Saturday, September 13, 2008

LAMA SUNGGUH TAK UPDATE.....

Terasa sungguh satu kehilangan (sedih la tu!) bilamana saya tidak sempat menukilkan apa-apa dalam seminggu dua ini, berkongsi dengan sahabat-sahabat, antara kegembiraan seorang Narumi sebenarnya. Namun hakikat pahit serta payau yang saya harus telan, saya mempunyai masalah dengan kemudahan internet disini! Berbanding dengan tempat kerja saya di Terengganu, maka itulah harga yang harus saya bayar untuk penghijrahan ini. Banyak yang ingin saya kongsikan dengan pembaca blog ini, namun mungkin ada yang ingin Allah minta saya simpan untuk makluman diri sendiri sahaja. Biarlah ianya jadi hikmah dan rahsia Allah untuk ingatan dan panduan Narumi.

CETUSAN RASA I

Saya berusaha dan bertawakkal juga untuk pulang ke Terengganu pada awal 6 hingga 8 September baru-baru ini. Alhamdulillah, Allah ,memudahkan dengan pertolongan rakan lama saya yang bersusah-payah membeli tiket dan menghantar saya ke Greenwood di Gombak. Saya tetap rindukan suasana berpuasa di Terengganu dan mujur...Urusan yang tidak melalui banyak halangan, cuma debaran-debaran yang sentiasa tak putus-putus datang dengan senario tak terjangka. Alhamdulillah, berbuka puasa di Terengganu menghadirkan 1001 rasa bahagia dalam diri.

Balqis in Pink dalam dakapan Mak Iti tersayang...hehehe

Beberapa urusan yang tertunda sebelum ini alhamdulillah berjaya diselesaikan sedikit-sebanyak. Sempat menjenguk permata hati sahabat saya, Akhi Zaidan dan Kak Jue, Balqis Mohd Zaidan yang dilahirkan 26 Ogos baru-baru ini. Biarpun dimata masyarakat insan kecil ini tidak sempurna sepenuhnya, tapi bagi saya dan sahabat-sahabat lain..Dia terlalu istimewa, dan ummi dan abinya juga insan terpilih untuk memiliki anak seistimewa Balqis. 'Putih selepuk' kulitnya, bersih dan suci insan yang dicipta oleh Allah bagi meramaikan umat Muhammad di atas muka bumi ini.

Lokasi tempat berbuka puasa bersama Kak Baity dan Iera

Sempat juga bersama dengan Kak Baity dan Iera berbuka puasa bersama-sama di kampung halaman saya di Kuala Ibai. Sempat kami bincangkan beberapa perkara walaupun terasa ralat tanpa kehadiran sahabat-sahabat lain. Tapi apa nak dikata lagi, perancangan Allah mengatasi kehendak hati hambaNYA kerana itu adalah yang terbaik dari Allah. Bertarawih di kampung sendiri..meriahnya tidak sama seperti di tempat orang. Saya akui itu. Namun yang membuatkan saya rasa paling bersyukur dengan Ramadhan di Terengganu kali ini ialah apabila saya sempat bersama-sama dengan Tok saya, satu-satunya nenek yang masih tinggal.

Terbetik juga sayu di hati kerana kesibukan saya dulu, jarang-jarang sangat dapat saya habiskan waktu bersamanya, cuma kadang-kadang menemani beliau mendengar Kuliah Tok Guru di Masjid Rusila. Semakin dimamah arus usia semakin kudrat itu berkurangan. Namun Alhamdulillah, Allah masih memberikan tenaga kepada Tok untuk melangkah ke surau yang hanya beberapa ela dari rumah kami. Kesempatan yang ada baru-baru ini saya luangkan bersama dengannya, dan itulah yang emak saya harapkan. Belum tentu lagi Ramadhan akan datang saya berpeluang bersamanya, samada saya mahupun dia yang bakal pergi dahulu...

CETUSAN RASA II

Hadiah dari Kak Ummi kepada sahabat bloggers, patung cilik milik anak perempuan beliau yang dipakaikan dengan tudung...comel kan?

Rasa terharu dengan bingkisan daripada Kak Ummi kepada saya dan rakan-rakan blog yang lain. Betapa anaknya yang baru lagi berusia 4 tahun namun alhamdulillah telah dididik sebaik mungkin oleh umminya tentang kewajipan menutup aurat. Saya mendoakan agar da'ie cilik ini nantinya akan terus istiqamah dalam mematuhi perintah ALLAH malah berjaya mengikut jejak langkah kedua orangtua beliau.

Teringat saya kenangan memakai tudung secara istiqamah semasa kecil-kecil dahulu ialah ketikamana pemergian ayah kepada emak saya, umur saya kira-kira 8 tahun ketika itu. Saya kagum dengan kesungguhan kanak-kanak zaman sekarang. Namun saya juga makin menyedari yang cabaran mereka hadapi semakin banyak. Semoga sentiasalah saya, mereka dan umat Islam seluruhnya dipelihara ALLAH bila-bila masa dan dimana-mana jua, amin...

Sudah masuk hari ke 13 Ramadhan, terasa masih banyak lagi lompang yang belum saya isi dengan amal ibadah pada ALLAH. Terasa sungguh bersalah dengan keadaan ini. Kepada semua yang bergelar sahabat, doakanlah saya tidak akan terleka dalam perjalanan mendamba Cinta ALLAH ini...wassalam.

1 comment:

Nafastari said...

Salam, anda sudah tinggalkan Bandaraya Warisan Pesisir Air?