Sunday, August 31, 2008

DIA DAH DATANG.....!


Usai sambutan Hari Kemerdekaan ke-51, datanglah si Dia yang menjadi dambaan setiap insan yang memahami malah cukup menghargai ciri-ciri istimewa yang dimiliki. Datangnya dia amat dirasai golongan yang dekat dengan ALLAH, sumber ketenangan mereka yang taat, pengalaman bagi yang ingin merasai penderitaan, malah 1001 lagi keistimewaan bisa dimiliki ketika mana bersama-sama dengannya tika ini. Si Dia yang dinanti sudah menjengukkan diri, tinggal lagi kita yang perlu melakukan sesuatu yang istimewa ketika berada bersamanya tika ini kerana hadirnya hanyalah sementara cuma.
Itulah bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang penuh keberkatan, rahmat malah paling utama daripada 11 bulan yang lainnya. Pahala yang sedia ada digandakan, doa yang baik akan diterima, malah didalamnya ada suatu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan, yakni Laitul Qadar. Bukan semua insan dikurniakan keistimewaan untuk melaluinya. Namun sama-samalah kita mohon kepada Allah agar diberi kesihatan dan kekuatan untuk melakukan amal ibadah dari awal hingga akhir Ramadhan dengan penuh iltizam dan istiqamah.


Datangnya juga merehatkan tubuh kita yang selama 11 bulan sebelum ini terus-terusan bekerja memproses makanan yang dimakan. Datangnya 'mewangikan' mulut kita yang insyaALLAH nanti di akhirat mudah-mudahan dibangkitkan dengan bau harumnya kasturi. Datangnya Ramadhan juga mudah-mudahan meningkatkan lagi stamina fizikal dan mental kita dalam urusan sehari-hari tanpa wujudnya alasan letih, malas, bosan dan sebagainya. Doakan agar semangat tentera Badar sentiasa menyerap kedalam diri meskipun kekentalan mereka memerangi golonngan musyrikin lebih hebat daripada kita yang selalu tewas bila berlawan dengan nafsu sendiri wahai Narumi....


Berbicaralah dengan si Dia dengan bahasa syurga yang indah, suara yang mersik, penuh dengan penghayatan yang lahir dari jiwa yang tenang, tulus dan ikhlas kerana kita mendoakan Ramadhan inilah perantara antara kita dengan Cinta Teragung yang sentiasa menunggu-nunggu doa dari hambaNYA yang soleh. Tanpa bahasa syurga yang beralun mersik, penuh penghayatan, tadabbur dengan maksud dan fasahah yang baik, tiada serinya bagi Ramadhan, ibarat rumah tidak bertiang, isi tidak berkuku, jadi wahai diri yang bernama Narumi juga sahabat-sahabatmu cubalah sedaya mungkin meneladani hikmah bahasa syurga itu melalui kalamNYA yang agung agar ia menjadi bukti engkau menghadap Kekasih Agungmu suatu masa nanti...!

Saturday, August 30, 2008

Jalan-jalan Makan Pengat Durian

Talhah dan adiknya Ukasyah

Aisyah Nabilah yang bermata bulat bersinar....

Tuan rumah yang tersengih melayan tetamu

Kak Mazuira dengan Aisyah Nabilah, anak sulung Wawa

Ustaz Wan bersama hero-hero beliau dan Izwan, suami Wawa.

Alhamdulillah, menepati saranan yang telah ditetapkan semasa pertemuan beramai-ramai baru ini untuk mengadakan Ziarah Sahabat, ianya telah berjaya direalisasikan oleh sahabat-sahabat Zon KL. Hari Sabtu, 30 Ogos 2008 bersamaan 28 Syaaban 1429H, berkelanalah sahabat-sahabat di KL (termasuk perantau baru dari Terengganu) ke Sri Kembangan, Selangor untuk bertemu mata, berkongsi cerita malah mengeratkan lagi jalinan ukhuwwah yang sedia ada.

Bertolak agak lambat dari rumah, kira-kira jam 4.30 petang. Cuaca hujan membataskan pergerakan. Saya tiba di Stesen LRT Masjid Jamek hampir jam 5. Kemudian perlu menunggu Bushra untuk ke Sri Petaling setelah berjanji dengan Bahiyah yang akan mengambil kami dan seorang lagi sahabat disitu. Kami menaiki tren dan sentiasa memerhatikan laluan yang terpampang di dinding.

Alamak,rupa-rupanya kami tersilap arah! Sepatutnya perlu berhenti di Stesen Chan Sow Lin dan menuju arah Sri Petaling, tapi kami mengambil simpang yang berlainan pula. Itulah bahananya tidak bertanya pada yang arif, berkali-kali sahabat yang telah sampai bertanya dan memberikan arah yang betul. Alhamdulillah, kira-kira jam 6 sampai juga di Seri Petaling. Kasihan sahabat yang telah sampai sejak jam 4.45 petang tadi lagi. Patutlah cepat sampai, rupa-rupanya jarak rumahnya dengan Sri Petaling hanya 2 stesen. Kami sampai ke rumah tuan rumah, saudara Samhan hampir jam 6.30 setelah tersesat hampir 10 minit, itupun diambil oleh beliau.

Sampai disana kami dijamu dengan Laksa Kuah Lemak yang dibawa Bahiyah, Nasi Pulut Serawa Durian dan kuih-muih. Bersembang seolah-olah ziarah Hari Raya, sederhana namun meriah. Selepas solat maghrib berjemaah, kami meminta izin untuk pulang. Alhamdulillah, mudah-mudahan sentiasa program sebegini sentiasa berkesinambungan untuk memastikan rabitah hati antara kami semua sentiasa tersimpul rapi. Hanya Allah sahaja yang mampu memastikannya. Kepada tuan rumah, Saudara Samhan dan Kak Nor, terima kasih kerana menerima kunjungan. Lepas ni giliran rumah siapa pulak ye....?

Dah 51 Tahun Rupanya......

Generasi 51 tahun selepas Merdeka

31 Ogos 2008...dah 51 tahun rupanya negara saya merdeka. Malam ini tentu sekali ramai anak muda yang bakal terkinja-kinja malah terlompat-lompat menyorakkan laungan kemerdekaan, tanpa mereka sendiri menghayati maksud sebenar disebalik istilah keramat tersebut. Bagi yang meraikannya dengan solat hajat, bacaan yaasin, syukur alhamdulillah. Hanya dengan mengingati Allah maka Dia akan mengingati kita, untuk apa dianugerahkannya kemerdekaan ini jika hanya diterima, disambut dengan laungan, muzin-muzik yang melalaikan, malah pergaulan bebas yang bakal menyumbang 1001 kebejatan akhlak di kalangan umat manusia khususnya umat Islam di Malaysia hari ini?

Peta Tanah Melayu

Mengenang kembali sejarah Malaysia yang dulu dikenali sebagai Tanah Melayu. Kaya dengan pelbagai hasil mahsul yang dikurniakan Allah. Bilamana kelekaan mengatasi kesyukuran, pemimpin saling berebut kekayaan dan mengenepikan hak rakyat jelata, keadilan hanyalah berlegar dikalangan suku-sakat semata-mata, maka Portugis datang bermaharajalela, kemudian Belanda, Inggeris, juga Jepun untuk menakluk atas kelemahan yang ada. Syukurlah dengan kesedaran malah kekuatan pejuang-pejuang agama suatu masa dahulu, biarpun nama mereka kurang disebut-sebut (alfatihah buat pejuang agama Islam), namun didoakan syuhada ini bersemadi dengan aman dibawah lindungan Allah.

Potret Leftenan Adnan

Terlalu banyak jasa dan pengorbanan insan-insan yang berjuang di atas nama Allah demi menafikan ketuanan Penjajah. Mat Kilau, Tok Gajah, Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Tokku Paloh, Leftenan Adnan, malah 1001 lagi yang bangkit di seluruh Tanah Melayu atau Malaya ketika itu bermati-matian mempertahankan kedaulatan agama dan tanah air yang kita duduki hari ini. Sejauh manakah kita generasi muda berusaha mengekalkan keamanan dan mengaplikasikan konsep merdeka dalam diri? Adalah kebebasan pada kita ialah dengan berpakaian menjolok mata, bebas bergaul lelaki dan perempuan tanpa rasa segan silu, menceduk budaya barat tanpa prasangka, tanpa ilmu di dada? Tanyakanlah hati kalian, adakah kita benar-benar merdeka..?

Tuesday, August 26, 2008

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN....


Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan " "Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut: * Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada); * Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri; * Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya. Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang meng-aminkan adalah Rasullullah dan para sahabat , dan dilakukan pada hari Jumaat. Oleh itu SAYA TERLEBIH DAHULU MEMOHON MAAF jika saya ada berbuat kesalahan, baik yang tidak di sengaja maupun yang di sengaja , semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan penuh keberkatan.

LAHIR LAGI SEORANG BAKAL MUJAHIDAH....

Anak buah baru...Balqis binti Mohd Zaidan

Sedang khusyuk mendengar lecture dari trainer dalam bilik kursus, tiba-tiba satu mesej baru memenuhi ruangan inbox saya jam 3.26 petang tadi yang berbunyi "Salam. Alhamdulillah kami dikurniakan seorang muslimah jam 12.07 tengahari di HSNZ, KT. Doakan amanah ini dapat kami jaga dengan sebaiknya. - zaidan n jue." Alhamdulillah, Kak Jue dah selamat melahirkan anak sulung beliau, insyaALLAH berkat asuhan dan didikan orangtuanya nanti, bakal menjadi mujahidah yang sejati, amin....

PERMATANG PAUH

Hari bersejarah hari ini di Permatang Pauh, semoga ALLAH memberikan kejayaan kepada mereka yang berusaha gigih untuk menegakkan kebenaran, Takbir!

Saturday, August 23, 2008

WELCOME TO BOSTONWEB....


Sampai di Putra jam 5.30 setelah naik bas tambahan di Ladang jam 10.30 Ahad malam. Berjumpa dengan Suhana, adik UM yang juga menaiki bas tambahan tapi berbeza giliran. Sampai si Putra jam 5.30 pagi, terus bergegas ke surau untuk berehat dan juga solat subuh. Alhamdulillah, ketemu lagi dengan Suhana, saya akhirnya memutuskan untuk menumpang beliau menaiki kereta abangnya ke PJ.
Takut-takut sampai lambat ke rumah Najibah, saya bercadang untuk menumpang rumah Suhana sebelum ke Jalan Sultan Ismail. Teka siapa saya jumpa di rumahnya? Hidayah Ismail, junior saya di sekolah agama suatu masa dahulu. Ketawa saya dan Dayah atas pertemuan yang tak dijangka, heheh. Tapi tak sempat bersembang lama, saya perlu bergegas ke Jalan Sultan Ismail secepat mungkin dan perlu bersiap-siap.

Nasib baik Hidayah sudi menumpangkan saya ke LRT Taman Jaya. Sampai 9.30 pagi di Bostonweb, huhu. Alhamdulillah disambut baik. But I need to speak English as well as I can, first languange here. The introduction about the Job Camp offered, need to know my coursemate. I have a new friends, most of them are fresh graduates from various IPTA in Malaysia. I am the oldest one, huhu.

But it does'nt matter, as long as I don't mind about age, hehe. I need to stop here now, insyaALLAH maybe I would share any other important things about my life at Kuala Lumpur after this. Speak and writing in English, one new challenges for me right now, insyaALLAH I will do my best, wassalam and have a great day ahead wherever, whenever you are...!

Friday, August 22, 2008

LAGI PRODUK BAITUL MUSLIM


Jumaat 21 Ogos 2008, saya bersiap-siap urusan di rumah sebelum pergi ke rumah sahabat yang pada awalnya jangkaan langsung tidak dapat hadir walimah beliau. Antara perkara ajaib yang diberikan ALLAH peluang untuk saya bersama dengan rakan saya Koni. Tersesat dua kali di Losong yang banyak namanya itu. Losong Muzium, Losong Atap Zin, Losong Haji Awang, Losong Panglima Perang, Losong Lebai Salleh dan sebagainya.

Nasib baik saya hubungi Kak Baity dan mengikut arahan beliau. Kalau tidak, alamatnya berpeluh-peluhlah dalam kereta menunggu sampai ke rumah pengantin. Sesampai di rumah Koni, suasana agak sempoi kerana kenduri akan berlangsung esok. Koni sedang disiapkan oleh Mak Andam muda, Along. Sempat kami mengusik Koni yang akan jadi serius bila dia menggelabah, heheh....

Saya suka design rumah beliau. Rumah kayu yang tinggi, ditambah dengan ruang batu dibawah, dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan hijau sekeliling rumah, menyejukkan mata walaupun suasana hangat tengahari. Majlis bermula hampir jam 4 petang. Ustaz Mat Yasin, Tok Kadi yang juga merupakan ayah kepada sahabat saya agak kelakar orangnya ketika menyampaikan khutbah nikah, namun isinya cukup padat dan mampat malah terkesan di jiwa, peringatan buat mereka yang sudah, sedang mahupun bakal mendirikan rumahtangga.

Puan Khaironni@Noraini Mahiddin dan suami, Encik Halimi Abdullah

Alhamdulillah, dengan sekali lafaz, sahlah Koni bergelar isteri kepada sahabat kami juga, Halimi. Jadi raja sehari ni padan kena usik la jawabnya, namun suasana berjalan dengan harmoni. Hujan rahmat turun mengiringi ikatan dua hati yang telah terjalin secara halal, alhamdulillah.

Buat Koni, semoga bisa menjadi isteri cerdik yang solehah, penyejuk mata, penawar hati serta penajam fikiran sang suami. Buat Halimi, semoga menjadi pemimpin rumahtangga yang baik, istiqamah dalam perjuangan, serta mampu membina keluarga muslim yang didambakan ISLAM, Sirru Ala Barakatillah...amin!

Thursday, August 21, 2008

SERI MALAM PENGANTIN


Kita pasti dirisik..
Pertunangan sejak azali..
Di hujung hidup nanti..

Berlangsungnya perkahwinanmu dengan maut..
Hantarannya..sakit dan nazak..
Tamu bertandang menghadiahkan esak tangis..
Pengantin dimandikan..

Dipakaikan baju cantik putih..
Wangian gaharu dan cendana..
Keranda jadi pelaminan..
Pengantin bersanding sendirian..

Di arak keliling kampung..
Berkompangkan azan dan kalimah kudus..
Akad nikahnya bacaan talkin..
Berwalikan liang lahat..

Saksi pula nisan-nisan..
Siraman air mawar..
Keluarga terdekat menepung tawar..
Tiba masa pengantin..
Menunggu sendirian..

Malam pertama bersama KEKASIH..
Di kamar bertilamkan tanah..
Dan Dia menuntut janji..
Sucikah kita tatkala berpadu..

Pernahkah taubat sepanjang hayat..
Atau terkubur bersama dosa-dosa...
Dan Dia Kekasih itu..
Menetapkanmu ke syurga..
Atau melemparkan dirimu ke neraka..

ZIARAH ORANG BARU...

Selasa, 19 Ogos 2008, saya berada di pejabat lama menguruskan urusan yang belum selesai. Sempat lagi diusik oleh rakan-rakan sepejabat yang menyangka saya berubah fikiran, hehehe...terpulanglah, tapi usikan mereka kenangan paling berharga Narumi di perantauan nanti, huhu. Maka rutin tugasan lama berjalan seperti biasa sebelum ini.

Petangnya, Sabihah dan Riznira datang menjenguk. Sabihah baru sahaja usai temuduga J-QAF beliau. Tawakkal sepenuhnya kepada ALLAH. Sabihah akan pulang petang ini juga ke Kemaman. Semoga kami akan bertemu kembali dalam masa terdekat ini, insyaALLAH. Kemudian saya meminta jasa baik Riznira untuk menghantar saya ke Kedai IDC. Riznira tidak dapat ikut bersama kerana dia ada majlis tahlil malam ini.

Bulat mata Hanis Maisara merenung saya...

Sesudah mengambil Kak Seha, destinasi pertama kami kunjungi ialah rumah Ayu, orang lama Kelab Fasilitator Terengganu, sebaya saya dan kini mempunyai 2 orang anak, Hurin Jamilah dan yang terbaru, Hanis Maisara yang lahir 10 Julai 2008 baru-baru ini. Pipinya tembam dan sangat comel. Geram saya dibuatnya. Sambil itu sempat kami bersembang-sembang tentang hal-hal terkini masing-masing.

Berada di rumah Ayu tidak lama, kerana kami masih ada sebuah rumah untuk diziarahi di Seberang Takir. Hampir jam 6.30 kami meninggalkan rumah Ayu menuju ke rumah Mardhiah Hayati, salah seorang rakan kami yang turut menerima orang baru. Kami datang tanpa memberitahunya kerana pasti dia akan menyediakan makanan yang sedap-sedap buat kami nanti, huhu.

Ainul Izzah yang tengah cari mood nak tidur...

Kalimah Allah di telinga kiri Ainul Izzah

Ainul Izzah Mohd Firdaus, cantik sungguh nama anak Mar yang sulung ini. Dilahirkan di Hospital Ampang, Selangor, sehari sebelum saya sampai ke Kuala Lumpur untuk mengikuti Kursus Usahawan baru-baru ini. Tertarik dengan cerita Mar yang unik, dia menjalani pembedahan kerana tidak merasai saat-saat kesakitan yang ghalibnya dirasai oleh ibu yang bakal melahirkan. Setelah doktor memasukkan ubat sebanyak 3 kali, mereka memutuskan untuk menjalankan proses ceaserian terhadap Mar.

Maka jam 3.58 petang, 25 Julai 2008, lahirlah Ainul Izzah dengan berat 3.48kg. Banyak keajaiban yang berlaku seiring dengan kelahirannya walaupun kalau diikutkan logik, Mar hanyalah golongan biasa yang tidak bertaraf VIP. Namun dengan izin ALLAH, dia dibekalkan dengan ubat yang mahal harganya secara percuma! Sampaikan staff hospital kehairanan dan menyangka Mar adalah golongan VIP....

Usai ziarah dari rumah Mardhiah Hayati, kami menjenguk ke Restoran sahabiah di Tok Jembal. Restoran adik lepasan UMT, Ayuni. Sambil bersembang tentang hal-hal terkini, saya sempat melihat berita isu sumpah liwat yang dilakukan oleh Saiful Bukhari di Masjid Wilayah Persekutuan. Hmm....isu panas sebagai alat kempen BN menjelang Pilihanraya Permatang Pauh. Kami meninggalkan kedai Ayuni hampir jam 9.30 malam.

Sesungguhnya kelahiran waris-waris pejuang ini merupakan antara kenangan terindah ibubapa mereka dan juga makcik-makcik mereka (termasuk sayalah tu...hehe!). InsyaALLAH, mereka ini juga akan dididik sebaik mungkin oleh orang tua mereka untuk mewarisi jati diri muslim sejati serta penyambung generasi ISLAM di masa akan datang, wallahu'alam.

Wednesday, August 20, 2008

SELAMAT PENGANTIN BARU: NAJJAH DAN IBRAHIM

Semoga kekal hingga ke syurga, amin...!

Sesungguhnya kerja ALLAH penuh misteri, dalam saya tak dapat menjangka yang saya akan dapat meraikan walimah sahabat, ALLAH memberi ruang untuk saya merasai kegembiraan sahabat saya menjadi raja sehari baru-baru ini. Kalau diikutkan perancangan asal, tarikh 18 Ogos 2008 itu sebenarnya merupakan tarikh saya mendaftar diri untuk mengikuti kursus induksi selama 6 minggu di Kuala Lumpur. Namun banyak kejutan yang berlaku saat akhir, alhamdulillah, terima kasih Ya ALLAh kerana memakbulkan permintaan hambaMU yang hina ini, huhu.

Bersiap-siap di rumah Kak Baity, sambil bersarapan dengan nasi goreng air tangan beliau yang sedap (bukan tak pandai memasak Kak Baity ni, cuma sibuk je memanjang...hehe, kata dulang paku serpih, saya pun sama, huhu). Menunggu Kak Seha dan Ayuni yang akan bersama-sama kami ke Pasir Putih, Merchang meraikan walimah Najjah dan Ibrahim. Mulanya berjanji dengan sahabat Muslimin yang lain untuk berkonvoi bersama-sama, namun keadaan jalan yang agak teruk ditambah Najjah itu tidak ramai yang mengapit, kami berjanji untuk bertemu disana.
Kami sampai hampir jam 10 pagi.

Cuaca di Pasir Putih agak mendung dan kemudian hujan turun rintik-rintik. "Hujan rahmat barangkali.."detik hati kecil saya. Suasana walimah Najjah kali ini agak meriah dengan kehadiran ramai sahabat-sahabat seperjuangan samada yang masih bujang atau yang sudah berkeluarga, turut sama membawa 'rakyat' masing-masing.
Majlis akad nikah dijadualkan bermula jam 11 pagi, dan tidak lama selepas itu, Cikgu Mat, mentor kami dan juga ayah kepada Najjah memulakan majlis. Dia akan mewalikan sendiri anaknya dan disaksikan oleh Tok Kadi. Suasana yang agak sederhana dan hening ketika itu.

Saya suka dengan suasana ini. Sudah lama tidak merasai majlis akad nikah yang serba sederhana, jauh dari gelak ketawa berlebih-lebihan dan muzik yang melalaikan.
Cikgu Mat membacakan Khutbah Nikah dengan penuh lantang dan isinya cukup terkesan di hati semua hadirin, termasuklah saya yang belum berkahwin ni, hehe. Selesai khutbah, Cikgu Mat menghampiri Najjah untuk meminta laluan bagi mewalikan beliau. Terasa ingin menitik air mata saya melihat saat itu, Najjah apatah lagi, tetapi segera ditenangkan pengapit beliau, takut cair mekap, hehehe.

Alhamdulillah, hanya dengan sekali lafaz, sahlah depa berdua jadi suami isteri. Syaitan pun menangis-nangis kebencian kerana gagal menjerumuskan anak cicit Adam ke lembah penzinaan. Macam tak percaya pulak, tapi itulah hakikatnya, Allah permudahkan segala urusan. Alhamdulillah, kami sempat bergambar bersama-sama sebelum aktiviti baby sitting. Tahu tak aktiviti apa tu? Menjaga baby-baby yang ditinggalkan ibubapa mereka untuk makan, huhu. Nasib badan...tapi seronok juga, melihat telatah kanak-kanak yang polos, suci dari dosa.


Kediaman pengantin baru kami tinggalkan hampir tengahari, kemudian berhenti solat di Masjid Rusila. Begitulah selesainya pembinaan masjid seorang sahabat kami, tapi usaha untuk mengekalkan keutuhan masjid perlu berlangsung dari semasa ke semasa. (Ewwah, pandai nasihat orang, macam la banyak sangat pengalaman...huhu). Doa saya mudah-mudahan semua sahabat saya yang sudah sampai serunya cepat-cepatlah buat apa yang patut, jangan tunggu lama-lama yek? Wassalam.
Dedikasi khas buat Najjah dan Ibrahim; Lepas ni Koni pulak...!

"Barakallahulakuma wabaraka alaikuma wa jamaa bainakuma fi khairin"

Jom Santai Dengan Video Ni Kejap!

Saya tertarik dengan video PAS FOR ALL yang diterbitkan menjelang pilihanraya umum ke-13 baru-baru ini. Biarlah, saya kini senang untuk menzahirkan fikrah saya berkenaan politik dan juga sebarang hal-hal semasa. Namun rakan-rakan saya yang tidak bersamaan pendapat dan fikiran dengan saya tetap saya hormati dan raikan, kerana setiap daripada kita mempunyai buah fikiran, pandangan, persepsi malah asas didikan yang berbeza. Namun dari perbezaan tersebut saya mohon agar kita semua bisa mencari satu titik persamaan, wallahu'alam.


CATATAN NARUMI EPISOD 3: SAYONARA DARUL RIDZUAN...

Stadium Indera Mulia, Ipoh melakar sejarah Muktamar Agung PAS 2008

Ahad, 17 Ogos 2008. Subuh berjemaah bersama sahabat-sahabat tersayang, perasaan yang amat terharu sukar untuk saya gambarkan, dan hampir bertahun-tahun saya rindukan kenangan dan suasana ini, ALLAH makbulkan ketika kami bertemu dalam permusafiran dan Muktamar, alhamdulillah kami juga sempat mengadakan tazkirah lewat subuh bersama-sama. Bercerita masalah dan nasihat-menasihati antara satu sama lain.

Nur memperihalkan tentang hadis Rasulullah yang beliau dapati daripada Buku Perubatan Dr Harun Din mengenai doa yang terbaik. Doa itu merupakan doa dari seorang sahabat yang mendoakan sahabatnya yang lain tanpa diketahui oleh sahabat yang didoakan. Kemudian Allah mengutuskan Malaikat yang bernama Muwakkil yang akan mengaminkan doa sahabat yang mendoakan sahabatnya itu.

Alangkah indahnya ukhuwwah dan jalinan yang ada, namun kadang-kadang kita seringkali terlupa dengan insan yang terdekat dengan kita iaitu keluarga kita yang turut perlu didoakan dan juga didakwahkan dalam kita mengejar matlamat kita setelah memahami rangka perjalanan yang telah disyariatkan ALLAH melalui utusanNYA Rasulullah S.A.W.

Sempat bersarapan pagi mihun goreng di rumah Hayati dan sebelum bertolak, kami bergambar kenang-kenangan di halaman rumahnya. Sayangnya, bukan kamera saya, huhu. Kami bertolak hampir jam 9.30. Sampai di Ipoh, menewar sebentar di gerai, kerana elok-elok kami sampai, sidang berehat seketika.

Ustaz Ridhuan ketika berdemo

Saya sempat ke gerai Ustaz Ridhuan Mohd Nor, Exco Pemuda PAS Pusat yang banyak mengarang buku-buku terkini dunia gerakan Islam di Malaysia. Diskaun terhadap buku yang beliau jual mengujakan saya. Orangnya agak serius namun sempat juga saya meminta tandatangan daripada beliau, hehe.

Sidang bersambung dengan ucapan Kak Aiman Athirah Jundi, wakil Dewan Muslimat PAS Pusat merangkap Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat. Ucapan yang lantang dan penuh bersemangat membahaskan usul yang dibawa. Sidang Muktamar berakhir sebelum asar dengan ucapan penangguhan daripada Presiden PAS. Saya sungguh terkesan dengan ingatan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang tentang petikan dari Surah As-Saff malah sebahagian ucapan beliau.

Perasaan sayu dengan doa penutup daripada Presiden dan harapan saya mudah-mudahan ujian yang mendatang disambut dengan penuh bijaksana dan pengharapan sepenuhnya dari ALLAH. Malah kesatuan ISLAM perlu diperkasakan dari semasa ke semasa agar usaha UMNO untuk melihat PAS berpecah-belah hanya tinggal impian dan anganan. Kami berpisah usai sahaja muktamar tersebut. Mudah-mudahan masih ada lagi peluang sebegini di masa akan datang.

Saya ingin menghadiri Walimah Double K, sementelah peluang itu seolah-olah terbuka luas. Cuma saya mungkin perlu menaiki bas dari Kota Bharu setelah menumpang Kak Anees, macamana ye? Berdoa juga, mudah-mudahan ada rombongan Terengganu yang boleh saya tumpang. Tapi macam hampa, akhirnya saya memutuskan untuk menumpang Kak Anees ke Kelantan dan kemudian naik bas ke Kuala Terengganu.

Hampir 20 minit kami (Saya, Kak Anees, Kak Leni dan seorang lagi kakak yang tidak sempat saya tanyakan namanya) tersesat untuk ke jalan keluar melalui Grik-Gua Musang. Alhamdulillah dipermudahkan akhirnya. Hampir jam 5 kami berhenti makan di RnR Grik, tiba-tiba saya ternampak Aina PRO Nisa' Terengganu dan adiknya Amal! Saya cuba melambai tapi sayangnya dia tidak ternampak, hmm bukan rezeki saya agaknya..huhu.

Sedang kami menjamu selera tiba-tiba Aina dan adiknya datang ke meja kami. Rupa-rupanya dia ingin menegur Kak Lenny, yang mungkin dikenalinya ketika di Mesir dahulu. Peluang didepan mata, lantas segera saya tanyakan kalau-kalau saya boleh menumpang kereta beliau, alhamdulillah, kebetulan masih ada satu kekosongan kerana rakan arwah ibunya Che Ngah Yah (juga emak kepada rakan sepejabat saya) tidak jadi menumpang kereta mereka. Alhamdulillah, rezeki dari Allah.

Maka menumpanglah saya kereta Aina yang dipandu oleh abang beliau bersama isterinya. Banyak perkara yang disembangkan. Saya tidak mengenali Aina secara rapat sebelum ini kerana kami jarang bekerja bersama-sama, tambahan pula Aina bertugas sebagai guru di Setiu. Namun begitu, banyak perkara yang kami bual-bualkan sepanjang perjalanan ini.Suasana jalan yang banyak selekoh kadang-kadang agak mendebarkan. Tambahan hujan turun ketika maghrib hampir tiba.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Tantawi

Kami tiba di puncak gunung dan berhenti di salah sebuah hentian di situ. Terserempak dengan Ustaz Nasaruddin Tantawi , Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat bersama-sama dengan isteri dan rakan beliau.Perjalanan disambung dan kemudian berhenti seketika di rumah keluarga arwah emak Aina, Allahyarhamah Hajjah Hamidah Daud, di Apal, Besut. Ceria sungguh keluarga ibu saudara Aina, penuh dengan gelak ketawa dan harmoni. Kami dijamu dengan goreng pisang dan goreng cempedak. Hampir jam 11.30 perjalanan disambung semula.

Sebelumnya saya telah menghubungi Kak Baity meminta izin untuk menumpang tidur di rumahnya. Kami sampai di Gelugur Kedai hampir jam 1.30 pagi. Kak Baity sempat menggoreng nasi untuk makanan adiknya esok. Sempat juga kami bersembang, tambahan pula bagi saya ini antara kejutan, keajaiban, malah rezeki dari ALLAH untuk saya yang langsung tidak saya jangkakan. Apa yang penting saya mohon agar TAWAKKAL dan REDHA jadi pakaian saya, wallahu'alam.

CATATAN NARUMI EPISOD 2: MASIH DI SENTANG, BATU GAJAH

Rakan-rakan saya menghadiri Forum di Stadium Indera Mulia sementara saya bercadang untuk menemani Mak Cik Rohani di rumah sambil melakukan aktiviti sendiri. Mak Cik Rohani seorang yang sungguh sporting, jarang sebenarnya saya temui insan berumur yang suka melayani kerenah anak muda, apatah lagi yang banyak cakap seperti saya ini, huhu. Banyak perkara yang kami sembangkan sambil menonton Majalah 3.

Mak Cik Rohani berasal dari keturunan Minang namun menetap di Perak, rupa-rupanya orang Minang mengandungi pecahan Minang pulak, Minangkabau, Minang Mendailing dan satu lagi saya lupa jenis Minangnya. Perbezaan antara Minang ini mungkin hanya dari segi dialeknya sahaja. Banyak ilmu yang saya dapat dari Mak Cik Rohani. Orang-orang lama suka menadah kita. Antara pengetahuan baru yang saya dapat malam itu:


Orang tua ada 3 jenis:
1. Tua Bongkok
2. Tua Datuk
3. Tua Kutuk

Tua Bongkok ialah jenis orang tua yang tidak kisahkan hal orang lain, waima anak isteri sekalipun. Tua Kutuk perlu dijauhi kerana tidak boleh dipakai pemikiran dan tingkah lakunya. Tua Datuk yang paling baik kerana sifat prihatin dan cakna kepada orang lain.

4 jenis ajal manusia, 2 darinya Mak Cik Rohani lupa, yang diperturunkan kepada saya hanya dua:

1. Ajal ALLAH - Ajal yang paling baik kerana ia telah ditetapkan oleh ALLAH



2. Ajal Syaitan - Ajal yang dipegang oleh Syaitan kerana perjanjian yang dibuat dengan Syaitan. Contohnya membela Hantu Raya, Pendamping, Susuk dan sebagainya.

Selain itu Mak Cik Rohani turut bercerita pengalaman ketika zaman darurat dahulu. Seingat saya, Perak antara tumpuan malah kubu kuat Bintang Tiga suatu masa dahulu. Pernah orang sekampung Mak Cik Rohani di Tronoh dikelar-kelar lengannya dan dititis limau nipis.

Sungguh kekejaman Bintang Tiga suatu masa dahulu sangat memeritkan. Tambahan pula saya pernah terbaca kisah-kisah sebegitu sebelum ini. Malah Filem 'Tragedi Bukit Kepong' arahan Datuk Jins Shamsuddin begitu membekas di hati saya. Rakan-rakan pulang ketika hampir jam 12 malam dari Ipoh. Makan tengah malam pulak, hai...Baru petang tadi ada kursus diet, tapi pujukan rakan-rakan buat saya mengalah. Iyelah, bukan selalu dapat berkumpul begini. Bersambung semula nanti...Wassalam.

Tuesday, August 19, 2008

CATATAN NARUMI EPISOD 2: ZIARAH KE BATU GAJAH PULAK!

Sempat melalui Kellie's Castle tapi tidak berpeluang singgah...

Sabtu pagi, 16 Ogos 2008. Saya terkejut dari tidur agak lambat, namun masih sempat dengan waktu subuh. Adik-adik UTP agak sibuk bersiap-siap menuju ke destinasi masing-masing. Ingatkan sempat la berjumpa kali terakhir, rupa-rupanya bukan rezeki saya kali ini. Tak mengapalah, sekurang-kurangnya kami dah berkenalan semampu mungkin.

Perjalanan saya ke Ipoh agak terlambat pagi itu, namun hikmahnya saya sempat bersembang dengan adik A, kelahiran Melaka namun agak lama tinggal di Terengganu. Kami berbicara soal-soal kehidupan (hehe, berfalsafah je nampaknya). Soal don't judge the book by its cover, perlu menghormati manusia dan memberikan hak yang sepatutnya pada mereka walau bagaimanapun dia, namun dengan syarat kita wajar berhati-hati.

Adik A menceritakan pengalaman ayahnya ketika mahu membeli barang di Terengganu, ayah si A ini suka berpakaian biasa-biasa saja walaupun dia sebenarnya seorang jurutera. Ketika dia mahu membuat pesanan barang, penjual di kedai tersebut memandangnya dengan kehairanan. "Pak Cik ada duit ke nak beli barang ni?". Tidak percaya dengan penampilan ayah A mampu membeli barang-barang yang harganya mungkin menjangkau puluhan ribu.

Ayah A dengan nada bersahaja terus mengeluarkan kad kredit emas beliau, terus penjual tersebut terkejut. Pada borang pembelian, dia dengan sengaja menulis jawatan 'Manager of...', Jabatan beliau bekerja. Namun sempat lagi dia menasihati penjual tersebut agar jangan memandang rendah pada orang lain, walau setua atau seselekeh mana pun dia, terkedu penjual itu dengan nasihat 'berbisa' ayah A.Pengajaran bersama untuk Narumi disini, huhu.

Kami bertolak hampir jam 11.30 pagi, sampai di Stadium Indera Mulia hampir jam 12 tengahari. Ralit mendengar ucapan dari perwakilan-perwakilan negeri yang sempat saya ikuti. Perwakilan dari Pulau Pinang yang digelar 'Pulau Pening', hehe. Mereka menyambut memandang positif isu muzakarah@muqabalah namun meminta agar pimpinan PAS Pusat memantau perjalanan isu tersebut agar tidak dimanipulasi sewenag-wenangnya oleh UMNO dan juak-juaknya itu. Pantun menarik perwakilan PAS Pulau Pinang:

Balik Pulau, Bayan Lepas,
Sini terpelahau, sana terlepas,
Baik UMNO atau Orang PAS

Terserempak dengan rakan saya, Nur dan juga Aisyah semalam. Kami berjanji untuk bertemu hari ini, turut ada sama Hayati, atau saya lebih suka memanggilnya Aqilah (nama anak saudara beliau). Saya dan adik-adik UTP berpisah disitu kerana mereka akan pulang semula ke Tronoh jam 2 petang. Saya, Nur, Aisyah dan juga Aqilah petang itu ke rumah Aqilah di Batu Gajah. Alang-alang turun ke Perak, berziarahlah ke rumah sahabat terdekat.

Sampai di Batu Gajah hampir jam 3 petang. Rupa-rupanya emak si Hayati sudah menyediakan juadah tengahari buat kami. Masakan yang agak ringkas, tapi air tangan chef professional memang membuka selera kami. Tambahan pula beberapa hari makan di Perak, tak terasa masakan yang asli, pedar dan kurang rasa masakan. Sup sayur ayam dan juga ayam goreng yang diperap dengan halia, benar-benar membuat kami kecur liur.

Saya kembali ke Batu Gajah setelah hampir 3 tahun yang lalu pernah sampai ke sini waktu menemani Hayati melawat ayahnya Allahyarham Haji Ibrahim yang telah kembali ke rahmatullah 1 Januari 2005 di Hospital Besar Ipoh. Layanan keluarga Hayati sangat baik dan mesra. Saya juga kerap bertanya khabar emaknya yang kini tinggal bersama-sama adiknya yang sekarang belajar dalam tingkatan 6 rendah, Burhan namanya.

Usai makan tengahari, (yang saya boleh katakan makan petang!) kami berehat di ruang tamu sambil bersembang-sembang dengan Mak Cik Rohani. Mak Cik Rohani seorang yang gemar dengan herba-herba tradisional dan juga mempunyai kepakaran mengurut. Saya dan Nur sempat merasa herba yang dibuat oleh beliau sendiri dan juga agak mudah untuk disediakan. Kunyit sebesar kelingking, asam jawa, gula kabung dicampur dan dimasak dengan air, kemudian diminum. Baik untuk sistem peredaran darah dan pelawasan.

Kami berehat petang itu dan tidak keluar kemana-mana, tambahan pula hujan dan ribut yang turun. Hayati dan ibunya ke Pekan Batu Gajah untuk membaiki pengingin hawa yang rosak. Tersedar hampir jam 7 malam, bagus betul tidur maghrib-maghrib begini. Hmmm, nasib baik saya teringat, malam ini malam Nisfu Syaaban, alhamdulillah cuba melakukan yang terbaik meskipun berada dalam permusafiran, membaca Yaasin dan solat sunat menyambut Nisfu Syaaban bersama rakan-rakan saya yang lain. Bersambung lagi catatan akan datang,Wassalam.






Monday, August 18, 2008

CATATAN NARUMI EPISOD 2: WELCOME TO UTP....

Di UTP pun ada Masjid Terapung...

Saya dan gerangan adik-adik seperjalanan mengikuti sidang muktamar sehingga petang. Kemudian mereka bercadang untuk kembali ke UTP di Tronoh, Perak. Sebagai ahli rombongan, perasaan teruja saya untuk sampai ke UTP memang tak dapat disangkal lagi. Antara IPTA yang tersohor di negeri Perak, agak berhampiran dengan UiTM Seri Iskandar, Perak. Kami bertolak dari Ipoh hampir jam 5.30 petang. Apa agaknya reaksi adik H, salah seorang warga UTP andaikata dia terserempak saya disana sebelum saya serempak memberitahu? Sungguh mengujakan!

Hampir jam 7 malam sampai di UTP. Saya disambut dengan pemandangan yang indah tasik buatan selepas pintu masuk utama. Spontan saya menyebut "Welcome To UTP!" kemudian disambut gelak ketawa adik-adik yang lain. Rupa-rupanya sebelum ini kawasan ini diduduki oleh warga USM, kemudiannya diambil alih oleh UTP yang bermula tahun 1999. Tun Dr. Mahathir merupakan pengasas IPT ini yang menawarkan kursus kejuruteraan dan juga teknologi maklumat.

Sekali tengok Kolej ini, macam kat Cameron Highlands pulak, huhu..

Sampai di Kolej Kediaman adik-adik berempat itu, saya sengaja menghubungi adik H. Satu kejutan buatnya kerana tidak menyangka saya kemari. Kami bertemu di kafe sebelum membeli nasi lemak tersohor yang sangat-sangat diidamkan-idamkan oleh adik B, huhu. Rupa-rupanya ramai juga warga asing disini, saya lihat yang berpakaian seperti warga Arab dan Somalia. Selebihnya saya lihat ramai penuntut yang berbangsa Cina mendiami UTP ini.

Adik H itu saya kenali ketika kami sama-sama berprogram di Dungun satu ketika dulu. Menariknya, kami berkenalan seketika kemudian saya sudah berani mengajak dia menemani saya ke Program Pilihanraya di Kemaman pada hari yang sama. Adik H seorang yang agak matang, namun tahan bergurau, lebih-lebih lagi dengan saya yang kuat meloyar ni, huhu.. Dia kembali belajar di UTP setelah menamatkan Internshipnya di Paka bulan 6 baru-baru ini.

Menumpang rehat di bilik adik H, rupa-rupanya kolej mereka seperti mini apartment, ibarat sebuah rumah yang ada 6 bilik, satu ruang makan dan juga bilik air. Cukup selesa untuk belajar, tidak hairanlah warga UTP amat beruntung, kerana mereka juga diibaratkan anak emas PETRONAS, mengikat janji dan menerima biasiswa selepas menamatkan pengajian di sini. Setiap bilik dibekalkan internet percuma, jeles betul, huhu. Maka sempatlah saya mencoretkan catatan blog saya sebelum ini di UTP, ekslusif kenangan ini...!

Kami bersembang tentang perkembangan terkini masing-masing. Adik H dan rakan-rakannya yang lain melain saya seperti melayan tetamu yang selayaknya. Sungguh terharu dengan jalinan ukhuwwah yang bermula. Cuma yang agak kelakarnya, ramai tidak percaya saya ini lebih tua dari adik H, huhu. Mungkin juga adik H itu lebih tinggi dan nampak matang dari saya. Sampaikan seorang adik itu berkali-kali mendapatkan kepastian yang adakah saya ini lebih tua dari adik H, alahai....

Teks Usrah di Terengganu

Selepas isyak, mereka mempunyai agenda tersendiri, maka berdiamlah saya di bilik adik H sambil mengupdate blog saya. Malam ini ada Usrah di Chabang Tiga, huhu. Sedih bila sahabat saya petang tadi menghantar sms memaklumkan hal tersebut dan menyuruh saya membawa Hadith 40. Apapun, saya sudah redha dengan keputusan yang saya ambil, maka disitu sudah pasti ada kos melepas yang harus saya terima.

Usai pertemuan, mereka rupa-rupanya ada agenda lain pula. 'Projek A', tertanya-tanya juga saya apa dia, rupa-rupanya untuk 'Projek Amar Makruf Nahi Mungkar'. Membanteras aktiviti dating malam-malam. Mereka akan meronda di sekitar tempat-tempat sasaran dan menasihati mereka yang terlibat. Bagus program ni, malah tiada halangan daripada pihak pentadbiran, demi menjaga nama baik Universiti. Ibarat Jawatankuasa Rukun Tetangga pula, tapi di kampus. Mudah-mudahan suatu masa nanti di lain-lain kampus pun mampu untuk berbuat hal yang sama.

Adik H tidak terlibat turun, tapi dia menyediakan makan malam untuk mereka yang terlibat. Saya sebetulnya agak letih sehari dua ini, bermula dari terpaksa berkejar ke KL, kemudian sampai pulak ke Perak, namun bersemangat kembali dengan keletah adik-adik kampus yang mesra-mesra belaka. Serasa rindu untuk kembali bergelar pelajar, insyaALLAH, cuma suasana dan juga kaedah yang berbeza. Hampir jam 2.30 baru melelapkan mata. Catatan ini bakal bersambung lagi...Wassalam.









Friday, August 15, 2008

CATATAN NARUMI EPISOD 1:TEMAN KE PERAK,YOP...!

Pagi Jumaat, sesuatu yang signifikan di Terengganu adalah Kuliah Ayah Chik, malah masa untuk merehatkan diri bagi mereka yang bekerja. Keadaan yang tidak akan mungkin sama (setakat ini!) di Lembah Klang. Rakan-rakan saya bekerja hari ini. Najibah terkocoh-kocoh menyiapkan dirinya untuk ke pejabat. Saya ada janji hari ini, sementelah pula, sudah dipelawa adik F, salah seorang housematenya untuk ke Perak. Kami keluar dari rumah hampir jam 9, mengambil teksi untuk bertemu rakannya di LRT Asia Jaya. Rakan si F memperkenalkan dirinya sebagai D. kami mengambil teksi dan bertolak ke Damansara. Perjalanan yang kurang sesak mengambil masa lebih kurang 20 minit. Sebenarnya masih boleh dijimatkan lagi, namun kami tercari-cari tempat janji temu dengan rakan F yang menunggu berhampiran, adik B. Dialah tuan punya kereta yang akan membawa kami ke Perak.
Selesai berjumpa, kami meneruskan perjalanan sebelum berhenti di Hentian R&R Tapah, untuk mengambil seorang lagi rakan F, si M. Jadilah 5 orang musafir dalam perjalanan kali ini. F, B, D, M dan Narumi dalam perjalanan ke Perak. Dalam perjalanan saya berborak dengan B untuk menghilangkan rasa mengantuknya. Lagipun tidaklah rasa mengantuk sangat. Sepanjang perjalanan kelihatan laluan Banjaran Titiwangsa yang berdiri megah dan gua-gua batu kapur yang saya ingat pernah belajar tentangnya dalam sejarah sekolah menengah suatu masa dahulu. B banyak mendengar celoteh saya, kesian dia..huhu. Banyak perkara yang kami sembangkan, jadi perjalanan hampir 2 jam setengah itu tidak terasa mana. Rakan-rakannya di belakang mengambil keputusan melelapkan mata sebelum tiba ke destinasi.
Hampir jam 12.30 tengahari kami tiba di Stadium Ipoh, disebabkan B mempunyai urusan penyerahan dokumen, kami melilau sebentar ke tempat lain sebelum temujanjinya jam 2.45 petang. Makan tengahari di Greentown Mall,Ipoh. Sebelum itu mencari-cari alatan penting di Kedai Kain. Shopping kain atau baju, perkara yang saya paling tidak minati. Maka saya hanya menunggu-nunggu di luar sementara mereka siap memilih apa yang dicari. kami makan tengahari dan bersolat di tempat yang sama. Rasa ralat melihat suasana di ruang makanan itu, ramai lelaki Melayu (pada amatan saya kebiasaannya Islam) tidak ke masjid untuk Solat Jumaat. Yang tua-tua pun begitu juga, fenomena akhir zaman yang menakutkan. Tidak hairan Islam masih lagi dijajah pemikirannya oleh golongan kuffar.....
Menyiapkan urusan B di dua tempat, kemudian kami ke Stadium Indera Mulia untuk menyaksikan perbahasan Ucapan Dasar Presiden. Agak meriah dengan Karnival di luar stadium. Membayar RM5 untuk tag pemerhati, kami mengambil tempat yang agak tinggi. Berderet-deret perwakilan yang ada beratur untuk menyatakan pandangan mereka. Paling menarik bagi saya, perwakilan dari Sabah yang meminta agar pihak Pusat mempertimbangkan agar memperkasakan program keahlian dan parti dengan lebih agresif di Sabah kerana mereka amat mengharapkan sokongan dan dokongan dari luar. Penerimaan dari penduduk agak baik sebenarnya, cuma mungkin kerana masalah jentera penerangan dan juga kekurangan sokongan yang baik dari mereka yang berwajib dikesalkan.
Perwakilan itu turut menyatakan, untuk memenangi kerusi di Sabah amatlah tidak mustahil berkat gerak kerja kolektif semua pihak. Pemerkasaan ahli perlu dilakukan dengan lebih bersungguh-sungguh malah kebajikan ahli perlu menjadi keutamaan pihak pimpinan. Ayat yang kelihatan biasa tetapi cukup menusuk: Jangan hanya tahu buat anak tetapi tak pandai jaga anak!...Secara keseluruhan, amatan saya terhadap sesi semalam agak positif. Perwakilan banyak menyentuh isu pendidikan dan juga hal berkenaan pengurusan remaja bermasalah, malah penghargaan terhadap Lajnah Guaman yang terkehadapan dalam membela mereka yang memerlukan keadilan, sedari isu Batu Buruk, Petisyen Pilihanraya, malah bermacam-macam lagi kes yang mana komitmen mereka wajar dipuji.

CORETAN NARUMI:DARI TERENGGANU KE KUALA LUMPUR

10.30 malam, hari Rabu, emak menghantar saya ke Stesen Bas Kuala Terengganu. Beg punyelah berat, sempat lagi emak bersungut dengan barang-barang yang saya bawa, hehehe. Kata saya pada emak, insyaALLAH saya kemungkinan akan cari juga kerja di Kuala Lumpur. Dah ramai sangat yang menghambat saya ke sana supaya cari pengalaman baru.Dapat panggilan dari Kak Seha, ayat-ayat sentimental lagi...huhu. Saya kuatkan hati, sudah berpesan pada diri awal-awal untuk terima segala hakikat yang mendatang. Bersalaman dengan emak dan memohon sejuta kemaafan dan keredhaan darinya atas segala sikap saya yang tak patut-patut selama ini. Terasa hangat tangan Puan Hasnah Abdullah mendasar ke dalam hati, emak mana yang takkan maafkan anaknya, ayat-ayat psiko sebelum bertolak pergi,huhu.Keredhaan dia adalah segala-galanya buat saya walaupun kami ini banyak bercanggah pemikiran dan pendapat.Sampai di Hentian Putra jam 5.30pagi, menyinggah lagi di Surau Hentian Putra merehatkan diri dan juga solat subuh. Beg saya tawakkalkan pada ALLAH, saya simpan di situ. Berjalanlah saya ke LRT dan mengambil trip Jalan Sultan Ismail. Hairannya, bangunan yang saya cari tidak jumpa-jumpa, cuba menelefon ke tempat tersebut, alamak jam 9 pagi baru beroperasi!Saya di depan Universiti Kuala Lumpur saat itu. Dah mula nak rasa gelabah, tapi biasalah saya akan buat confident juga. Berhenti makan di satu warung yang berdekatan, berusaha menelefon teman yang mungkin mengenali,panduan yang diberikan agak complicated. Tawakkal buat kali terakhir, saya menghubungi teman sekolah lama yang pernah belajar di UniKL,dia mengesyorkan agar saya menaiki teksi dan memberitahu pemandu arah perjalanan saya. Cadangan yang cukup bernas setelah saya rasa agak penat berjalan hampir setengah kilometer dari stesen LRT (lagi jauh dari tempat kursus hari itu!).

Nasib saya baik kerana mendapat teksi yang dipandu oleh wanita, menutup aurat pula tu. Tidak pernah sebelum saya bertemu pemandu teksi wanita. Hampir 5 minit perjalanan, sampailah saya ke tempat yang dituju, Alhamdulillah. Tergesa-gesa naik ke tingkat 13, ingatkan datang untuk melapor diri sahaja, rupa-rupanya saya perlu menduduki online assessment dan juga mock interview. 100% dalam Bahasa Inggeris, huhu. Ujian pertama, online assessment yang saya isi, tak dapat diterima oleh komputer. Alamat apakah ini? Dua kali masukkan pun masih juga tak menjadi, hishhh macam alamat baik je, hehe...Sebab biasanya saya akan berhadapan dengan perkara-perkara yang macam nampak tiada harapan untuk saya,tapi alhamdulillah pengakhirannya positif, insyaALLAH. Namun andaikata bukan rezeki saya untuk pekerjaan ini, saya akan cuba yang lain, itu saya sangat pasti.Berakhir online assessment,mock interview menyusul. Entah apa la aku nak cakap ni? detik hati kecil saya. Bilik temuduga, agak kecil, sekecil bilik persalinan yang mempunyai sebuah meja dan 2 buah kerusi. Saya ditemuduga oleh Cik Ros yang comel dan lemah-lembut orangnya (ini bukan ayat bodek ye!). Sessi temuduga serasa bagaikan perbualan biasa, biarpun saya tak menguasai bahasa inggeris dengan baik, namun penemuduga saya itu sungguh sporting,hehe. Sessi tersebut selesai kira-kira jam 11.30 pagi. Saya ke Hentian Putra semula, namun surau itu berkunci,hmm...Mungkin petang nanti akan dibuka. Saya mengambil keputusan untuk melawat kembali tempat saya berpraktikal suatu masa dahulu, TNB Petaling Jaya. Alhamdulillah dipermudahkan perjalanan (macam ada hobi baru pulak,turun naik LRT, huhu). Sesampainya di Petaling Jaya, saya menuju ke arah lif. Teka siapa yang saya jumpa? Mungkin kalian tidak mengenalinya. Tapi yang pasti, saya sangat gembira dapat berjumpa dengan Kak Sabariah, staff TNB yang agak rapat dan banyak menolong saya suatu masa dahulu.
Kelahiran Masjid Tanah, Melaka,orangnya kecil molek tetapi kelakar dan begitu baik hati. Kira boleh masuk 'line' dengan Kak Sabariah. Bersembang-sembang dengan beliau dan juga sebahagian staff lain yang masih menghuni Jabatan Perkhidmatan Pengguna dan Pemasaran TNB, tingkat 17 Petaling Jaya. Ramai yang menyangka saya datang untuk melapor diri..huhu. InsyaALLAH, tiada aral saya akan cuba memohon di sini semula. Pengalaman yang sedikit itu mungkin boleh dijadikan modal. Saya kembali ke Hentian Putra kira-kira jam 5 petang. Alhamdulillah,beg saya yang dititipkan di surau itu masih selamat, tidak terusik langsung. Bersolat asar sebentar di surau Hentian Putra, kemudian saya bergerak ke stesen LRT setelah bertanya harga tambang teksi ke Petaling Jaya mencecah RM30, cekik darah betul! Sama harga dengan tiket bas ke Terengganu.Sampai di Taman Paramount ketika azan maghrib berkumandang. Kesian Najibah, saya banyak menyusahkan dia kali ini. Tersengih-sengih ketika masuk ke dalam rumah. Ramai yang terkejut, "Eh, akak ni!" hehehe, saya hanya tersenyum kambing. Bukan nama Kak Syikin ke? Huhu, whatever... Buletin Utama sedang memaparkan persidangan Muktamar Agung PAS ke-54 di Perak. Rasa sayu dengan suasana yang ada, saya telah berjanji dengan sahabat diTerengganu. Namun apakan daya, bukan rezeki kami untuk musafir bersama-sama. Tiba-tiba salah seorang ahli rumah AZ menawarkan saya untuk mengikut beliau ke Perak esok!Pucuk dicita, ulam mendatang, alhamdulillah...Tak nak kata tidak sebab saya agak teruja untuk pergi ke Negeri Pakatan Rakyat yang mana MBnya adalah dari PAS. Bersembang-sembang dengan Najibah seperti biasa. Macamana agaknya perjalanan saya ke Perak? Nantikan posting saya lepas ni, wassalam.

Wednesday, August 13, 2008

DEDIKASI KHAS BUAT SEMUA YANG MENGENALI NARUMI...



Buat sahabat Narumi yang bakal merasa kehilangan, anggaplah diri ini tetap pergi berjuang, cuma tempat, suasana dan juga rakan strategik yang baru. Ukhuwwah yang sejati itu bilamana kita bertemu tidak jemu, berpisah tidak gelisah. Kesedihan adalah lumrah bilamana kita sama-sama mengharungi kesusahan dan kegembiraan bersama-sama, tapi itulah...Aturan ALLAH dalam rahsiaNYA, kita hanya mampu merancang, berdoa dan tawakkal. Saya teringat hal ini kembali, berdasarkan pesanan Abbas As-Saisi, salah seorang anak didik Hassan Al-Banna dalam buku beliau "Jalan Ke Hati". Segalanya yang tersurat selepas itu harus kita terima dengan hati terbuka dan sabar. SAYONARA, MATAE MASHO!


RENAI DI HATI.....


Hari Isnin baru-baru ni, asyik meneliti internet, tiba-tiba saya mendapat satu panggilan dari Kuala Lumpur. Apa hal pulak ni? detik hati kecil saya. Debaran saya dua kemungkinan, samada panggilan program untuk saya menyambung pengajian atau pasal kerja. Panggilan untuk perkara yang kedua, saya ditawarkan untuk berkursus di salah sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Kelakarnya, tempat tawaran tersebut itu dekat dengan tempat saya berkursus baru-baru ini. Kursus enam minggu, kemudian akan ditempatkan dimana-mana firma yang ditetapkan. Skop tugas saya adalah berkenaan Khidmat Pelanggan (bukan GRO ok!), selaras dengan bidang yang saya ambil di universiti dulu. Perasaan saya bercampur-baur saat itu, tak tahu nak cakap apa. Masih teringat artikel saya yang dahulu, malah usikan rakan-rakan dan gurauan saya mengenai Kuala Lumpur.


Mentor saya dimaklumkan mengenai hal ini. Dia menggalakkan saya pergi, begitu juga dengan rakan-rakan saya yang lain. Entah kenapa saya ni rasa sayu yang amat. Hampir setahun saya menghuni pejabat ini, bermacam-macam rasa pahit, masam, masin,manis yang saya rasa. Namun saya gembira dengannya biarpun di mata orang tua saya, pendapatan yang saya peroleh tidak sepadan dengan kelulusan yang saya miliki, saya biarkan sahaja. Namun ketika dan saat ini, saya diberi pilihan, malah saya juga telah memohon pentunjuk untuk itu. Kecenderungan saya di Kuala Lumpur, cuma perasaan sedih meninggalkan rakan-rakan sepejabat yang saya sudah anggap seperti keluarga sendiri, itu yang buat hati rasa redah.


Pesanan mentor saya, perjuangan itu tidak kenal tempat, yang penting jangan putus hubungan dengan sahabat-sahabat dan istiqamah. Saya paling bimbang perkataan ISTIQAMAH, ringan mulut untuk menuturkannya, namun praktikal? saya masih kurang pasti. Pergi ke Kuala Lumpur bermakna saya tidak akan dapat menghadiri majlis perkahwinan 2 sahabat baik saya sebelum puasa ini, dan juga 4-5 rakan yang lain. Apa nak dikata, kita selalu merancang, tapi yang menentukan ALLAH. Saya harus akur dan redha dengan apa yang tersurat untuk saya. Emak saya memang mengharapkan saya mencari kerjaya yang baru, sesuai dengan kelayakan yang saya dapat. Mungkin inilah masanya untuk saya buat orangtua saya redha dan rasa senang hati sedikit. Apa nak buat....


Buat semua teman seperjuangan Narumi Hayashida di Terengganu, saya mohon ampun dan maaf atas segala salah dan silap yang pernah saya lakukan samada sengaja ataupun tidak dari tutur kata dan perlakuan saya selama kalian mengenali hamba ALLAH ini. Semoga kita semua akan terus istiqamah di atas jalan ini, yang mana SABAR adalah senjata, IKHLAS adalah pakaian dan 1001 lagi SIFAT MAHMUDAH yang perlu dijadikan amalan. Doakan Narumi Hayashida mampu untuk menjadi ISTIQAMAH sepertimana yang diperintahkan, walau tercampak dimana-mana pun. Kenangan bersama sahabat-sahabat merupakan guru yang baik buat diri ini. Sirru Ala Barakatillah semua...Kuala Lumpur, here I come!

p/s: Tertarik dengan peringatan dan pesanan mahal Ketua Pejabat, "BERUSAHALAH MENJADI SEPERTI UMMU SULAIM...!"

Tuesday, August 12, 2008

Al-Kisah UiTM dan 10 Peratus Kuota Bukan Bumiputera

Kehangatan isu mahasiswa berlangsung sehari dua ini. Semalam di TV3 ada ditunjukkan penuntut di Kolej Masterskill yang mengadakan bantahan terhadap pihak pengurusan kolej dan juga PTPTN yang dikatakan tidak memberikan jumlah pinjaman yang sepatutnya sepertimana yang tertera dalam perjanjian. Bila diutarakan hal tersebut kepada pihak pengurusan Masterskill, mereka menafikan mengambil sejumlah daripada wang tersebut, bila diajukan kepada pihak PTPTN pula, kata mereka, mungkin berlaku masalah semakan. Macam-macam hal....yang jadi mangsanya pelajar, mana nak bayar duit buku lagi, yuran kolej lagi, belanja makan lagi dan sebagainya.

Naib Canselor UiTM

Itu isu di Kolej Masterskill. Ada pulak isu kecoh mengenai UiTM, tempat pengajian saya suatu masa dahulu. Kontroversi terbaru yang timbul bilamana Menteri Besar Selangor mencadangkan agar 10 peratus kuota kemasukan mahasiswa diberikan kepada bukan bumiputera. Sudah tentu ianya mengundang kecaman dan reaksi yang negatif, lebih-lebih lagi kepada para pengasas UiTM itu sendiri. Amaran Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ibrahim Abu Shah sendiri kelihatan agak tegas: "Jangan cuba kacau, jangan cabar kita. Jangan sesekali cabar benda ini, terutamanya pemimpin Melayu yang mengkhianat bangsa," tegas beliau dalam satu sidang media yang bertarikh 12 Ogos 2008.

Graduan UiTM

Marah sungguh bunyi kenyataannya. Terasa hangat juga telinga ini andaikata benarlah apa yang diberitakan bahawa Graduan UiTM tidak berkualiti, tidak mesra dan tidak berdaya saing dalam pasaran kerja di Malaysia. Saya adalah graduan UiTM, bukan bertujuan untuk membangga diri dengan status itu, tidak dinafikan dalam kelompok graduan mungkin juga ada yang mewakili sikap sedemikian, tetapi itu bukan bermakna ia mewakili keseluruhan penuntut di IPTA ini. Alhamdulillah, ramai rakan saya yang lain berjaya menempatkan diri mereka samada di sektor kerajaan dan swasta. Apa yang penting adalah kesungguhan untuk menempatkan diri dalam lapangan kerja dan masyarakat sebaik mungkin.

Namun masih banyak lagi yang perlu diperbaiki untuk menjadikan generasi UiTM hari ini lebih berdaya saing, berkualiti malah yang paling utama bersahsiah dan berakhlak mulia. Maaf cakap, sejujurnya pengalaman hidup di kampus UiTM banyak membuka mata dan minda saya tentang suasana persekitaran dan gejala sosial yang melanda. Kadang-kadang saya pun terkeliru dengan pemakaian dan pergaulan mahasiswa. Berbaju ketat, berambut perang, berpegangan tangan tanpa segan silu, pergaulan antara lelaki dan perempuan yang tidak terkawal dan sebagainya bagaikan rencam hidup semasa belajar di situ. Saya tahu bukan di UiTM sahaja isu ini berlaku, mana-mana IPT lain juga punya masalah yang sama, namun hanya kerana UiTM merupakan Universiti Bumiputera terbesar di Malaysia, maka itulah yang akan menjadi hal yang utama.

Natijah pergaulan bebas

Saranan saya, sebelum sibuk mempertikaikan mengenai kuota kemasukan tersebut, bincangkan dulu isu kebejatan akhlak penuntut UiTM sendiri. Isu kuota bukanlah hal yang tidak penting,banyak pro dan kontranya. Namun sewajarnyalah perkara tersebut dibawa berunding dengan bijaksana (kata 50 tahun dah tertubuh!). Apa yang wajar dijaga, pertahankanlah, apa yang boleh dirunding, duduklah berbincang sebaik mungkin, kerana yang penting bagi saya generasi muda yang berilmu, beramal dan bertaqwa kepada ALLAH adalah matlamat utama. Lagu UiTM Di Hatiku cukup menyentuh jiwa. Biasanya ia dilagukan bila berlangsungnya Istiadat Konvokesyen, tapi yang saya perturunkan disini adalah yang telah diedit, sila hayati betul-betul, ok? Wassalam.

UiTM Di Hatiku

Wujudmu disini di tanah anak merdeka
Bagai obor ilmu memayungi putera puterinya
Pelopor hidup budaya agama, bangsa dan negara

Membentuk akhlak manusia agar jadi berguna

Ku yang melangkah kesini ingin mempelajari

Rahsia di muka bumi dengan cara hakiki
Tunjukkan aku jalan ilmumu untukku menuju

Destinasi cita-cita agama dan negaraku

Majulah ISLAM maju negara

Berkat usaha jaya MARA

Kami berikrar akan berjasa

Hingga kita berjaya demi AGAMA

Watikah yang kumiliki kan ku semat dihati

Janjiku pada pertiwi untuk menabur bakti

Kusempurnakan seikhlas hati membela agama
Doa restu ayah bondaku untukmu semua

UiTM...Usaha Taqwa Mulia

SYAABAN YANG MENGGAMIT, RAMADHAN YANG SEMAKIN HAMPIR.....

Doa 3 bulan yang istimewa


Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:

  • Memperbanyakkan puasa sunat.Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW. lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.

    Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

  • Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

  • Bertaubat Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."

Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya,

“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah SAW, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).

SUMBER: http://www.al-azim.com/masjid/syaaban/home.htm

Sunday, August 10, 2008

SEPETANG DI MASJID TERAPUNG

Masjid Terapung, Kuala Ibai

Bertemu janji untuk menziarahi rakan yang baru menerima cahayamata di Seberang Takir, tapi akhirnya terpaksa di batalkan. Ada urusan lain. Saya menumpang kawan untuk balik ke rumah. Sempat membebel kepadanya "Lama doh kita tak ambil angin sama2". Pujuk punya pujuk, rakan saya itu mengalah, hihi. Macamlah saya tuan kereta, demand betul. Kami ke Masjid Terapung petang semalam bersama-sama. Kawan saya, Karimah Najiah Mohd, satu sekolah dan antara yang rapat dengan saya hingga sekarang. Tempat kerja pun dekat-dekat, tapi dia agak sibuk. Almaklumlah memegang dua jawatan, kadang-kadang kesian juga tengok dia, tapi apakan daya, saya pun tak mampu nak menolong.

Suasana damai di Masjid Terapung

Angin sepoi-sepoi bahasa, lama sungguh tidak berjalan-jalan di Masjid Terapung. Pemandangan yang dicacatkan dengan pertemuan merpati 2 sejoli. Kami bersembang tentang masa sekarang dan juga masa depan. Telah jauh rupanya alam persekolahan kami tinggalkan, hampir 9 tahun lamanya. Pengalaman belajar sudah, bekerja sudah, tinggal pulak pengalaman berumah tangga, hihi (yang ni no komen!). Kawan saya ni insyaALLAH akan bertukar statusnya tidak lama lagi, tinggal sahaja saya la dalam kumpulan member kami, SAUJANA INOVATIF yang masih solo. Klik kami semasa di sekolah seramai 5 orang.

Karimah termenung memikirkan masa depannya

Saya, Karimah, Munirah, Rozila dan Ayu. 3 darinya sudah bergelar puan. Tinggal lagi saya dan Karimah. Masing-masing sudah mempunyai kehidupan sendiri. Cuma harapan saya moga-moga ukhuwwah yang terjalin tetap bertaut erat.Masjid Terapung dalam pembinaan. Saya terasa kesan pembaziran yang melampau disini. Bayangkan lorong pejalan kaki yang masih elok dan boleh digunakan 'dicokeh' untuk digantikan dengan lorong yang bersimen, mungkin juga untuk keselesaan. Tapi kalau benda masih elok, buat apa nak membazir? Banyak lagi perkara yang boleh dibuat dengan duit yang ada tu. Tolong fakir miskin ke, golongan ibu tunggal ke, pendek kata tak rugi pun kalau tak buat lorong yang baru.

Pondok berehat yang dalam pembinaan

Hanya disebabkan proses penambahbaikan yang lebih kepada pembaziran ini, pengunjung tidak ramai yang datang. Dari satu sudut, bagus juga sebab pasangan yang merendek berkurangan. Dari satu sudut yang lain menyusahkan kerana merosakkan alam sekitar. Pokok-pokok terpaksa ditebang untuk dibuat tempat bersinggah. Apa nak buat? Tangan manusia memang suka memusnah, itu hakikat yang perlu ditelan. Hampir sejam berada di situ saya dan Karimah beransur pulang. Terserempak dengan Ustaz Rashid, Setiausaha Pusat Perubatan Darussyifa' bersama dengan isteri dan anak-anak beliau berkelah disini. Ceria dan bersemangat anak-anak Ustaz berkejar-kejar kesana kemari. Tinggallah kawasan Masjid Terapung yang damai itu. Permisi...

Gambar-gambar yang sempat diambil dari kamera pinjam, huhu:

Pasangan yang berdating......

Hehe...rupa-rupanya dengan anak tersayang

Orang muda Darul Hadhari...moga ALLAH beri petunjuk pada mereka suatu hari nanti

Abdul Salam dan kakaknya, Ainul Rashidah

Usrah Mahbubah Ustaz Rashid

Pemandangan indah Muara Sungai Kuala Ibai, fenomena air surut