Tuesday, August 5, 2008

SESUATU MENGENAI KEGANASAN DI KASHGAR

Ketika ralit menggosok baju sambil menonton Berita Dunia jam 11 di RTM1 semalam, saya terkejut apabila mendengar tentang isu keganasan di Kashgar yang mungkin saling berkait dengan pembukaan Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China. Masih terbayang di fikiran saya mengenai Kashgar, melalui pembacaan dalam Majalah ANIS dan juga dokumentari Shahadah berkenaan masyarakat Islam di China. Etnik Uygur antara penduduk yang mendiami Kashgar. Mungkinkah ada isu terpendam yang diperam oleh Kerajaan China berkenaan Etnik Uygur ini. Isu keganasan yang ditimbulkan dikatakan turut berkait rapat dengan ketidakpuasan hati etnik ini dengan peminggiran terhadap mereka hanya disebabkan oleh perbezaan agama.


Polis Xinjiang Maklumkan Kemajuan Terkini Kejadian Serangan Keganasan di Kashgar

Polis Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang menangkap dua orang suspek yang terlibat dalam kes serangan keganasan yang berlaku di Kashgar semalam. Kedua-dua suspek tersebut dikenalpasti sebagai pemandu teksi dan penjual sayur dari Kashgar. Dua penyerang tersebut memandu sebuah trak menghampiri anggota polis sempadan yang sedang bersenam di Kashgar awal pagi semalam. Mereka meletupkan sebutir bom dan menikam anggota polis dengan pisau. Sebanyak 9 butir bom dan sebuah senapang buatan sendiri ditemui di tempat kejadian. Kesemua senjata tersebut didapati serupa dengan senjata yang dirampas oleh polis Xinjiang ketika memusnahkan kem latihan "Gerakan Islam Turkistan Timur" pada bulan Januari tahun lalu.(Agensi Berita Xinhua China)

Sedikit-sebanyak isu yang timbul berpunca rasa terancamnya etnik ini dengan kehadiran Etnik Han (yang saya ketahui Bangsa China yang digambarkan dalam Filem Kung Fu Wong Fei Hung), berbeza agama dan budaya cuba untuk menguasai wilayah yang telah lama diduduki oleh Etnik Uygur yang dikatakan mempuyai kekayaan hasil bumi berbentuk sumber galian yang banyak. Mungkin juga bagi Etnik Uygur, Sukan Olimpik ini merupakan medan untuk mereka mengkhabarkan kepada dunia penderitaan yang mereka alami selama ini. Selalunya gambaran tentang kemunduran masyarakat Islam suka dihebahkan di seluruh dunia. Tidak terkecuali dengan Etnik Uygur ini (Nantikan artikel khas mengenainya).

Melalui televisyen kelihatan masyarakat ini seolah-olah mundur dan terlalu miskin, seperti Afghanistan sahaja layaknya. Sedih hati saya melihat saudara seagama didiskriminasikan seolah-olah mereka tidak punya hak untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah seperti orang lain. Sedih saudara yang jauh, lagi sedih mengenangkan saudara seagama yang dekat yang tidak mahu berubah pegangan hidup. Malas berusaha, suka mengharapkan subsidi, terlibat dengan masalah moral dan 1001 lagi keburukan yang menghinggapi saudara seagama saya di Malaysia.

Apakah kita semua masih senang untuk lena?Tidak perlu cakna hal di luar? Atau mungkin dalam masa yang sama memperbaiki diri sendiri dan membantu sedaya yang termampu untuk saudara-saudara kita di Palestin, Kashmir, Iraq, Afghanistan, Thailand dan pelbagai tempat lagi di dunia ini yang mana saudara seagama kita diperlakukan sesuka hati oleh golongan Kuffar? Renungi kejadian, tanyalah pada diri....Wallahu'alam.


No comments: