31 Ogos 2008...dah 51 tahun rupanya negara saya merdeka. Malam ini tentu sekali ramai anak muda yang bakal terkinja-kinja malah terlompat-lompat menyorakkan laungan kemerdekaan, tanpa mereka sendiri menghayati maksud sebenar disebalik istilah keramat tersebut. Bagi yang meraikannya dengan solat hajat, bacaan yaasin, syukur alhamdulillah. Hanya dengan mengingati Allah maka Dia akan mengingati kita, untuk apa dianugerahkannya kemerdekaan ini jika hanya diterima, disambut dengan laungan, muzin-muzik yang melalaikan, malah pergaulan bebas yang bakal menyumbang 1001 kebejatan akhlak di kalangan umat manusia khususnya umat Islam di Malaysia hari ini?
Mengenang kembali sejarah Malaysia yang dulu dikenali sebagai Tanah Melayu. Kaya dengan pelbagai hasil mahsul yang dikurniakan Allah. Bilamana kelekaan mengatasi kesyukuran, pemimpin saling berebut kekayaan dan mengenepikan hak rakyat jelata, keadilan hanyalah berlegar dikalangan suku-sakat semata-mata, maka Portugis datang bermaharajalela, kemudian Belanda, Inggeris, juga Jepun untuk menakluk atas kelemahan yang ada. Syukurlah dengan kesedaran malah kekuatan pejuang-pejuang agama suatu masa dahulu, biarpun nama mereka kurang disebut-sebut (alfatihah buat pejuang agama Islam), namun didoakan syuhada ini bersemadi dengan aman dibawah lindungan Allah.
Terlalu banyak jasa dan pengorbanan insan-insan yang berjuang di atas nama Allah demi menafikan ketuanan Penjajah. Mat Kilau, Tok Gajah, Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Tokku Paloh, Leftenan Adnan, malah 1001 lagi yang bangkit di seluruh Tanah Melayu atau Malaya ketika itu bermati-matian mempertahankan kedaulatan agama dan tanah air yang kita duduki hari ini. Sejauh manakah kita generasi muda berusaha mengekalkan keamanan dan mengaplikasikan konsep merdeka dalam diri? Adalah kebebasan pada kita ialah dengan berpakaian menjolok mata, bebas bergaul lelaki dan perempuan tanpa rasa segan silu, menceduk budaya barat tanpa prasangka, tanpa ilmu di dada? Tanyakanlah hati kalian, adakah kita benar-benar merdeka..?
No comments:
Post a Comment