Sunday, July 26, 2009

JAWAB TAG



1. Anda rasa anda hot? Ye, bila nak marah, makan cili banyak-banyak, bila dok kat tempat memasak..hehe
2. Upload gambar kegemaran anda


3. Kenapa anda suke gambar ini? Suka gambaran bersahaja seorang gadis
4. Bila kali terakhir anda makan piza? Tak ingat, lagipun saya tak suka sangat makan pizza 5. Lagu terakhir yg anda dengar? Aduhai Nasib Pak Kadok, tak cam siapa penyanyinya
6. Apa yang anda sedang anda buat selain selesaikan tag ini? Check e-mail
6.Nama anda sendiri,anda suka dipanggil dengan nama apa? Bila ada orang tua yang panggil saya "Kakak". Itu tandanya beliau mengiktiraf kedewasaan saya, hehe. 8. Tag lagi 6 org dgn hati yg terbuka tanpa rasa kekesalan.Sila lakukan kalau tak kena denda mandatori. Amboi, sampai kena mandatori..nasib la


* Siapa no 1 kepada anda? Kawan lama hampir 14 tahun dulu, baru setahun setengah bertemu lagi, dia banyak menolong saya masa zaman muda dolu-dolu.
* Bagaimana pulak dengan no 4? Saya suka dengar dia ketawa, bunyinya mesra, ceria dan bahagia... (bukan bodek ni, tapi kalau nak belanja makan, boleh je..hehehe)
* Kata sesuatu tentang org no 5. "Tak mboh balik kampung ke?"
* Bagaimana pulak dengan no 3. Lama tak dengar cerita
* Siapakah org no 2? Saya banyak belajar erti persahabatan sepanjang mengenalinya, terima kasih banyak-banyak Ummi Nuruddin..
* Bagi pesanan anda untuk org no 6. Ikut turutan adik-beradik, turn kahwin seterusnya awak, bila lagi agaknya? hehehe..



SMS PILIHAN


"Manusia sering menyangka, perjuangan dakwah itu hadir bermusim, tatkala iman tinggi memuncak, usaha dakwah menjadi rancak. Jika ianya longgar, perjuangan dakwah menjadi hambar. Tarbiah tidak pernah bermusim, apatah lagi terhenti dipertengahan kerana tinta noktah perjuangan tiada noktah perhentian." (Bintu Roseli;1.09 pagi, 26 Julai 2009)

SEKOLAH ITU MULIA


Ilmu itu MULIA

Proses menitis ilmu itu MULIA

Menuntut ilmu itu MULIA

Mendidik dan mengajar ilmu itu MULIA

Persekitaran dan tempat menitis ilmu itu MULIA

Menyokong, menyumbang dan melibatkan diri dalam menitis ilmu itu MULIA

Bimbingan dan galakan dalam menitis ilmu itu MULIA

Bimbingan dan galakan dalam menitis ilmu itu MULIA

Rasa gembira melihat orang menuntut ilmu itu MULIA

Pemikir, perancang dan pelaksana kerja-kerja menitis ilmu itu MULIA

Visi dan misi Menitis ilmu itu MULIA

Tuesday, July 21, 2009

MEMORI IKAN SINGGANG





ISNIN, 13 JULAI 2009


Malam ini diajak bonda untuk mendengar kuliah maghrib di Masjid Hijau Simpang Empat Chendering. Sebelum pulang ke rumah, terserempak dengan Arni Nazira. Artis popular yang satu ketika dahulu terkenal dengan lagu ‘Cinta Antara Benua’ ini alhamdulillah telah diberi hidayah oleh ALLAH untuk memakai hijab dan baru sahaja bergelar pengantin baru melalui perkahwinan keduanya dengan bekas rakan sekolah.



Semoga terus istiqamah dengan amalannya, malah terdetik di hati saya untuk mengundang beliau ke program Nisa’ selepas ini, entah macamana ilham itu terlintas ketika keluar dari masjid. Apapun, semoga Arni tetap dengan pendirian beliau sebagai muslimah sejati yang memelihara auratnya dan mencari cinta ALLAH mengatasi kemahsyuran sebagai artis. Sudah ramai artis wanita hari ini yang menutup kepala namun tidak mememlihara syariat serta menambah lebih banyak fitnah, samada dari segi pakaian, pergaulan, juga penghayatan agama.

Dalam perjalanan pulang, sempat berbual dengan bonda tentang khabar Che’ Temah dan Ayah De, antara warga emas di kampung yang menjadi jiran terakrab kami. Sudah lama saya tidak melihat kelibat mereka, apatah lagi Kak Dini, anaknya yang pernah menjadi guru sains ketika saya di tingkatan 3 dahulu. Warga emas amnya seperti mereka juga nenda saya dalam menghabiskan sisa umur yang masih ada, dengan amal ibadah dan pecutan menuju ALLAH. Banyak kenangan yang tercipta semasa kecil dahulu bersama dengan jiran ini juga yang lainnya, kerana jiran juga ibarat saudara mara, ukhuwwah yang begitu intim dan padu telah terbina sejak puluhan tahun yang lain.


SELASA, 14 JULAI 2009

Ke sekolah pagi ini dengan ayahanda kerana bonda bercadang untuk mengambil cuti rehat. Sesekali bercuti, menenangkan fikiran, mengumpul tenaga, tapi saya maklum dengan bonda saya nan seorang ini, bercuti bukan seperti kita orang muda hari ini. Berehat di atas katil mahupun kerusi malas, bonda saya ibarat nama bas percuma yang mengangkut penduduk Kuala Terengganu, diberi nama ‘Cas Ligas’. Tidak boleh duduk diam, ada sahaja urusan yang perlu dibereskannya.


Cuaca hari Selasa kelihatan mendung, dan sesekali hujan turun rintik-rintik. Rutin guru ganti berjalan seperti biasa, mengajar, mengulangkaji, menanda kedatangan, dan 1001 kerja yang perlu disiapkan. Hari Ko-Kurikulum sekolah, ramai pelajar berpakaian uniform. Mendapat panggilan dari bonda yang sebelum itu telah cuba memanggil saya tetapi tidak terangkat kerana berada di dalam kelas.


Satu perkhabaran dari bonda, Ayah De, suami Che’ Temah telah kembali ke rahmatullah beberapa detik sebelum masuk waktu zohor. Innalillahi wainna ilaihi ra’jiun. Baru semalam terlintas untuk bertanya khabar, dia terlebih dahulu dipanggil menghadap ALLAH. Ikan Aya Singgang yang dihajatkan arwah untuk dimakan tidak kesampaian. Arwah yang memang menghidap masalah lemah jantung tiba-tiba didatangi sesak nafas, dan dengan takdir ALLAH selang beberapa minit menghembuskan nafas terakhir di pangkuan Che’ Temah.


Tiada alasan yang utama sebab kematian seseorang, bukan kerana semata-mata kerana penyakit, kerana orang yang sihat juga biasa dipanggil menghadap ALLAH kerana sudah sampai waktunya dia dipanggil. Apa yang perlu kita percaya adalah kerana sudah tercatat sejak roh kita di azali lagi tentang suratan ajal itu. Bila, dimana juga bagaimana, hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui. Waima malaikat maut sendiri tidak mengetahuinya semasa dia menziarahi kita berpuluh-puluh kali setiap hari sehingga diperintahkan. Orang tua meninggal, orang muda juga meninggal, malah bayi sendiri juga bisa meninggal dengan kuasa ALLAH kerana Dia merupakan Tuan kepada diri kita semua. Bilamana ALLAH mengkehendaki, maka sebagai manusia langsung tiada daya upaya untuk menghalangnya.


NENDA TERKASIH, HAJJAH JAHARAH BINTI ISMAIL


Terlintas di fikiran saya tentang nenda yang juga dipenghujung usia senja itu. Alhamdulillah ALLAH masih memberi beliau kudrat untuk beramal ibadat di surau yang jaraknya hanya sepelaung dari rumah kami. Nenda juga selalu berdoa agar beliau dipanggil menghadap ALLAH sebelum sampai masa beliau menjadi nyanyuk, kerana bimbang menyusahkan orang lain, dan tidak mahu menghadap ALLAH dalam keadan minda sudah tidak berfungsi. Satu persatu saudara-mara, handai taulannya yang sudah tiada di dunia ini. Kesunyian dapat direnung dari mata tua nenda. Doakanlah saya dapat berbakti sebaik mungkin kepada nenda selama hayat masih dikandung badan ini, wallahu’alam.

Saturday, July 11, 2009

Shafakkallah Ya Ustaz Nasa...


Gosip di dalam media massa tentang ketiadaan Timbalan Presiden Pas, Ustaz Nasharuddin Mat Isa memang menyakitkan hati, apapun sebagai mereka yang cinta kepada ISLAM dan jalan menuju redha ALLAH, berbaik sangka adalah senjata yang ampuh untuk menepis segala pemikiran dan prasangka yang buruk terhadap pimpinan. Baru sahaja terbaca dari blog Ustaz Nasaruddin Tantawi, rupa-rupanya Ustaz Nasa telah menjalani pembedahan kecil di Hospital Serdang, semoga Ustaz sentiasa cekal dengan 'perhatian' dan 'kasih sayang' ALLAH terhadap beliau. Sama-samalah kita doakan kesihatannya dan kemenangan ISLAM di Manek Urai nanti, insyaALLAH.

FITNAH DIHUJUNG LENSA


“Ustaaazzz, Assalamualaikum!” terdengar suara kuat bertempik dari anjung surau.

Saya terkejut.

Capati dilepaskan kembali ke pinggan.

“Err, wa ‘alaikum al-Salaam” saya membalas salam beriringan dengan senyuman.

“Saya sudah lama mencari peluang mahu bertemu dengan ustaz. Nak minta tandatangan buku ni!” kata beliau.

Seorang anak gadis yang hadir bersama ke Kuliah Maghrib saya malam itu.

Pakcik-pakcik yang sedang menjamah hidangan ringan usai ceramah dan Solat Isyak itu nampak terkejut dengan keramahan anak gadis itu. Terkejut juga dengan saya yang baru pertama kali berceramah di situ… barangkali.

Saya serba salah.

“Ustaz, saya nak tanyalah. Apa tips untuk orang yang putus cinta ya?” kata anak gadis itu. Duduk bertimpuh hampir-hampir bertemu lutut mengadap saya. Hingga mengesot pakcik di sebelah memberi laluan.

“Err, saya tak pernah putus cinta. Fadhilat tidak bermain cinta barangkali. Rasanya ada belaka dalam buku-buku ini!” saya membalas ringkas.

“Pakcik, saya nak bergambar dengan Ustaz Hasrizal. Tolong ambilkan gambar kami!” kata anak gadis itu sambil menyerahkan kamera digitalnya kepada Pengerusi Surau.

Beliau segera duduk rapat. Saya pula yang segera bergerak menjauhkan diri kerana takut tersentuh beliau. Sesuatu yang tidak harus, apatah lagi untuk diabadikan dalam sebuah foto yang ‘penuh berkat’ kerana diambil oleh Pengerusi Surau.

“Eh, sekejap. Sekali lagi. Takut tak jadi pula. Nanti dah putus cinta, tambah masalah dengan gambar tak jadi!” kata Pengerusi Surau. Menyindir sambil bergurau.

“Ok, terima kasih pakcik. Terima kasih ustaz. Seronoknya saya dapat jumpa ustaz. Assalamualaikoooommmm!” katanya sambil melambai tangan kepada kami.

Muka saya merah padam. Telinga pun panas. Pelbagai perasaan bercampur aduk.

MAKIN MENJADI-JADI

Sesungguhnya saya sangat tidak suka dengan perkembangan setahun dua ini apabila ramai Muslimah mahu bergambar bersama. Yang beramai-ramai itu satu bab, ini yang solo pun satu isu juga. Mahu sahaja saya tolak mentah-mentah. Tetapi tak sampai hati pula. Mengaibkan orang di tengah ramai, adalah perkara terakhir yang saya bayangkan di fikiran.

Sekadar memberi peringatan sahaja.

“Panggillah kawan-kawan lain,” saya cuba mengelak bergambar solo dengan perempuan.

“Ehh, Shahril. Mari sini kita bergambar sama!” saya menarik tangan seorang mahasiswa untuk meneman saya yang sedang dikepung oleh muslimat.

Saya tidak selesa dengan perkembangan itu.

Namun kemuncaknya ialah di surau malam itu.

Seorang perempuan mahu bergambar dengan saya hingga hampir-hampir sahaja beliau menyentuh saya. Lebih memburukkan keadaan, perempuan itu menyuruh Pengerusi Surau mengambil gambar kami berdua.

Saya berasa sangat malu dan serba salah dibuatnya.

“Maafkan saya tuan. Semenjak kebelakangan ini kejadian macam ini selalu terjadi. Risau saya dibuatnya,” saya cuba meredakan rasa janggal yang menimpa jemaah surau yang kaget dengan kejadian itu.

“Inilah akibatnya apabila banyak menulis tentang CINTA!” saya mahu memberikan kata kuncinya.

“Ehh ustaz, kena tulis banyak lagi tentang CINTA. Sebab cinta itulah remaja kita hancur dan murtad pun ada!” kata pakcik-pakcik itu.

Saya menarik nafas lega. Mujurlah pakcik-pakcik tersebut mempunyai perspektif yang selari dengan pandangan saya..

“Rasanya perempuan tadi tu sedang terganggu fikiran. Putus cinta nampaknya!” kata Pengerusi Surau.

Mungkin juga. Saya sendiri berasa begitu.

KAMI BUKAN ARTIS

Sesungguhnya saya bukan artis, bukan selebriti, bukan juga idola atau apa sahaja yang sebahagian anda bayangkan. Saya adalah seorang lelaki, Muslim, yang bukan mahram anda dan mengharapkan ada secebis haya’ untuk bertindak sebagai benteng yang membatas tindak tanduk kita.

Jika kita mengagumi tulisan penulis, dakwah pendakwah, kolum kolumnis dan novel novelis, janganlah dimanifestasikan kekaguman itu sama dengan cara peminat nyanyian penyanyi atau lakonan pelakon, untuk bergambar bersama-sama antara seorang lelaki dan seorang perempuan kerana Syaitan tidak membezakan status atau profesyen kita. Dia sentiasa menjadi pihak ketiga dalam sekeping gambar yang menghimpunkan ‘kita berdua’.

Mungkin ini maksud sebenar kata-kata orang tua, “jangan bergambar bertiga, nanti ada yang mati!” Hakikatnya gambar bertiga itu ialah dua insan yang bukan Mahram bergambar bersama, Syaitan menjadi orang ketiga, dan pemangsa itu akan membunuh salah seorang atau kedua-duanya.

Elakkanlah bergambar solo dengan mana-mana lelaki yang bukan Mahram anda, baik bergambar dengan saya atau sesiapa sahaja. Begitu juga dengan anak muda, janganlah dibiasakan bergambar dengan perempuan-perempuan yang bukan ibu, adik beradik perempuan atau opah wan anda.

Ia menyalahi adab, adat dan Syariat kita.

hadith-malu

“Sesungguhnya di antara perkara yang difahami oleh manusia daripada pesanan sekalian Nabi ialah, jika kamu tiada rasa malu, buatlah apa sahaja yang engkau mahu!” [Hadith al-Bukhari : 3224]

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Khaira

SCHOOL RETURN!


Assalamualaikum...salam perdamaian..,

25 Julai yang lalu, saya kembali menjalani kehidupan bekerja kembali. Kembali ke tempat yang banyak mengajar saya erti kehidupan sebagai insan berilmu, persahabatan, kasih sayang, sifat-sifat nakal zaman remaja yang sudah hampir sekurun saya tinggalkan. Sekolah yang banyak memberi saya makna kehidupan pelajar yang ingin belajar erti hidup, suka duka bersama guru, kawan-kawan, pekerjanya dan banyak lagi.

Berdepan dengan kenakalan pelajar sekolah menengah, cabarannya tidak sama dengan sekolah rendah yang pernah saya bertugas suatu masa dahulu. Ditambah dengan cabaran-cabaran gejolak jiwa remaja yang banyak dirangsang dengan media massa hari ini, rasa saya para pendidik sekolah perlu bijak menyesuaikan pendekatan mengikut suasana. Kebanyakan masa pelajar adalah di sekolah, jadi tidak boleh tidak, hubungan mereka banyak dikendalikan oleh guru. Ramai remaja hari ini cemerlang dari segi akademik namun bermasalah dari segi pekerti yang baik, seharusnyalah mereka perlu ditunjuk ajar tentang ilmu adab dan pekerti agar tidak tersasar dari landasan mukmin yang sejati.

Patutlah menjadi guru ini besar pahalanya. Kesabaran, kecekalan, ketabahan guru-guru saya satu masa dulu mendidik terbayang di ruang mata. Kini bila saya kembali ke sekolah lama saya ini, rasa ingin membantu setakat yang termampu itu terpikul di pundak saya dan juga guru-guru lain. Biarpun sementara, semoga ada natijah yang baik disisi ALLAH kelak, wallahu'alam.