Thursday, November 6, 2008

ISU ABBY DAN NORMAN HAKIM:APA PANDANGAN MUFTI PERLIS

Artis juga manusia biasa, artis juga makhluk yang diciptakan ALLAH, ada fitrah yang tersendiri. Kenapa Narumi kali ini bicara soal artis? Sebab pada saya artis juga antara sasaran dakwah yang perlu didekati kerana mereka juga merupakan antara tumpuan masyarakat. Lihat saja kuasa ALLAH yang bisa mengetuk pintu hati sebilangan artis agar kembali kepada jalan yang lurus, dan doa saya juga agar istiqamah dan tidak dihanyutkan dengan bisikan syaitan yang banyak jenis ragamnya (pesan diri sendiri dulu ni!). Contohnya Amy Search, Aisyah, Zuar XPDC, Yusuf Islam, Azmil Mustafa dan ramai lagi. Mudah-mudahan lebih ramai lagi yang bakal mengikut jejak mereka, insyaALLAH.

Jika rujuk pada tajuk di atas, terasa saya ni macam wartawan hiburan pulak, hihi. Rasanya tak salah untuk menyentuh persoalan ini kerana mutakhir ini martabat artis kadang-kadang dipandang tersangat tinggi, lebih tinggi daripada ulamak bagi sesetengah masyarakat kita yang taksub dengan hiburan dan hal-hal yang melalaikan. Sampaikan kadang-kadang artis boleh ber'fatwa' mengatasi mufti. Contoh yang paling utama Konsert Jom Heboh yang pernah diharamkan oleh Mufti tetapi boleh dipertikaikan oleh mereka yang tidak mendalam hukum agamanya. Sebab itulah artis ini sangat 'tinggi martabatnya' dimata masyarakat.

2-3 hari yang lepas, saya sempat melihat berita TV9 yang mengisahkan isu Abby Abadi, mantan pelakon terkenal Gerak Khas yang diiringi oleh wartawan (biasa la, wartawan Malaysia kan nak jadi ala-ala paparazzi Hollywood juga..!) pergi berjumpa dengan suaminya untuk meminta supaya diceraikan. Biarpun dia beralasan sukar untuk berjumpa Norman sebelum ini kerana aktor itu jarang pulang ke rumah, namun cara dia meminta talak itu sangat menghampakan (malah maaf kalau saya katakan memalukan) maruah saya sebagai seorang perempuan. Biarpun saya masih lagi belum melangkah ke fasa perkahwinan, namun sedikit sebanyak ilmu yang pernah diajar oleh ustaz dan ustazah dahulu boleh dijadikan panduan dalam isu ini.

Abby dengan nada emosi meminta cerai dengan disaksikan oleh wartawan, saya dapat rasa kan perasaan kecewa beliau dengan kemelut rumahtangga yang melandanya. Tetapi adakah dengan cara begitu masalah tersebut bakal selesai dengan baik? Adakah Abby dan Norman Hakim sudah merujuk kepada kedua orangtua mereka? Berbincang masalah yang berlaku dan berusaha untuk menemui kaunseling. Saya cukup sedih dengan adegan yang ditayangkan dalam berita TV9 baru-baru ini. Biarapun saya tidak pasti yang mana betul yang mana salah, namun cara meminta cerai itu amat saya kesali.

Talak merupakan perkara halal yang paling dibenci ALLAH. Ertinya banyak urusan dan juga jalan penyelesaian yang dicadangkan dalam Islam sekiranya berlaku kemelut didalam rumahtangga. Pandangan orang tua antara hal yang perlu dipertimbangkan kerana mereka terlebih dahulu berpengalaman. Kadi merupakan antara mereka yang dirujuk untuk mendapatkan pandangan dan nasihat sebelum hal yang nekad dibuat, jika lebih bagus mungkin daripada pihak pejabat agama negeri sendiri. Saya kurang arif mengenai hal-hal tersebut, tetapi sebagai seorang umat Islam, keprihatinan terhadap isu-isu yang berlaku disekeliling kita perlu diambil cakna agar hal tersebut tidak menjadi ikut-ikutan atau fenomena biasa dimasa hadapan.


Saya tertarik untuk mendengar pandangan mufti Perlis, Dato' Dr. Asri Zainul Abidin, kerana biasanya beliau antara golongan ulamak yang terkehadapan dalam isu yang membabitkan umat Islam, antara berkisar tentang sahsiah artis. Masih saya ingat bagaimana laporan akhbar yang memnyebut tentang larangan daripada Dr Asri kepada Faizal Tahir, antara penyanyi tersohor mutakhir ini daripada mengadakan persembahan di negeri Perlis kerana masalah sikap beliau yang bertentangan dengan norma-norma timur.

Mungkin ada saranan yang baik daripada Dr. Asri untuk pasangan pelakon Gerak Khas ini. Manalah tahu dengan pandangan beliau yang keruh dapat dijernihkan yang retak boleh bercantum kembali. Bukan apa, beliau antara ulamak muda yang diberi peluang untuk menyatakan pandangan secara terbuka dalam ruangan akhbar. Jika ulamak pembangkang, mungkin akan dikata mencari publisiti pula. Terpulang kepada pengunjung blog saya bagaimana untuk menilai artikel ini. Namun jauh disudut hati, ada perkara yang perlu dibetulkan oleh mereka berdua. Artis juga manusia biasa, punya hati, punya perasaan, akal fikiran dan juga nafsu. Mereka juga hamba ALLAH yang perlu diberitahu apa yang betul apa yang salah, kerana masyarakat akhir zaman kini menginsprasikan mereka dalam banyak aspek kehidupan.

Semoga ALLAH memelihara kehidupan kita dalam rahmat dan redhaNYA jua, wallahu'alam.

No comments: