Usai sambutan Hari Kemerdekaan ke-51, datanglah si Dia yang menjadi dambaan setiap insan yang memahami malah cukup menghargai ciri-ciri istimewa yang dimiliki. Datangnya dia amat dirasai golongan yang dekat dengan ALLAH, sumber ketenangan mereka yang taat, pengalaman bagi yang ingin merasai penderitaan, malah 1001 lagi keistimewaan bisa dimiliki ketika mana bersama-sama dengannya tika ini. Si Dia yang dinanti sudah menjengukkan diri, tinggal lagi kita yang perlu melakukan sesuatu yang istimewa ketika berada bersamanya tika ini kerana hadirnya hanyalah sementara cuma.
Itulah bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang penuh keberkatan, rahmat malah paling utama daripada 11 bulan yang lainnya. Pahala yang sedia ada digandakan, doa yang baik akan diterima, malah didalamnya ada suatu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan, yakni Laitul Qadar. Bukan semua insan dikurniakan keistimewaan untuk melaluinya. Namun sama-samalah kita mohon kepada Allah agar diberi kesihatan dan kekuatan untuk melakukan amal ibadah dari awal hingga akhir Ramadhan dengan penuh iltizam dan istiqamah.
Datangnya juga merehatkan tubuh kita yang selama 11 bulan sebelum ini terus-terusan bekerja memproses makanan yang dimakan. Datangnya 'mewangikan' mulut kita yang insyaALLAH nanti di akhirat mudah-mudahan dibangkitkan dengan bau harumnya kasturi. Datangnya Ramadhan juga mudah-mudahan meningkatkan lagi stamina fizikal dan mental kita dalam urusan sehari-hari tanpa wujudnya alasan letih, malas, bosan dan sebagainya. Doakan agar semangat tentera Badar sentiasa menyerap kedalam diri meskipun kekentalan mereka memerangi golonngan musyrikin lebih hebat daripada kita yang selalu tewas bila berlawan dengan nafsu sendiri wahai Narumi....
Berbicaralah dengan si Dia dengan bahasa syurga yang indah, suara yang mersik, penuh dengan penghayatan yang lahir dari jiwa yang tenang, tulus dan ikhlas kerana kita mendoakan Ramadhan inilah perantara antara kita dengan Cinta Teragung yang sentiasa menunggu-nunggu doa dari hambaNYA yang soleh. Tanpa bahasa syurga yang beralun mersik, penuh penghayatan, tadabbur dengan maksud dan fasahah yang baik, tiada serinya bagi Ramadhan, ibarat rumah tidak bertiang, isi tidak berkuku, jadi wahai diri yang bernama Narumi juga sahabat-sahabatmu cubalah sedaya mungkin meneladani hikmah bahasa syurga itu melalui kalamNYA yang agung agar ia menjadi bukti engkau menghadap Kekasih Agungmu suatu masa nanti...!
No comments:
Post a Comment