Bimbinglah diri ini yang mendambakan cintaMU, aku yang lemah malah jahil tanpa pimpinan dariMU.Hanya KAU Yang Maha Pengasih Maha Penyayang kepada hamba-hambaMU. Selangkah aku kepadaMU, seribu langkah KAU padaku...
Sunday, January 11, 2009
SYED QUTB MENOLAK ISLAM HADHARI
Ketika mengarang ini, rumah di desa sedang berusrah. Dan, tatkala menyelak-nyelak pustaka rumah yang termuat di dalamnya buku-buku usrah, saya terlihat kitab Syed Qutb, Maalim fit Thariq (Petunjuk Sepanjang Jalan) yang diterjemah dalam bahasa Melayu. Lalu dalam bab Islam Adalah Tamadun (al-Islam Huwa al-Hadharah), penulis yang amat terkenal dengan ketajaman mata pena itu menulis mengenai Islam sebagai berikut:
(Saya menitipkan beberapa perenggan dengan melompat-lompat dan tidak tersusun..)
'Masyarakat Islam' ialah masyarakat yang di dalamnya dilaksanakan Islam: akidah, ibadah, undang-undang, moral dan cara hidup.
Manakala masyarakat jahiliyah itu ialah masyarakat yang Islam tidak dilaksanakan di dalamnya; masyarakat yang tidak dipandu oleh Islam, baik dari segi akidah, konsep, nilai, sistem dan undang-undang, moral dan tatasusila.
'Masyarakat Islam' bukanlah sebuah perkumpulan atau organisasi manusia yang menamakan diri mereka 'MUSLIM' sedangkan syariat Islam tidak menjadi undang-undang masyarakat itu, walaupun mereka patuh bersembahyang, menunaikan rukun puasa dan naik haji ke Mekah.
'Masyarakat Islam' dengan bentuk seperti yang disebut di atas itulah sebenarnya masyarakat yang bertamadun, manakala masyarakat 'jahiliyah' dalam segala bentuknya adalah masyarakat 'songsang.'
'Islam Hadhari' dalam fahaman Syed Qutb
Maka.. pengarang Syed Qutb kembali menyambung hujahnya..
Saya pernah memasang iklan mengenai sebuah buku karangan saya yang masih di dalam percetakan.
Buku itu asalnya berjudul: 'Menuju masyarakat Islam yang bertamadun', tapi dalam iklan kali berikutnya saya buang perkataan 'bertamadun' dan judul buku itu diubah menjadi 'Menuju Masyarakat Islam' saja.
Perubahan judul ini rupanya menarik perhatian seorang penulis Al-Jazair (Algeria) yang selalu menulis di dalam bahasa Perancis.
Beliau lantas menulis sebuah artikel mengenai perubahan judul ini, dalam mana beliau telah membuat tuduhan bahawa perubahan judul itu berpunca daripada apa yang dinamakan beliau 'operasi mempertahankan Islam dari dalam jiwa.'
Beliau menyatakan kesalnya atas perubahan judul itu kerana itulah kononnya saya dianggap beliau sebagai tidak layak lagi membuat ulasan masalah itu mengikut keadaan yang sebenar.
Saya tidak ambil hati kepada penulis itu atas sikapnya yang demikian, sebab pada ketika mula-mula menulis judul buku berkenaan, cara berfikir saya masih serupa dengan cara berfikir beliau.
Persoalan yang berlegar dalam kepala saya ialah persoalan definisi 'tamadun' sama sahaja dengan persoalan yang selalu menari di dalam kepala beliau.
Syed Qutb mengaku tersilap dan jujur membetulkan kesilapannya
Akhirnya, Syed Qutb dengan penuh kejujuran, telah mengaku bahawa beliau sendiri telah terkeliru dengan konsep tamadun.
Maka, di atas kesilapan itu, beliau dengan mudah membetulkan kesilapannya. Ini kerana, beliau berfikir, merenung dan mengarang dengan penuh kejujuran dan keikhlasan..
Saya (Syed Qutb) terpaksa mengaku dengan berterus-terang bahawa cara berfikir saya pada ketika itu pun masih belum bebas sepenuhnya dari pengaruh sisa-sisa kebudayaan Eropah yang sama sekali asing dari selera keIslaman.
Sekali pun arah pemikiran saya begitu jelas ke arah Islam, namun sisa-sisa cara berfikir ala Eropah itu masih lagi mempengaruhi saya.
Definisi 'tamadun' ala Eropah selalu sahaja bermain-main dalam ingatan saya. Perkataan ini, kalau tidak penjelasan secukupnya, boleh mempengaruhi para pembaca dengan bayangan konsep asing yang aneh itu.
Perselisihan pendapat itu sebenarnya ialah mengenai definisi 'tamadun' dan dengan demikian perlulah persoalan ini dihuraikan dengan agak luas.
Islam itu sendiri telah mengusung makna tamadun
Dan akhirnya terserlah jualah kebenaran, 'Masyarakat Islam' adalah sebenar-benarnya masyarakat yang 'bertamadun'.
Dan pada akhirnya..Syed Qutb sendiri telah menarik satu kesimpulan sebagai berikut:
Perkataan 'bertamadun' sebenarnya tidak perlu dipakai, kerana ia adalah suatu omong kosong, tidak membawa sesuatu apa pun yang baru.
Wallahu'alam..
Kenapakah orang-orang seperti Syed Qutb ini dengan mudahnya mengaku kesilapannya sendiri? Pertamanya, beliau tidak memiliki apa-apa kepentingan diri. Hidup dan matinya telah diwakafkan seluruhnya untuk kemerdekaan jiwa, demi Islam dan Muslimin.
Beliau tiada kepentingan siasah seperti Abdullah Ahmad Badawi. PM seperti Abdullah ada cita-cita politik ketika membawa Islam Hadhari di dalam Perhimpunan Agung Umno dan ini membuktikan bahawa Abdullah tak jujur dan ikhlas dengan Islam Hadhari.
Pada tahun baru yang bakal menjelang sebentar sahaja lagi, dan bersempena Maal Hijrah ini, tulisan ini menyeru kepada Abdullah supaya bersikap ikhlas di dalam menerajui pemerintahannya.
Jika didapatinya ada kesilapan seperti mana Syed Qutb, maka dengan jujur hendaklah dia menggugurkan kalimat Islam Hadhari itu dan gunalah istilah lain seperti Muslim Hadhari atau apa-apa saja istilah bagi tujuan membetulkan dan membatalkan khilaf terdahulu.
Janganlah Abdullah risaukan sangat bahawa nantinya umat Islam di Malaysia akan mengejek-ejeknya pula di atas kesilapan tersebut. Itu tidak mengapa. Syed Qutb dengan rela dan ikhlas telah mengaku khilafnya. Tiada manusia sempurna.
Paling penting, gugurkanlah PPSMI ini. Abdullah sendiri tahu bahawa PPSMI ini adalah dasar yang batil. Yang menyebabkan Abdullah masih lagi pertahankan PPSMI, mungkin ini disebabkan oleh keegoannya.
Atau, andaian kedua, mungkin beliau masih takut dan gementar kepada Tun Dr Mahathir yang mengasaskan PPSMI tersebut. Wahai Abdullah, ikhlaskan dirimu mentadbir urusan-urusan kehidupan kami; warganegara Malaysia seluruhnya.. Wallahu'alam..
9:36 p.m, 31 Disember 2008
Sekolah Pemikiran Pendang _
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment