Saturday, June 27, 2009

MESIN NYIOR OH MESIN NYIOR


Usai solat asar berjemaah di surau petang tadi, golongan warga emas di kampung rancak bersembang. Ramai dikalangan yang terlibat adalah sanak saudara penulis. Mak Ngah, Long Esah, Long Semah, Tok Jarah, Ayah Long, Bedik, penulis dan juga Che’ We. Riuh juga suasana dengan celoteh Mak Ngah yang mengadu mesin nyior di rumah anak sulungnya, Kak Long Sarah (sepupu penulis) hilang tengahari tadi dimasuki pencuri.


Sehari sebelumnya, teruk anak sulung Kak Long Sarah dimarahi Mak Ngah kerana membenarkan kawan-kawannya naik sampai ke atas rumah banglo 2 tingkat Kak Long Sarah untuk bermain video dan juga menonton VCD. Anak sepupu saya itu yang lebih manja dengan panggilan Asha memang suka berkawan, sepertimana anak muda lain juga. Berkawan tidak salah, cuma cara melayan kawan yang salah.


Ketika itu Kak Long Sarah dan suaminya serta 2 anak mereka yang lain tiada di rumah kerana pulang ke kampung Abang Wan (suami Kak Long Sarah) di Kota Bharu. Kawan-kawan yang dibawa Asha itu juga meskipun ada diantaranya terdiri juga dari jiran terdekat kami, namun ada yang mempunyai kes yang berkaitan dengan ketagihan dadah yang serius. Cukuplah kalau saya katakan yang kampung kami kini sering ‘diziarahi’ kereta peronda polis dengan kerap.


Boleh dikatakan 2 hari sekali akan kelihatanlah Waja Putih Polis keluar masuk. Malah antara perkara yang turut menyedihkan kami apabila Tabung Derma Surau turut dipecahkan dan dilarikan oleh mereka yang dibutakan hati untuk mengambil sumbangan orang ramai untuk membangunkan syiar Islam disini. Sebelum inipun sudah pernah berlaku kes kecurian semasa solat Isyak berjemaah di surau bilamana pintu kereta dipecahkan dan wang pemiliknya dilarikan begitu sahaja.


Ternampak-nampak di ruang mata saya keluhan dan rintihan mereka malah kebimbangan mereka tentang senario yang berlaku. Manakan tidak, orang tua berusaha untuk mendalami agama, solat berjemaah, mendengar kuliah di surau, tetapi anak seolah-olah tidak ‘menjadi’. Saya sendiri turut rasa terkesan dengan hal ini, apatah lagi kebanyakannya merupakan generasi muda yang sepatutnya menjadi nadi kekuatan dan kesejahteraan kampung. Saat ini hanya doa dan ikhtiar sebanyak mungkin serta tawakkal kepada ALLAH sebagai jalan membendungnya. Sama-sama kita berdoa kepada ALLAH agar ISLAM kembali memerintah di Terengganu semoga yang baik dapat dikembangkan, yang buruk dapat dicegah, wallahu’alam.


2 comments:

Nafastari said...

Salam Narumi. Saya juga berasa kesal dan bimbang dengan perkembangan terbaru di tempat anda. Semoga Tuhan terus melindungi kita semua.
Terus menulis ye.. Yang ori seperti yang ini. Hehee

narumi hayashida said...

Nafastari : Terima kasih atas sokongan tersebut, semoga saya mampu berkarya kreatif seperti kamu juga..:)