Tuesday, July 21, 2009

MEMORI IKAN SINGGANG





ISNIN, 13 JULAI 2009


Malam ini diajak bonda untuk mendengar kuliah maghrib di Masjid Hijau Simpang Empat Chendering. Sebelum pulang ke rumah, terserempak dengan Arni Nazira. Artis popular yang satu ketika dahulu terkenal dengan lagu ‘Cinta Antara Benua’ ini alhamdulillah telah diberi hidayah oleh ALLAH untuk memakai hijab dan baru sahaja bergelar pengantin baru melalui perkahwinan keduanya dengan bekas rakan sekolah.



Semoga terus istiqamah dengan amalannya, malah terdetik di hati saya untuk mengundang beliau ke program Nisa’ selepas ini, entah macamana ilham itu terlintas ketika keluar dari masjid. Apapun, semoga Arni tetap dengan pendirian beliau sebagai muslimah sejati yang memelihara auratnya dan mencari cinta ALLAH mengatasi kemahsyuran sebagai artis. Sudah ramai artis wanita hari ini yang menutup kepala namun tidak mememlihara syariat serta menambah lebih banyak fitnah, samada dari segi pakaian, pergaulan, juga penghayatan agama.

Dalam perjalanan pulang, sempat berbual dengan bonda tentang khabar Che’ Temah dan Ayah De, antara warga emas di kampung yang menjadi jiran terakrab kami. Sudah lama saya tidak melihat kelibat mereka, apatah lagi Kak Dini, anaknya yang pernah menjadi guru sains ketika saya di tingkatan 3 dahulu. Warga emas amnya seperti mereka juga nenda saya dalam menghabiskan sisa umur yang masih ada, dengan amal ibadah dan pecutan menuju ALLAH. Banyak kenangan yang tercipta semasa kecil dahulu bersama dengan jiran ini juga yang lainnya, kerana jiran juga ibarat saudara mara, ukhuwwah yang begitu intim dan padu telah terbina sejak puluhan tahun yang lain.


SELASA, 14 JULAI 2009

Ke sekolah pagi ini dengan ayahanda kerana bonda bercadang untuk mengambil cuti rehat. Sesekali bercuti, menenangkan fikiran, mengumpul tenaga, tapi saya maklum dengan bonda saya nan seorang ini, bercuti bukan seperti kita orang muda hari ini. Berehat di atas katil mahupun kerusi malas, bonda saya ibarat nama bas percuma yang mengangkut penduduk Kuala Terengganu, diberi nama ‘Cas Ligas’. Tidak boleh duduk diam, ada sahaja urusan yang perlu dibereskannya.


Cuaca hari Selasa kelihatan mendung, dan sesekali hujan turun rintik-rintik. Rutin guru ganti berjalan seperti biasa, mengajar, mengulangkaji, menanda kedatangan, dan 1001 kerja yang perlu disiapkan. Hari Ko-Kurikulum sekolah, ramai pelajar berpakaian uniform. Mendapat panggilan dari bonda yang sebelum itu telah cuba memanggil saya tetapi tidak terangkat kerana berada di dalam kelas.


Satu perkhabaran dari bonda, Ayah De, suami Che’ Temah telah kembali ke rahmatullah beberapa detik sebelum masuk waktu zohor. Innalillahi wainna ilaihi ra’jiun. Baru semalam terlintas untuk bertanya khabar, dia terlebih dahulu dipanggil menghadap ALLAH. Ikan Aya Singgang yang dihajatkan arwah untuk dimakan tidak kesampaian. Arwah yang memang menghidap masalah lemah jantung tiba-tiba didatangi sesak nafas, dan dengan takdir ALLAH selang beberapa minit menghembuskan nafas terakhir di pangkuan Che’ Temah.


Tiada alasan yang utama sebab kematian seseorang, bukan kerana semata-mata kerana penyakit, kerana orang yang sihat juga biasa dipanggil menghadap ALLAH kerana sudah sampai waktunya dia dipanggil. Apa yang perlu kita percaya adalah kerana sudah tercatat sejak roh kita di azali lagi tentang suratan ajal itu. Bila, dimana juga bagaimana, hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui. Waima malaikat maut sendiri tidak mengetahuinya semasa dia menziarahi kita berpuluh-puluh kali setiap hari sehingga diperintahkan. Orang tua meninggal, orang muda juga meninggal, malah bayi sendiri juga bisa meninggal dengan kuasa ALLAH kerana Dia merupakan Tuan kepada diri kita semua. Bilamana ALLAH mengkehendaki, maka sebagai manusia langsung tiada daya upaya untuk menghalangnya.


NENDA TERKASIH, HAJJAH JAHARAH BINTI ISMAIL


Terlintas di fikiran saya tentang nenda yang juga dipenghujung usia senja itu. Alhamdulillah ALLAH masih memberi beliau kudrat untuk beramal ibadat di surau yang jaraknya hanya sepelaung dari rumah kami. Nenda juga selalu berdoa agar beliau dipanggil menghadap ALLAH sebelum sampai masa beliau menjadi nyanyuk, kerana bimbang menyusahkan orang lain, dan tidak mahu menghadap ALLAH dalam keadan minda sudah tidak berfungsi. Satu persatu saudara-mara, handai taulannya yang sudah tiada di dunia ini. Kesunyian dapat direnung dari mata tua nenda. Doakanlah saya dapat berbakti sebaik mungkin kepada nenda selama hayat masih dikandung badan ini, wallahu’alam.

No comments: