Sunday, January 11, 2009

MUSLIMAH HARI INI

Allah Taala telah menjadikan seluruh makhluk-Nya berpasangan. Demikian hakikatnya yang boleh dijadikan iktibar melalui kejadian Adam dan Hawa. Antara hikmahnya, agar kita memikirkan bahawa seorang hamba perlu mengakui ketidaksempurnaan yang terdapat pada dirinya dan melengkapkan kekurangan tersebut dengan perkahwinan. Tanpa kaum Hawa, tiada lelaki yang mampu memenuhi pejalanan fitrahnya. Masing-masing memiliki peranan dan tanggungjawab dalam menghiasi kehidupan di bumi Allah ini dengan harmoni.



Peranan mereka telah dijelaskan oleh Allah Taala sebagaimana firman-Nya yang bermaksud ;

“..Wahai Manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari seorang manusia (iaitu Nabi Adam alaihissalam) dan daripadanya Allah memperkembang-biakkan lelaki dan perempuan yang ramai. Bertaqwalah kepada Allah yang dengan mempergunakan nama-Nya kamu saling meminta antara satu sama lain, dan peliharalah hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu..” - surah an Nissa':1, al Quranul Karim

Islam tidak pernah memperuntukkan hari yang khusus kepada manusia agar mereka menghormati kedudukan Hawa. Bahkan kaum Hawa sentiasa mendapat kedudukan yang mulia, dihormati dan dihargai, yang tidak ada pada agama lain kecuali agama Islam. Firman Allah Taala yang bermaksud ;

“..Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh amar makruf mencegah nahi mungkar, mendirikan solat , menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul..” - surah at Taubah:71, al Quranul Karim



Selain itu, kaum Hawa juga berperanan sebagai isteri dalam membentuk bi’ah solehah dalam keluarga seterusnya membentuk keluarga yang cemerlang. Firman Allah Taala yang bermaksud;


“..Sebab itu maka kaum Hawa yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara mereka. Wanita-wanita (kaum Hawa) yang kamu khuatir nusyuznya maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah tempat tidur mereka dan pukullah mereka kemudian jika meeka mentaatimu janganlah kamu mencari—mencari jalan untuk menyusahkannya..” - Surah an Nisa’:34, al Quranul Karim

Seterusnya, kaum Hawa juga merupakan bakal ibu yang berperanan mencorak kehidupan yang terbaik kepada anak-anak. Hal ini sebagaimana yang sedia dijelaskan oleh Allah Taala yang bermaksud ;


“..Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun iaitu bagi menyempurnakan penyusuan. Dan kewajipan ayah memberi makan, pakai kepada ibu dengan cara ma’ruf..” - surah al Baqarah:233, al Quranul Karim

Sesungguhnya pentaklifan dan amanah sebagai pendidik dan pengasuh, terpundak ke atas semua khalifah Allah di atas muka bumi ini tidak kira lelaki mahupun wanita, tidak mengira pangkat dan darjat sekalipun. Firman Allah Taala yang bermaksud ;

"..Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh yang makruf dan mencegah dari mungkar serta beriman kepada Allah..” - surah al Imran: 110, al Quranul Karim

Muslimah hari ini, marilah kita mengimbau dan menghayati perjalanan hidup Sahabiyyat di zaman Rasulullah salallahualaihi wasalam. Mereka adalah model kaum Muslimah dalam menjunjung amanah risalah yang dibawa oleh Rasulullah salallahualaihi wasalam. Mereka berperibadi mulia dan memainkan peranan yang tinggi kepada agama. Semangat mereka yang kuat dan daya juang yang tinggi untuk mempertahankan Islam, dapat kita rasai hingga ke saat ini biarpun mereka telah lama meninggalkan kita.

Muslimah hari ini perlu mempersiapkan diri dengan kelengkapan yang sebaiknya di setiap sektor dan sudut yang memerlukan peranan Muslimah. Antara persediaan yang perlu dilakukan ialah dari sudut thaqafah serta kefahaman ilmu Islam secara mendalam. Ini kerana, kita merupakan rujukan kepada masyarakat kelak, lebih-lebih lagi gejala sosial yang kian merumit sekarang. Keperibadian berbudi dan akhlak yang baik perlu ditonjolkan sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh para isteri Baginda salallahualaihi wasalam.

Hakikat ini perlulah disedari oleh Muslimah hari ini dengan melakukan anjakan paradigma, mengambil peluang yang ada dalam menjayakan misi dan visi Islam ini. Ayuh, Muslimah hari ini bangkitlah membuat satu perubahan! Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan ia merubah diri mereka sendiri. Sedarlah Muslimah hari ini, peranan kita amat besar dan berat. Selembut-lembut wanita, kita juga mampu berperanan sebagai agen reformis masyarakat ke arah pembentukan generasi yang cemerlang.

p/s: Segan sebenarnya untuk menerbitkan posting ini, namun hakikat kebenaran x boleh disembunyikan, jika disembunyikan bilakah akan diketahui kebenaran itu? (petikan kata As-Syahid Dr Abdullah Azzam..). Maka dengan itu kepada yang berkenaan berdoalah agar ALLAH memberi yang terbaik kepada kita dan jadilah kita semua redha dengan kehendakNYA, wassalam. ('',)


sumber:PMRAM

No comments: