Oleh: Aqil Fithri
Islam ada pengalaman yang menarik dan elok jika dihimbau kembali dalam menghalusi kerumitan politik dewasa ini. Bagi Ibn Taimiyyah, adalah lebih penting pemimpin muslim yang zalim berbanding pemimpin kafir yang adil, asalkan shariat Islam maseh ditegakkan.
Jalur Ibn Taimiyyah ini sebenarnya ditentang oleh Khawajah Nasir ad-Din at-Thusi. Kini, dalam konteks penekanan PAS pada majoriti Melayu Muslim, wacana—antara nilai dan shariat—ini menarik untuk diangkat. Apatah lagi, al-Qur’aan menerusi Surah al-Maaidah, ayat 8 turut membicarakan kedekatan taqwa dengan keadilan. Wawancara Ummahonline.com bersama Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS ini membuka medan perbahasan panjang.
Khalayak melihat Pakatan Rakyat (PR) memberi harapan yang lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN). PR menjanjikan penghapusan akta-akta yang menindas, pendidikan percuma, kebajikan yang meluas, dan sebagainya. Jadi, apakah ada lagi kebimbangan lain untuk kita memilih PR?
Saya rasa, bagi PAS tidak ada kebimbangan, kerana PAS konsisten dengan Islam yang diperjuangkan… di mana dalam penyertaan kita bersama PR, tidak disentuh idealogi perjuangan parti masing-masing. Dalam hal ini, PAS berhak untuk menyatakan Islam sebagai satu syarat yang penting kepada sebarang perubahan. Kepada PAS, sebarang perubahan dalam negara tanpa meletakkan Islam, tidak akan berjaya. Ini kerana, kita telah mengalami percubaan idealogi-idealogi yang lain daripada Islam—bukan sahaja di Malaysia, tapi di seluruh dunia—iaitu kegagalan komunisme, sosialisme, kapitalisme, dan liberalisme yang sedang kita hadapi ini. Ini kegagalan orang yang bukan Islam. Oleh kerana itu, sudah tiba masanya kita mengemukakan Islam sebagai penyelesaian. Dengan sebab itu PAS meletakkan syarat Islam adalah syarat penting dalam sebarang penyertaannya di dalam PR.
Sebelum ini, Tuan Guru ada menyebut jumlah ahli parlimen PR mestilah majoriti Melayu Muslim. Persoalannya, mengapa Melayu?
Melayu ini kerana majoriti orang Islam (di Malaysia) adalah Melayu. Bahkan kalau kita baca Muqadimmah Ibn Khaldun, ada hadith yang menyebut, “pemimpin dari Quraisy.” Ini kerana, yang menjadi teras kepada penguasaan Islam pada masa itu adalah kabilah Quraisy. Maka, syarat kepimpinan mestilah Quraisy.
Di Malaysia, oleh kerana majoriti orang Islam adalah Melayu, dengan sebab itu kepimpinan Melayu Islam adalah lebih utama… kecuali kalau berubah, orang Cina masuk Islam ramai-ramai, dan mereka menjadi majoriti. Maka, sudah tentu mereka yang perlu menjadi teras. Itu pernah berlaku dalam sejarah Islam. Bila orang Turki yang menganut Islam, mereka merupakan orang Islam yang terkuat, maka mereka menjadi kepimpinan.
Di Malaysia, hakikat ini diterima oleh semua parti-parti politik, bahawa teras ialah Melayu Islam. Cumanya, kita mahu Islam dijadikan prinsip kepada penyelesaian masalah-masalah dalam negara. Ini satu perkara yang sering ditinggalkan.
Bukankah sudah memadai majoriti Muslim sahaja?
Muslim sahaja tidak cukup. Muslim lain, Islam lain. Muslim itu ada orang yang memelok Islam tapi tidak beramal dengan Islam. Kita mahu, Muslim yang beramal dengan Islam. Saya yakin, jika Islam dijadikan model… sepertimana yang kita pernah laksanakan di Kelantan, juga di Terengganu, dan seperti yang kita sedang laksanakan di Kedah dan di Perak. Dan, ini tidak menjadi masalah kepada orang bukan Islam. Apa salahnya bila Islam itu kita kemukakan dalam perubahan peringkat pusat? Bahkan peringkat pusat lebih wajar, sebab kuasanya lebih berbanding dari peringkat negeri lagi.
Tapi bukankah kedudukan Islam dan juga Melayu telah terjamin dalam perlembangaan, termasuklah menerusi institusi Yang Dipertuan Agong sendiri?
Yang penting kita menafsirkan perlembagaan menurut al-Qur’aan dan Hadith. Bukan menafsirkan mengikut barat. Islam dalam perlembagaan hari ini ialah Islam sebagai religion. Islam bukan religion, tapi ad-Deen, yang mempunyai makna yang lebih luas. Sebab itu, kita pakai perlembagaan itu juga, tapi Islam itu sebagai ad-Deen, bukan sebagai religion.
Tapi, bukankah PAS boleh menarik diri dari PR sekiranya berlaku masalah setelah pembentukan kerajaan PR nanti. Malah, dengan sendiri PR akan turut terbubar pada waktu tersebut?
Sehingga hari ini, kita maseh dalam PR. Kita tidak bersedia untuk keluar lagi. Kita maseh peringkat awal, peringkat perbincangan, peringkat mahu membuat perubahan, dan belum lagi peringkat memerintah negara. Saya yakin dan percaya, kerana hari ini parti-parti pakatan rakyat telah menerima majoriti Muslim. Ini mereka telah terima. Saya difahamkan DAP pun terima, Keadilan pun terima, iaitu mesti majoriti mesti Islam.
Bukan saya membuat kenyataan begitu sahaja, bahkan saya mendapat maklum balas, bahawa kalangan bukan-Islam menerima majoriti Islam dalam kerajaan. Ini perkara yang sangat penting.
Tapi, apakah PAS menaruh kecurigaan terhadap ahli parlimen bukan-Islam yang ingin menyeberang ke dalam Pakatan Rakyat?
Kita menghukum apa yang zahir. Itu yang diajar oleh Islam. Hakikat yang tersembunyi, itu di sisi Tuhan. Kerana, Tuhan mengajar kita dalam al-Qur’aan, sekiranya mereka mahu menipu kamu, maka Allah akan menjadi penolong kamu dalam menghadapi mereka.
Jadi, yang penting keikhlasan kita untuk melaksanakan Islam.
Sekiranya PAS mengancam untuk keluar dari Pakatan Rakyat, itu boleh membangkitkan soal penjanjian PAS dengan Pakatan Rakyat. Tidakkah tindakan tersebut menunjukkan PAS ingkar pada penjanjian?
Tidak ada ancaman. Ancaman tidak ada. Bahkan ini dibincang secara terbuka di dalam parti-parti pakatan rakyat.
Memang isu berkenaan majoriti Melayu Muslim telah lama timbul. Tapi, berkenaan berita tentang penarikan diri PAS dari Pakatan Rakyat hanya baru saja timbul?
Itu permainan media. Media yang menimbulkan isu PAS hendak keluar. Saya tegaskan, kita maseh lagi dalam Pakatan Rakyat.
Tapi, tidakkah PAS memerlukan muktamar khas untuk memutuskan sebarang kedudukannya dalam Pakatan Rakyat?
Saya tidak mahu menjawab soalan yang berupa andaian. Andaian bila tiba masa baru kita membuat keputusan. Muktamar khas bukan mesti. Kalau tidak perlu, cukup dengan keputusan PAS Pusat sahaja.
Tapi, kalau melihat kaitan isu majoriti Melayu Muslim ini, Nabi turut bertolak ansur dalam Penjanjian Hudaibiyyah. Tidak begitu?
Tapi, Nabi tidak bertolak ansur dalam perkara prinsip. Nabi hanya bertolak ansur dalam perkara cabang sahaja. Nabi tidak terima supaya pemerintahan Islam dibubarkan. Apa yang diterima ialah, Penjajian Hudaibiyyah itu memberi makna bahawa pemimpin mustrikin makkah mengiktiraf Madinah adalah sebuah kerajaan Islam. Ini yang penting dalam Penjanjian Hudaibiyyah.
Adapun syarat-syarat penjanjian tersebut, itu adalah cabang. Prinsip Penjajian Hudaibiyyah itu adalah mengiktiraf kerajaan yang dibentuk oleh Nabi di Madinah. Itu kita kena sedar.
Tapi dalam soal BN dan PR ini, bukankah PAS juga boleh memakai kaedah “memilih kemudaratan yang lebih kecil”?
Pakatan Rakyat belum lagi teruji pemerintahannya di peringkat pusat. Apa yang ada cuma di peringkat negeri. Dengan sebab itu, penekanan dibuat di peringkat negeri seperti yang ada sekarang… di mana kita telah diberi kepercayaan untuk memimpin dua buah negeri, di samping Kelantan. Ini satu kepercayaan yang sangat besar. Bahkan, kita turut menerima hakikat DAP memerintah Pulau Pinang, dan keadilan memimpin Selangor. Dan kita menyertai kerajaan tersebut. Jadi, sebab itu tidak timbul lagi soal keluar dari Pakatan Rakyat, sebab kita maseh bersama dalam kerajaan (negeri).
Jika PR—peringkat pusat—belum lagi teruji, mengapa PAS meletakkan batas-batas lebih awal sebelum diuji?
Itu sebelum mendirikan kerajaan, maka kita mestilah ada asas dahulu. Majoriti Melayu Muslim adalah asas kepada kerajaan ini. Asas itu kena ada. Macam kita nak mendirikan rumah juga. Tapak rumah tersebut mestilah diuji terlebih dahulu. Rumah tidak ada lagi… dan ujian rumah setelah membinanya adalah ujian kedua. Sebaleknya, ujian pertama ialah tapak rumah tersebut.
Tapi, kita melihat ada perbezaan sikap dengan DAP di Perak. Di Perak, DAP sedia memilih Menteri Besar dari kalangan PAS, meskipun mereka mempunyai suara majoriti dalam DUN. Ini menunjukkan satu tolak-ansur DAP dalam semangat Pakatan Rakyat. Jadi, adakah ini juga menunjukkan bahawa DAP sebenarnya lebih berjiwa besar berbanding PAS?
Alhamdulillah, kita lebih lama dari DAP. Kita ditubuhkan pada 1951, sebaleknya DAP dalam tahun 1960-an. Kita lebih awal. Dan kita menghadapi tribulasi lebih hebat dari DAP lagi. Kita berpengalaman memerintah kerajaan negeri. Kita berpengalaman menjadi kerajaan campuran bersama dengan BN. Kita berpengalaman menjadi pembangkang. Kita berpengalaman semua. DAP baru saja berpengalaman memerintah kerajaan Pulau Pinang. Kita lebih lama. Dan kita berjiwa besar kerana ketahanan kita pada prinsip kita. Dengan sebab itu, prinsip Islam yang kita perjuangkan ini adalah sangat penting. Inilah teras kepada jiwa besar kita.
Setelah kejatuhan Baghdad, banyak ilmuan Islam yang muncul. Ini termasuklah Ibn Athaillah dalam bidang tasawwuf, Ibn Katsir dalam bidang tafsir, Nasir al-Din al-Thusi dalam bidang falsafah, dan Ibn Taimiyyah dalam bidang aqidah, dan ramai yang lain lagi. Salah satu rumusan Ibn Taimiyyah dalam Minhajul Sunnah ialah “pemimpin muslim yang zalim lebih baik dari pemimpin kafir yang adil.” Jadi, apa pandangan Tuan Guru tentang pandangan Ibn Taimiyyah ini?
Itu pandangan yang betul, dalam soal kepimpinan negara. Sebab itu saya rasakan bahawa majoriti Muslim itu penting. Kerana kepada kita, idealogi negara iaitu Islam adalah sangat penting. Bila kita memilih seorang Islam, idealoginya Islam, walaupun dia seorang yang zalim, tapi dia tetap melaksanakan shariat Islam. Jadi, ini yang kita mahu. Itu yang dimaksudkan oleh Ibn Taimiyyah. Apa yang berlaku hari ini tidak wujud. Yang berlaku hari ini ialah orang Islam yang tolak idealogi islam. Ini masalah yang kita sedang hadapi. Itu lain dengan maksud dari kitab Ibn Taimiyyah. Ibn Taimiyyah itu zaman Tartar menguasai Baghdad, di mana pada masa itu ada kerajaan-kerajaan Islam. Dan kerajaan Islam itu maseh melaksanakan shariat Islam. Walaupun rajanya minum arak, dan berfoya-foya, tapi rajanya tidak berani untuk membatalkan shariat Islam. Apa yang berlaku hari ini, pemimpinnya orang Islam, tapi menolak terus pemerintahan cara Islam. Ini masalah yang kita hadapi.
Jadi, ini bercanggah dengan pandangan Nasir al-Din al-Thusi yang meletakkan “pemimpin kafir yang adil lebih baik dari pemimpin muslim yang zalim?”
Itu pada zamannya. Zaman pemimpin Islam yang memerintah dengan Islam. Peribadi pemimpin itu sendiri memang buruk. Kita hari ini, ada pemimpin yang sembahyang, tapi tak laksanakan shariat. Jadi, kita perlu letakkan asas pemerintahan Islam sangat penting. Kita tidak ada pemeritahan Islam hari ini. Itu masalah kita.
Artikel asal dari Ummahonline.
No comments:
Post a Comment