahu, tapi berkongsi dalam memberi dan menerima ilmu, sesibuk mana pun saya, seluruh jiwa ini milik ALLAH jua. Maka mintalah dariNYA, Dambalah CintaNYA, agar saya dapat mengimbangkan semua ini...amin.

  • Mood itu milik ALLAH, naluri, perasaan, ilham, cetusan minda, apa jua dari diri seorang insan takkan berlaku tanpa izinNYA, maka mintalah agar ALLAH sentiasa memberi mood yang berkobar-kobar walau tika orang lain malap sekalipun..amin.

  • Dunia akhir zaman adalah dunia fitnah. Mohon juga padaNYA, ingat ayat-ayatNYA berkenaan dengan fitnah. "Jika datang seorang fasik kepadamu menyampaikan berita, maka selidikilah ia..."


  • Ha...yang keempat ini, saya cuma mampu berdoa dan berusaha moga2 ada keajaiban dalam urusan kewangan saya untuk beli gadjet ye, kalau ada yang sudi, kecil tapak tangan, stadium runtuh gong badak itu saya tadahkan..hehe.


Apapun, ALLAH Maha Mengetahui, wallahu'alam.



Saturday, November 7, 2009

DENGAN APA


Bagaimana harus saya nyatakan rasa bersyukur ini? Bilamana ALLAH memakbulkan doa saya.
Dengan apa harus saya tunjukkan kegembiraan ini?

Bilamana 'mereka' yang dianggap bermasalah dalam PAS itu, ALLAH berikan peluang untuk masih bersama dalam saf pimpinan ISLAM ini?

Yang paling mudah, alhamdulillah. Segala puji saya kembalikan kepada ALLAH, Tuhan Yang Maha Mengerti segala keributan yang dirasai oleh hambaNYA. Yang paling 'mencabar' adalah bagaimana untuk menterjemahkan rasa syukur itu dalam gerak kerja saya akan datang? Mohon petunjukNYA jua...

Biarpun hati saya terguris dengan tindakan 'kurang sopan' Prof Aziz Bari yang menyerang sebelum menerang, saya bersyukur kerana ALLAH memahami apa yang tersirat di lubuk hati
saya, hambaNYA yang lemah ini.

Ujian tidak akan pernah berhenti selagi kita tidak menutup mata, malah sebelum tibanya hari kiamat. Langkah kita? Hadapi dengan kekuatan tarbiah yang diterima selama ini, perkemaskan ukhuwwah, serta sentiasa thabat dan mohon padaNYA!

Tolong doakan saya dan yang lain ya....?

Sunday, October 25, 2009

BERIKAN KEKUATAN


Ya ALLAH,

Penguasa Alam yang Maha Mengerti

Keributan yang sedang melanda hamba2Mu

Ampunilah segala dosa yang kami lakukan

Maafkan segala khilaf yang kami terlalaikan

Selamatkan kami dari derhaka

Dalam ketaatan memperjuangkan Ad-Din Mu

Kuatkanlah hati2 kami dalam perjuangan ini

Hindarilah kami dari sifat2 Nifaq yang membinasakan

Hanya Engkau sahaja Ya Rahman, Ya Rahim

Mampu melihara hati2 dan jiwa2 hambaMU ini

Kami mohon, perkenankanlah!

UMPH!

Pemuda Mesti Ada "umph"

1. Sejak sekian lama , kini perjuangan kita seperti ketiadaan "umph" . Bertugas dan bekerja dengan hambar . Terkadang dihambat rasa letih dan bosan .

2. Dulu perjuangan ini segar dengan ruh amal Islami dan diperkaya pula dengan pelbagai istilah dan gerakkerja amal jamaei , amal fardi dan amal ijtimaei .

3. Masih saya ingat , selain usrah saban minggu , jamaah kita hebat dengan tamrin di penghujung bulan dan 2 atau 3 kali dalam setahun akan ada aktiviti rehlah dan mukhaiyyam , namun segalanya kini hanyalah menjadi kenangan manis . Tiada lagi qiamulail dan muhasabah perjuangan di waktu dinihari bimbingan sang murabbi yang diberikan thiqah dan wala' tidak berbelah bahagi .

4. Ukhuwwah cukup erat dan intim . Sering sahabat seperjuangan menyapa kita dengan " Ana Uhibbuka fillah Ya akhi " sebaik memberi salam dan berpelukan menemukan pipi - pipi merah yang menahan getir perjuangan ini . Ziarah dan bertanya khabar menjadi rutin yang cukup halus kesannya kepada kita sesama jamaah . Menangis kita apabila mendapat khabar sahabat seperjuangan sakit atau ditimpa musibah .

5. Cepat kita menolak segala tohmahan yang cuba dilemparkan kepada sahabat seperjuangan . Nilai ukhuwwah antara kita sungguh mantap . Tak siapa mampu merobeknya dan tak mungkin lahir perasaan cemburu antara kita . Manakan tidak ..... Makan setalam , tidur sebantal dan musafir sekenderaan , bersulam doa rabitah yang diaminkan bersama sejurus selesai melazimi wirid al ma'thurat saban pagi dan petang .

6. Buku - buku haraki senantiasa di tangan , sementara bibir pula rajin melazimi usul isyrin agar lancar di lidah sesudah dihafal untuk menjadi kaedah dalam berjuang menyelesaikan kekusutan berfikrah . Tugasan dakwah dilaksana penuh dedikasi sebaik sahaja menghabisi kertas kerja dan amanat pimpinan dalam pertemuan - pertemuan bulanan seperti Liqa' Fikri atau seminar penerangan .

7. Semangat jihad berkobar - kobar , merasakan setiap gerakkerja jamaah biarpun di medan siasah adalah ibadah yang menghasilkan pahala . Ceramah para pimpinan banyak berkisar erti perjuangan atau pemantapan aqidah dan akhirnya barulah disudahi dengan perkembangan isu semasa . Audien menerima secara seimbang antara kesedaran isu semasa dengan fikrah dan aqidah perjuangan .

8. Timbul masaalah , segera kita cari naqib atau terus kepada pimpinan untuk mengatasinya. Masing - masing menutup masaalah dan aib saudara masing - masing kerana mengutamakan kekuatan jamaah dan tugas perjuangan yang lebih besar . Cepat melupakannya serta segera memaafkan . Masalah tidak menjadi kudis gatal kepada pejuang kerana ukhuwwah islamiyyah yang tebal segera merawatnya .

9. Mesyuarat dengan penuh mesra . Menghargai pandangan sahabat seperjuangan malah sering mendahulukan pandangan sahabat dan pimpinan sekalipun kita mempunyai pandangan yang berbeza . Rasa bangga apabila pandangan sahabatlah yang diterima dan fikrah perjuangan menjadi seia sekata . Walau berbeza dan berselisih pandangan sesama sendiri , tidaklah meninggi suara jauh sekali untuk memperbodohkan sahabat dan pimpinan sendiri . Mesyuarat menjadi pertemuan yang cukup menyeronokkan malah dinanti - nanti . Sebulan dirasakan setahun untuk bertemu kembali dengan sahabat seperjuangan .

10. Semua itu menjadi "umph" dalam perjuangan ini . Ia adalah nostalgia indah disemi pula oleh alunan nasyid jihad dan perjuangan . Sekali sekala asma'ul husna memecah kesunyian dan menjadi muqaddimah kepada setiap pertemuan dan mesyuarat .

11. Sedihnya hari ini rasa "umph" itu telah hilang . Zaman semakin canggih malangnya ukhuwwah semakin dhoif . Berjuang seharian terasa bagai berjalan di atas bara api . Nak bercakap rasa tak kena , tak bercakap rasa salah . Jumpa sahabat hanya mengangguk kepala , kalau sempat pun sekadar bersalam tangan . Rasa sukar untuk mendekap pipi , sebab masing - masing sibuk memburu waktu entah nak kemana .... kalau peluk semua ahli mesyuarat , terpaksa mengambil masa yang agak lama . Ada yang rasa janggal dan geli geleman .....

12. Makan secara layan diri kemudian berasingan melayan perasaan . Memandang sahabat seperti musuh . Ya ... musuh dan saingan politik kerana kita tidak lagi berjamaah tetapi berpolitik . Menyertai PAS bukan lagi menyertai Gerakan Islam tetapi menyertai parti politik yang berjuang atas nama Islam .

13. Hadhir mesyuarat seperti menghadhiri parlimen untuk berdebat dengan musuh . Pantang keluar pandangan berbeza ditingkah segera agar ditarik balik kenyataan layaknya seperti diparlimen bukan dalam mesyuarat yang penuh kasih dan sayang . Tidak lagi bermula dengan al mathurat dan doa rabitah . Asmaul Husna tidak kedengaran langsung. Jiwa menjadi kasar dan keras . Mudah terasa dan sangat sensitif yang menghela ke arah sengketa .

14. Adab bermesyuarat dan mengemuka serta berbeza pandangan telah hilang entah di dalam buku haraki mana yang tidak lagi dibaca kini . Nak baca macam mana , usrah pun sudah 5 tahun tidak hadhir . Terma - terma jamaah yang selalu disebut dalam usrah dulunya kini UMNO pula yang pakai kerana kita telah tidak lagi menggunakannya seperti wehdatul fikri , wehdatul amal dan sebagainya .

15. Mesyuarat sebelum mesyuarat , mesyuarat dalam mesyuarat dan mesyuarat lepas mesyuarat sudah jadi rutin . Akhirnya tidak tahu keputusan mesyuarat mana sebenarnya yang original dan valid untuk dilaksanakan sebagai kata putus . Sebab , sebelum masuk mesyuarat , perkara yang nak dibincangkan sesama kita sahabat seperjuangan sudah dibincang oleh entah komiti mana lalu masuk membawa keputusan yang telah direncanakan . Jika putus sesuatu pula dalam mesyuarat itu , ia seperti boleh dirombak oleh mesyuarat yang bakal menyusul selepas mesyuarat tersebut biar pun hanya di kedai kopi .

16. Memang aneh cara kita berjamaah di zaman moden ini . Hilang "umph" dan yang timbul ialah rasa curiga mencurigai antara satu sama lain . Suasana senantiasa tegang dan panas . Bila - bila masa boleh mencetus perbalahan . Masing - masing dok tunggu tuning point sebagai masa nak bertindak .

17. Hati kita menjadi jauh walau kita sepejabat . Sorotan mata bila memandang sesama kita kering kontang tanpa nilai ukhuwwah dan kasih mesra . Seperti merenung musuh , kalau tidak pun seperti menaruh rasa jengkel dan benci sesama kita . Ada sahaja yang tidak kena dan hati senantiasa tidak puas .

18. Rasa hormat sesama kita sahabat seperjuangan semakin pudar semangat khidmat kepada jamaah juga semakin luntur . Bertindak dalam paksa jangan sampai orang kata kita tidak buat kerja . Kemanisan dalam melakukan kerja dan tugas jamaah tidak terasa , kalau pun masih terasa hanya sekadar manis - manis buah jambu separuh masak atau sekadar manis gula Melaka .

19. Terma - terma asas perjuangan Islam seperti jihad , negara Islam , hudud , mukhayyam tarbawi , usrah , harakah Islamiyyah , naqib , ukhuwwah fillah dan lain - lain kini sukar untuk dilafaz kepada umum . Kalau menyebutnya juga akan dikatakan tidak bijak , tidak kena timing , keterlaluan , non muslim tidak akan mengundi kita , kolot dan macam - macam lagi sms akan masuk menempelak .

20. Kini "umph" dalam berjamaah dan berjuang tidak terasa lagi . Seperti menghirup Tom Yam yang tawar tanpa garam dan rencah . Habis semangkuk , perut boleh kenyang tetapi umphnya tiada . Bagaimanalah kita nak mengembalikan semula umph dalam perjuangan ini ?
Harapan saya , agar pemuda dapat menikmati semula umph tersebut . Untuk itu , pemuda mesti ada "umph" iaitu Usrah Mantap Pemuda Hebat [ UMPH ] .

http://episodeperjuangan.blogspot.%20com/

Saturday, October 24, 2009

KENYATAAN IKPNT TERHADAP TULISAN PROFESOR DR AZIZ BARI

Berikut adalah petikan kenyataan Institut Kajian Polisi PAS Negeri Terengganu (IKPNT) berkenaan tulisan Prof. Dr Aziz Bari yang disiarkan di dalam Sinar Harian semalam.
Institut Kajian Polisi PAS Negeri Terengganu (IKPNT ) tertarik untuk memberi respon terhadap satu penulisan Profesor Dr Abdul Aziz Bari, Pensyarah Undang-Undang UIAM, Gombak di dalam ruangan Perspektif Sinar Harian Isnin 19 Oktober 2009 di bawah tajuk “Pengajaran dari Bagan Pinang: Pas kena ambil langkah drastik lakukan reformasi kepimpinan”IKPNT mendapati bahawa penulisan tersebut tidak seimbang dan hujah-hujah yang digunakan tidak bertepatan, memandangkan beliau pada asalnya menyebut “sekadar hendak mengungkap beberapa perkara yang penting dari sudut perlembagaan khususnya dan sistem politik umumnya”.
Sepatutnya beliau banyak membicarakan kepincangan dalam PRK tersebut dari sudut undang-undang yang penuh dengan keganasan dan penipuan yang dilindungi oleh undang-undang. Pandangan terhadap keraguan proses undi pos, salahguna jentera kerajaan, ketelusan SPR dan rasuah patut diberikan pandangan dan penjelasan oleh beliau sebagai seorang ahli undang-undang.Tetapi, sebaliknya, beliau telah membicarakan perubahan kepimpinan yang mesti dilakukan oleh PAS secara drastik. Apakah kepimpinan PAS patut bertukar secara drastik selepas kekalahan di Bagan Pinang? Sedangkan Pas berjaya mengekalkan kemenangan dalam PRK Bukit Gantang, Manik Urai, Pengkalan Pasir dan merampas kerusi BN di Parlimen Kuala Terengganu. Dalam semua PRK tersebut, kepimpinan PAS adalah kepimpinan yang sama dengan PRK N.31 Bagan Pinang.
Umum juga mengetahui penyertaan Pas di Bagan Pinang disedari sukar untuk dimenangi atau sebagai “underdog” sebagaimana dikatakan oleh Pengarah PRK N.31 Bagan Pinang, YB Salahudin Ayub.Prof. Dr Aziz Bari telah berhujah secara tidak professional. Perlu difahami bahawa kepimpinan PAS adalah sebuah kepimpinan berjemaah, dan bukan hanya kepimpinan individu seperti yang disebut oleh beliau. Kepimpinan PAS adalah Kepimpinan Ulamak yang memikul tanggungjawab daripada amanah Allah S.W.T dan RasulNya, Muhammad S.A.W.Pemimpin-pemimpin PAS bertindak berdasarkan keputusan-keputusan yang diambil di pelbagai peringkat selaras dengan prinsip Syura yang dipakainya. Prof. Dr Aziz Bari hanya melihat PAS sebuah parti politik.
Sedangkan PAS adalah sebuah gerakan Islam yang bertanggungjawab dalam menguruskan semua polisi dan kegiatannya di bawah dasar kepimpinannya secara berjemaah.IKPNT mengharapkan Prof. Dr Aziz Bari meneliti dengan tepat keputusan-keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS dan Jawatankuasa PAS Pusat di dalam isu-isu yang berkaitan dengan kritikan beliau. Janganlah hanya menjeling kepada kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu dan mengatakan bahawa ini betul dan ini tidak betul sedangkan beliau sendiri tidak mendapat penjelasan rasmi daripada pihak yang berautoriti dalam PAS.
Inilah yang sepatutnya beliau lakukan sebagai seorang yang arif dalam bidang undang-undang.Kenapa beliau telah membuat satu persepsi yang tidak adil terhadap kepimpinan PAS dengan membahagikan kepada dua blok: pro-UMNO dan tidak pro-UMNO? Isu ini sepatutnya tidak timbul lagi kerana telah diberikan penjelasan mengenainya oleh pemimpin-pemimpin PAS. Adalah lebih bijaksana sekiranya komentar yang dibuat berlandaskan etika profesionalisme serta kefahaman yang benar terhadap PAS sebagai sebuah gerakan Islam.
Pemimpin-pemimpin PAS daripada dulu sehingga sekarang telah berjaya membuat perubahan politik dalam Negara, bahkan telah terbukti di kalangan pemimpin-pemimpin utamanya memainkan peranan di peringkat antarabangsa dalam memartabatkan Islam dan membela umat sejagat. Kenapa Prof. Dr Aziz Bari membuat penghakiman yang begitu mudah terhadap kepimpinan PAS?IKPNT percaya kepimpinan PAS bersikap terbuka untuk menerima teguran. Walaupun begitu, kita sepatutnya berhati-hati (hazar) agar tidak terperangkap dengan agenda musuh melemahkan Islam.
Selasa, 20 Oktober 2009.Kuala Terengganu.