Usai bekerja, selepas bersolat asar dan berkemas-kemas, perlu terkejar-kejar ke perhentian bas kerana bas yang terakhir sebelum jam 6.30 petang. Perlu berhenti di Masjid Jamek untuk menukar train balik ke rumah. Sampai sahaja di Masjid Jamek, azan maghrib berkumandang, sempat minum air sebentar di laluan pejalan kaki untuk menghilangkan rasa dahaga sehari suntuk. Tiba-tiba pandangan saya tertancap kepada seorang gadis yang berjalan agak laju meskipun memakai tongkat putih. Entah macamana secara automatik segera saya memaut tangan beliau, bimbang-bimbang terlanggar tiang dihadapan. Alhamdulillah, beliau menurut dan buat pertama kalinya Narumi Hayashida memimpin seorang hamba ALLAH yang cacat penglihatan.
Kami sempat berbual-bual sambil berjalan, langkahnya agak pantas berbanding saya meskipun dia tidak nampak apa-apa. Bila ditanya tinggal dimana, rupa-rupanya satu kawasan dengan saya di Taman Melati, bekerja di Ampang sebagai penulis skrip, saya rasa kagum dengan keistimewaan yang dimiliki beliau. Lulusan UiTM, Fakulti Seni Persembahan, Penulisan Layar, lulusan ijazah, berasal daripada Kelantan merupakan anak sulung daripada 4 adik beradik. Hidup berkelana sedari kecil lagi kerana kekurangan fizikal yang dimiliki kerana sekolah untuk mereka yang cacat penglihatan tidak banyak terdapat di Malaysia. Izah tinggal di asrama bersama mereka yang senasib dengannya.
Belajar di sekolah di Johor Bharu, rendah dan menengah kemudian menyambung belajar di UiTM, dia memperkenalkan dirinya sebagai Izah, namun saya sempat melihat borang yang tertera namanya Siti Huraizah. Hampir 6 bulan sudah bekerja sebagai penulis skrip. Ditanya tentang drama hasil tulisan beliau, agak malu-malu untuk memberitahu, namun katanya baru sahaja disiarkan minggu lepas bertajuk 'Kebaya Biru'. Sungguh menarik pengalaman hidup Izah. Kesungguhannya untuk belajar, kekuatan semangatnya biarpun terpaksa merantau sejak kecil, keyakinannya dalam meredah laluan orang ramai dengan hanya berbantukan tongkat menarik perhatian saya.
Bila ditanya bagaimana caranya beliau menaip skrip, adakah dengan sistem braille, kata Izah dia menggunakan komputer yang mempunyai perisian khas yang boleh mengesan kesalahan apabila tersilap menaip. Satu perkembangan yang baik untuk membantu mereka yang senasib dengan Izah.Sesungguhnya kekurangan yang dimiliki gadis ini langsung tidak membataskan kesungguhan beliau untuk mencapai matlamat hidup. Bahkan Izah satu-satunya penuntut dalam kursus beliau yang cacat penglihatan. Tambah menarik lagi tentang gadis ini, dia bertudung litup dengan baik meskipun dengan keadaannya itu malah pandai memasak pula (mungkin saya perlu berguru dengan beliau selepas ini, huhu..)
Namun dengan izin ALLAH beliau berjaya dengan azam yang kukuh untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah malah mungkin lebih baik daripada orang normal disekelilingnya yang hanya tahu menjaga kepentingan diri sendiri, malah mungkin lebih teruk, mengambil kesempatan diatas titik peluh orang lain.Buat kenalan baru Narumi, Siti Huraizah, semoga ALLAH mempertemukan kita semula kerana sejenak mengenali Izah terasa banyak ilmu yang boleh diambil walaupun hanya berlangsung seketika cuma....wassalam.
No comments:
Post a Comment