Tuesday, July 29, 2008

MUSAFIR SEORANG NARUMI SIRI 2

Catatan Musafir disambung kembali....

Sesampainya di Stesen LRT Taman Paramount, saya menunggu sahabat lama saya beberapa ketika. Seorang sahabat lama yang hampir 8 tahun tidak berjumpa, padahal jarak rumah kami tidak la jauh sangat. Saya di Kuala Ibai, dia di Rhu Dua, Marang. Kami pernah bersua beberapa kali semasa dia di Akademi Pengajian Islam Nilam Puri dan saya di UiTM awal tahun 2000 dahulu. Tapi semenjak dia ke UM Kuala Lumpur, kami hampir terputus hubungan. Mujurlah, ayah sahabat saya itu sering memberitahu perkembangan terkini beliau.

Berhenti makan di sebuah warung berhampiran rumahnya di Petaling Jaya. Jadi tetamu ni best, hehe, dibelanja. Tak sampai setengah jam kami disitu, azan dah berkumandang.Hmm, macam berbuka puasa pulak, sebut saya kepada kawan lama saya itu dan juga teman serumahnya yang menemani. Lama tak jumpa dengan sahabat saya, dia masih ramah macam dulu. Saya terharu dengan pertemuan ini, nasib baik tak ade air mata yang tumpah. Ishhh, kalau menangis depan orang kan ke malu muka aje? Teman serumah beliau rupa-rupanya lepasan KISAS dan merupakan rakan sekelas kepada junior saya semasa di UiTM dulu. What a small world? detik hati kecil saya.

SIAPA SAHABAT LAMA SAYA ITU?

Dari kiri:Najibah Mustaffa, Sofiah Najihan Zainal Abidin dan suami

Najibah Mustaffa, lahir 30 Oktober 1982, anak kelahiran Kampung Rhu Dua, Marang, Terengganu. Saya mengenali beliau semasa di tingkatan 1 hingga 3 di Sekolah Menengah Agama Marang, Terengganu. Najibah, sepadan dengan maksud namanya Yang Bijak, memang bijak orangnya (ni kalau dia terbaca blog saya ni, agak-agak teruk kena marah kot!). Antara pelajar terbaik Bahasa Arab (100% markah dia), antara pelajar terbaik PMR yang kemudian menyambung pelajaran ke SMKA Sheikh Abdul Malek dan kemudiannya ke Akademi Pengajian Islam Nilam Puri dan UM. Sekarang bertugas sebagai Pegawai Syariah di Syarikat Takaful Malaysia Berhad, terasa bangga pulak saya jadi kawannya, hehehe.

Najibah ni juga antara AJK Nisa' Malaysia yang aktif. Alhamdulillah, dia masih istiqamah di atas jalan ini. Kami sempat berbual banyak perkara, yang hampir 8 tahun dibual dalam masa beberapa jam..(insyaALLAH lepas ni saya akan bertemu dengannya lagi). Menumpang di rumah sewa beliau, terkejut juga saya pada awalnya bila diberitahu yang ahli rumahnya seramai 14 orang, tapi bila menjengah ke dalam, ada 7 bilik, patutlah ramai pun. Teman serumah beliau terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya, peguam, tutor, guru, pegawai bank dan sebagainya. Hebat-hebat juga mereka ni, detik hati kecil saya. Keletihan naik bas sebelumnya masih dirasai. Saya tidur awal malam tu. Dalam pukul 12 sudah terlelap. (Bersambung lagi la jawabnya, hehehe)

SOMETHING ABOUT HIJJAB...

Monday, July 28, 2008

MUSAFIR SEORANG NARUMI SIRI 1

Banyak kalori yang terbakar untuk sampai ke sini...

Jumaat malam, saya ke Kuala Lumpur menaiki Bas Transnasional 2 Tingkat (ala-ala doubledecker gitu!) ke Kuala Lumpur. Rasa-rasanya inilah perjalanan pertama saya ke sana setelah hampir 4 bulan selepas PRU baru-baru ini. Lonely ranger, hmm..Lama dah tak ke KL sorang-sorang walaupun dulu saya pernah praktikal di Petaling Jaya semasa Ijazah. Semasa menghantar mesej kepada beberapa sahabat, spontan saya mengusik nak cari peluang kerja yang baru, bertukar angin (mungkin juga sebahagian niat di hati). Mereka membalas, macam jauh hati je, hehe. Tak salah andainya saya bercadang nak tukar angin dan ia diizinkan ALLAH. Semua tu kuasaNYA yang menentukan...Sampai di Hentian Putra kira-kira jam 5.30pagi, saya terus menapak ke surau disitu yang kelihatan agak daif, tapi memadai bagi seorang musafir seperti saya. Nasib baiklah ada beberapa gadis Terengganu yang turut menapak di situ. Sementara menunggu waktu subuh tiba, saya berehat seketika. Kalau naik bas ni biasalah, tidur tak berapa nak selesa. Dengan saya yang agak sensitif dengan sejuk, nak buat macamana, kena redahlah semua tu, sapa suruh ke sana kan?

KENAPA KUALA LUMPUR?

Saya ke Kuala Lumpur kali ini kerana menghadiri Kursus Usahawan Siswazah Professional anjuran Bank SME. Niatnya nak mendapatkan ilmu dan mungkin juga peluang untuk saya menceburkan diri dalam bidang ini. Pagi Sabtu kursus itu diadakan di Bangunan SME Jalan Sultan Ismail. Cuak juga nak pergi ke situ, maklumlah saya bukannya kenal sangat. Nasib baiklah sebelum perjalanan semalam, saya telah menghubungi adik saya yang bekerja di TUDM Sungai Besi. Dia yang memberi panduan bagaimana untuk pergi kesana. Lama tak naik LRT, dengan tergesa-gesa berjalan ke stesen LRT PWTC. Awalnya bercadang untuk naik teksi, tapi bimbang tambang tak terjangka, duit harus saya jimatkan.Ingatkan dekat la juga dengan Stesen LRT Sultan Ismail, rupa-rupanya dalam setengah kilometer juga. Lama dah tak exercise, huhu.

Dengan menyandang beg dan berbaju kurung, saya rasa macam kembali ke zaman belajar semula. Apapun syukur, saya berjumpa dengan tempat kursus tersebut yang sudah bermula hampir 15 minit. Tersengih-sengih saya masuk kedalam bilik seminar tersebut. Apapun banyak pengetahuan baru yang saya dapat malah ada juga menjadi 'refreshment' kepada saya yang pernah belajar ilmu pemasaran sebelum ini. Yang kelakarnya, ramai yang hadir itu siswazah dalam bidang perubatan , malah doktor, ahli farmasi, optometrist dan sebagainya. Rasanya saya seorang sahaja siswazah dari jurusan pentadbiran perniagaan. Apapun itu bukan masalah besar untuk saya kerana ramai dikalangan mereka yang peramah dan boleh diajak berbincang.

stesen LRT Masjid Jamek, tempat pertukaran..

Kursus tersebut berakhir kira-kira jam 5.30 petang. Saya menapak lagi ke stesen LRT dan perlu menukar LRT di masjid Jamek untuk pergi ke rumah sahabat lama saya di Petaling Jaya. Sesekali rasa macam Explorace pulak, hihi. Alhamdulillah, ALLAH permudahkan walaupun ketika itu perlu bersesak-sesak dengan warga KL yang bercuti. Ramainya orang tak usah cakaplah. Tapi kadang-kadang bila melewati sesetengah tempat tu, hati saya berdetik:Kat Kuala Lumpur ke Bangladesh ni? Tak pun Tibet atau Indonesia? Ramai warga asing disini. Hampir jam 6.30 saya sampai di Petaling Jaya. Menunggu barang sebentar kawan lama yang telah mempelawa saya untuk menginap di rumah beliau sepanjang tempoh permusafiran ini. Siapa agaknya sahabat saya itu? Nantikan dalam Siri 2 Musafir Seorang Narumi (Chewwah..macam cerita bersiri pulak, padahal 3 hari je gi 'derrak' tu..hehehe).

Wednesday, July 23, 2008

JADIKAN HARI ANDA HARI YANG HEBAT



Oleh:mindataqwa


"Tahukah anda bahawa permulaan hari baru anda dipengaruhi oleh sikap anda sewaktu anda mula terkejut dari tidur.,Tidur merupakan mati yang sementara di mana sewaktu kita tidur Allah memegang nyawa kita dan Dia kembalikannya nyawa kita lalu kita terjaga dari tidur.Apakah sikap anda sewaktu terjaga dari tidur? Adakah anda bangun dalam keadaan lesu, atau tiba-tiba terfikirkan masalah dan bebanan yang digalas tiada berkesudahan?

Apabila anda bangkit dengan perasaan yang tidak bersemangat maka situasi ini akan menggangu mood dan emosi sepanjang hari dan berlanjutan sepanjang hidup anda.Bermula hari anda dengan rasa tertekan , sedih dan tidak bersemangat menyebabkan keadaan ini akan terbawa-bawa sepanjang hari anda pada hari tersebut dan anda benar-benar rasa tidak bersemangat, rasa malas dan rasa hidup yang penuh kebosanan yang mana sikap ini akan sering menjadikan anda adalah dalam golongan orang yang gagal.

Apa yang patut anda lakukan untuk kehidupan yang lebih ceria, bahagia dan penuh bermakna ialah apabila bangkit dari tidur anda perlu mengucapkan rasa bersyukur yang amat sangat kerana anda terlalu istimewa pada hari itu kerana anda masih lagi bernyawa dan sihat tubuh badan.Doa bangun tidur mesti dilafazkan yang bermaksud Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan aku dari mati dan padanya jua aku dikembalikan.

Apa perasaan anda jika anda berada di tengah-tengah lautan tiba-tiba kapal yang anda tumpangi dihempas badai yang amat kuat dan kapal anda hampir-hampir akan tenggelam. Dalam keadaan huru hara dan malapetaka yang besar anda benar-benar bermohon pada Allah memohon diri anda diselamatkan. Akhirnya doa anda dimakbulkan dan anda terselamat dari badai dan akhirnya anda berada di daratan...masih lagi dapat meneruskan kehidupan.. ah ..alangkah indahnya suatu perasaan kesyukuran yang amat sangat. Begitulah anda benar-benar menghargai sebuah kehidupan!

Begitulah yang patut anda rasa setiap kali terkejut dari tidur kerana anda masih lagi berpeluang untuk meneruskan kehidupan bagi perjuangan anda untuk berlumba-lumba melakukan kebajikan dan memohon keampunan pada Allah kerana apabila nyawa telah sampai ke halkum maka pintu taubat telah tertutup.Senyumlah sewaktu anda bangun dari tidur dan genggamlah kedua-dua tangan anda berazam untuk melakukan yang terbaik untuk diri anda pada hari itu Bangunlah dengan penuh motivasi dan bersemangat.

Mandikanlah minda anda dengan kata-kata positif. Emosi yang positif akan mengecas tubuh badan anda seterusnya mengalirkan bendalir penawar dalam tubuh anda.Rasakan kehebatan dapat memiliki nyawa (kehidupan) itu. Setiap hari adalah hari yang baru penuh dengan sinar dari Allah yang memancar ke dalam jiwa anda.Selepas menunaikan solat subuh hendaklah anda menikmati hidangan bagi roh anda iaitu zikir, istiqfar dan membaca ayat-ayat suci Al Quran.

Rasakanlah nikmat hidangan dari Allah yang akan membuatkan roh anda kenyang dan kuat dan hari tersebut menjadikan anda benar-benar bersemangat, ceria dan yang penting anda menjadi INSAN YANG TAHU BERSYUKUR KERANA ANDA AKAN KEMBALI ke TEMPAT ASAL DALAM MEMPEROLEHI KEREDHAAN ALLAH.Jumpa lagi salam penuh kasih sayang dari hati kerdil ini".


Monday, July 21, 2008

Friday, July 18, 2008

SIRIH PULANG KE GAGANG

Perkahwinan sahabat saya yang tersayang


Assalamualaikum...

Pagi Sabtu yang penuh damai dan indah baru-baru ni, saya menyambut kedatangan sahabat-sahabat lama yang datang menjenguk bumi Darul Iman yang tercinta. Bercampur-baur perasaan ketika itu.Sedih, gembira, teruja malah macam-macam lagi rasa yang bermain dalam hati dan fikiran masing-masing mungkin. Bayangkanlah, ada dikalangan kami yang sudah hampir 3 tahun tidak bersua sebelum ini, malah yang membuatkan saya sangat-sangat terharu, seorang sahabat saya yang baru beberapa bulan bergelar ibu dan kini menetap di Selangor sanggup menitipkan anaknya kepada ibu mertua sebentar semata-mata untuk bersama dalam re-union yang kami adakan di salah sebuah pusat peranginan di Terengganu.

Begitulah indahnya jalinan persaudaraan Islam yang terbina selama ini.
Teringat kenangan bergelak-ketawa, menangis, belajar malah kadang-kadang saat kesulitan dan cabaran hidup di alam kampus suatu masa dahulu seolah-olah baru semalam kami lalui. Ada juga dikalangan sahabat saya yang begitu teruja untuk datang berjumpa dan bertanya khabar sanggup membawa anak-anak kecil bersama. Saya sungguh terkesan dengan suasana ini. Malahan sahabat saya yang dijangka out- station ke Sarawak memilih untuk bertemu mata di Terengganu walaupun kalau diikutkan, best tu pegi Sarawak, dah la atas urusan kerja, sudah tentu ditanggung perbelanjaannya.

Berbagai perkara yang kami bincangkan bersama agar kesinambungan hubungan antara kami tetap berjalan dan diharapkan semakin erat.
Selain dari itu, atas kesedaran mahu membantu sesetengah sahabat yang kurang bernasib baik atau mempunyai halangan kewangan, kami cuba bersepakat untuk saling menolong setakat yang termampu antara satu sama lain agar mereka tidak terasa berseorangan dalam mengharungi ujian kehidupan. Hanya air mata kesyukuran dan juga rasa sedih dengan perpisahan yang mengiringi sahabat-sahabat saya pulang ke tempat masing-masing (saya tahu saya ni buruk kalau menangis, jadi cuba-cuba juga tahan, huhuhu). Cuma ada janji diantara kami agar saling bantu-membantu antara satu sama lain, bertanya khabar dan terus istiqamah mencari keredhaan ALLAH S.W.T. Semoga ALLAH mengabulkan permohonan hambaNYA yang lemah ini, aamin.


DEDIKASI BUAT YANG BERGELAR SAHABAT NARUMI HAYASHIDA

Terkenang sebuah memori lalu
Kisah persahabatan kita bersama
Di dalam satu pengajian
Menuntut ilmu dan pengalaman
Mengingatkanku pengorbananmu
Terpahat padu dihatiku

Bersama rakan taulan dan guru
Tawa riamu menghiburkan hatiku
Indahnya suasana ketika itu
Terjalin ukhuwwah sejati

Nasihatmu sungguh bermakna bagiku
Mengenalkanku erti kehidupan
Susah payah kita hadapi bersama
Itulah asam garam dalam kehidupan

Ya Tuhanku tabahkan hatinya
Kuatkan semangatnya untuk menghadapi hidup
Limpahkanlah maghfirah dan kasih sayangMU
Agar hidupnya sejahtera di dunia akhirat

(NASYID NOSTALGIA OLEH KUMPULAN SHOUTUL AMAL)



Wednesday, July 16, 2008

AKHIRNYA.....

Assalamualaikum buat semua,
Akhirnya, setelah berhempas-pulas (macam nak periksa pulak, hihihi), berjaya juga saya hasilkan blog saya sendiri. Tahniah kepada diri sendiri. Meskipun pengalaman yang ada amatlah kurang, insyaALLAH akan cuba ditampung dari semasa ke semasa. Ramai otai bloggers yang berkeliaran disekitar saya ni, kalau tak tolong, siap korang! Hehehe, bukannya apa, rasa cemburu juga tengok orang lain boleh mencatat banyak perkara dalam kehidupan diaorang. Saya yang terkial-kial baca. Nasib baik penyakit cemburu saya tu untuk hal-hal yang baik. Hmm, nak kata saya ni banyak pengalaman, memang tak banyak langsung, sekadar dalam usia hampir suku abad yang dikurniakan ALLAH kepada saya, masih banyak lagi yang perlu saya renungi, pelajari juga hayati. Kehidupan seorang mukmin tentunya yang menjanjikan banyak suka-duka, cabaran dan 1001 perkara yang tidak terjangka dalam minda insan yang diberikan ALLAH tanggungjawab untuk mentadbir serta menguruskan alam ni. Insan yang sememangnya berasal dari perkataan "nasiya" iaitu lupa, terleka dengan apa yang diberi, namun mudah-mudahan tidak dilalaikan sehingga lupa pada matlamat asal kita dijadikan ALLAH. Setelah berjanji taat setia untuk menjadi pendukung agama ALLAH ini, sudah tentu banyak dugaan dan tribulasi yang datang menjengah. Adakah kita sebagai hambaNYA akan mudah mengalah dengan cabaran yang melanda? Hati yang berpandukan Wahyu ALLAH tidak sewenang-wenangnya berputus asa dari rahmat ujian yang diberikan ALLAH. Kuatkah hati saya sendiri menghadapi ujian? Bercakap dan menulis memang senang, x sama dengan insan yang diuji. Apapun, sama-samalah bermohon agar ALLAH menguatkan hati kita semua (terutamanya yang menulis ini agar sentiasa kuat walau sekencang manapun ujian yang melanda. Sengaja saya namakan blog ini dengan "Damba CintaMU". Mudah-mudahan cinta ALLAH sentiasa tertanam di lubuk hati tanpa mudah diganggu gugat oleh mana-mana cinta lain yang merosakkan, melalaikan. Bercakap pasal cinta pada PENCIPTA, saya bukanlah insan yang selayaknya seperti Rabiatul Adawiyah yang mencintai ALLAH sehingga tiada ruang dalam hatinya untuk mencintai makhluk malah untuk rasa benci kepada syaitan sekaligus. Namun tak salah sama-sama mendoakan agar cinta kita kepada PENCIPTA sentiasa segar seperti wali ALLAH ini. Hanya dengan cinta maka kita akan mengenal PENCIPTA, kemudian RasulNYA juga saudara-saudara yang seagama dengan kita. Natijahnya, usaha menyebarkan risalah Tauhid akan kita lakukan, tidak kerana sebab lain. Kerana kita cintakan ALLAH, dan menyambung tugas Rasulullah S.A.W. Namun ranjau perjuangan ISLAM ini tidak akan pernah berhenti, selagi nadi kita masih diizinkan ALLAH untuk berdenyut. Syaitan, hawa nafsu malah musuh-musuh ISLAM akan terus berusaha untuk merosakkkan orang-orang MUKMIN bilamana mereka terlalai dengan cinta dunia dan takut akan kematian. Doa dan harapan saya, andai ada kesilapan yang dilakukan, sudi-sudikanlah menegur dan memberi jalan untuk memperbaiki kesilapan tersebut. Semoga ALLAH senantiasa meneguhkan hati-hati manusia yang berIMAN ini dengan cinta ALLAH yang hakiki dengan cita-cita hidup yang mulia atau mati sebagai syahid dijalanNYA. Hanya pada ALLAH sama-sama kita semua serahkan segala sesuatu. Hanya DIA yang berkuasa menentukan, semoga kehidupan kita sentiasa menuju mardhatillah, bermula dari alam roh hinggalah kita dibangkitkan semula di padang mahsyar nanti. Wallahu'alam. Ukhtikum Lillah, Narumi Hayashida 17 Julai 2008 bersamaan 14 Rejab 1429H Bumi Darul Iman