Wednesday, August 13, 2008

RENAI DI HATI.....


Hari Isnin baru-baru ni, asyik meneliti internet, tiba-tiba saya mendapat satu panggilan dari Kuala Lumpur. Apa hal pulak ni? detik hati kecil saya. Debaran saya dua kemungkinan, samada panggilan program untuk saya menyambung pengajian atau pasal kerja. Panggilan untuk perkara yang kedua, saya ditawarkan untuk berkursus di salah sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Kelakarnya, tempat tawaran tersebut itu dekat dengan tempat saya berkursus baru-baru ini. Kursus enam minggu, kemudian akan ditempatkan dimana-mana firma yang ditetapkan. Skop tugas saya adalah berkenaan Khidmat Pelanggan (bukan GRO ok!), selaras dengan bidang yang saya ambil di universiti dulu. Perasaan saya bercampur-baur saat itu, tak tahu nak cakap apa. Masih teringat artikel saya yang dahulu, malah usikan rakan-rakan dan gurauan saya mengenai Kuala Lumpur.


Mentor saya dimaklumkan mengenai hal ini. Dia menggalakkan saya pergi, begitu juga dengan rakan-rakan saya yang lain. Entah kenapa saya ni rasa sayu yang amat. Hampir setahun saya menghuni pejabat ini, bermacam-macam rasa pahit, masam, masin,manis yang saya rasa. Namun saya gembira dengannya biarpun di mata orang tua saya, pendapatan yang saya peroleh tidak sepadan dengan kelulusan yang saya miliki, saya biarkan sahaja. Namun ketika dan saat ini, saya diberi pilihan, malah saya juga telah memohon pentunjuk untuk itu. Kecenderungan saya di Kuala Lumpur, cuma perasaan sedih meninggalkan rakan-rakan sepejabat yang saya sudah anggap seperti keluarga sendiri, itu yang buat hati rasa redah.


Pesanan mentor saya, perjuangan itu tidak kenal tempat, yang penting jangan putus hubungan dengan sahabat-sahabat dan istiqamah. Saya paling bimbang perkataan ISTIQAMAH, ringan mulut untuk menuturkannya, namun praktikal? saya masih kurang pasti. Pergi ke Kuala Lumpur bermakna saya tidak akan dapat menghadiri majlis perkahwinan 2 sahabat baik saya sebelum puasa ini, dan juga 4-5 rakan yang lain. Apa nak dikata, kita selalu merancang, tapi yang menentukan ALLAH. Saya harus akur dan redha dengan apa yang tersurat untuk saya. Emak saya memang mengharapkan saya mencari kerjaya yang baru, sesuai dengan kelayakan yang saya dapat. Mungkin inilah masanya untuk saya buat orangtua saya redha dan rasa senang hati sedikit. Apa nak buat....


Buat semua teman seperjuangan Narumi Hayashida di Terengganu, saya mohon ampun dan maaf atas segala salah dan silap yang pernah saya lakukan samada sengaja ataupun tidak dari tutur kata dan perlakuan saya selama kalian mengenali hamba ALLAH ini. Semoga kita semua akan terus istiqamah di atas jalan ini, yang mana SABAR adalah senjata, IKHLAS adalah pakaian dan 1001 lagi SIFAT MAHMUDAH yang perlu dijadikan amalan. Doakan Narumi Hayashida mampu untuk menjadi ISTIQAMAH sepertimana yang diperintahkan, walau tercampak dimana-mana pun. Kenangan bersama sahabat-sahabat merupakan guru yang baik buat diri ini. Sirru Ala Barakatillah semua...Kuala Lumpur, here I come!

p/s: Tertarik dengan peringatan dan pesanan mahal Ketua Pejabat, "BERUSAHALAH MENJADI SEPERTI UMMU SULAIM...!"

No comments: