Showing posts with label Perak. Show all posts
Showing posts with label Perak. Show all posts

Monday, August 18, 2008

CATATAN NARUMI EPISOD 2: WELCOME TO UTP....

Di UTP pun ada Masjid Terapung...

Saya dan gerangan adik-adik seperjalanan mengikuti sidang muktamar sehingga petang. Kemudian mereka bercadang untuk kembali ke UTP di Tronoh, Perak. Sebagai ahli rombongan, perasaan teruja saya untuk sampai ke UTP memang tak dapat disangkal lagi. Antara IPTA yang tersohor di negeri Perak, agak berhampiran dengan UiTM Seri Iskandar, Perak. Kami bertolak dari Ipoh hampir jam 5.30 petang. Apa agaknya reaksi adik H, salah seorang warga UTP andaikata dia terserempak saya disana sebelum saya serempak memberitahu? Sungguh mengujakan!

Hampir jam 7 malam sampai di UTP. Saya disambut dengan pemandangan yang indah tasik buatan selepas pintu masuk utama. Spontan saya menyebut "Welcome To UTP!" kemudian disambut gelak ketawa adik-adik yang lain. Rupa-rupanya sebelum ini kawasan ini diduduki oleh warga USM, kemudiannya diambil alih oleh UTP yang bermula tahun 1999. Tun Dr. Mahathir merupakan pengasas IPT ini yang menawarkan kursus kejuruteraan dan juga teknologi maklumat.

Sekali tengok Kolej ini, macam kat Cameron Highlands pulak, huhu..

Sampai di Kolej Kediaman adik-adik berempat itu, saya sengaja menghubungi adik H. Satu kejutan buatnya kerana tidak menyangka saya kemari. Kami bertemu di kafe sebelum membeli nasi lemak tersohor yang sangat-sangat diidamkan-idamkan oleh adik B, huhu. Rupa-rupanya ramai juga warga asing disini, saya lihat yang berpakaian seperti warga Arab dan Somalia. Selebihnya saya lihat ramai penuntut yang berbangsa Cina mendiami UTP ini.

Adik H itu saya kenali ketika kami sama-sama berprogram di Dungun satu ketika dulu. Menariknya, kami berkenalan seketika kemudian saya sudah berani mengajak dia menemani saya ke Program Pilihanraya di Kemaman pada hari yang sama. Adik H seorang yang agak matang, namun tahan bergurau, lebih-lebih lagi dengan saya yang kuat meloyar ni, huhu.. Dia kembali belajar di UTP setelah menamatkan Internshipnya di Paka bulan 6 baru-baru ini.

Menumpang rehat di bilik adik H, rupa-rupanya kolej mereka seperti mini apartment, ibarat sebuah rumah yang ada 6 bilik, satu ruang makan dan juga bilik air. Cukup selesa untuk belajar, tidak hairanlah warga UTP amat beruntung, kerana mereka juga diibaratkan anak emas PETRONAS, mengikat janji dan menerima biasiswa selepas menamatkan pengajian di sini. Setiap bilik dibekalkan internet percuma, jeles betul, huhu. Maka sempatlah saya mencoretkan catatan blog saya sebelum ini di UTP, ekslusif kenangan ini...!

Kami bersembang tentang perkembangan terkini masing-masing. Adik H dan rakan-rakannya yang lain melain saya seperti melayan tetamu yang selayaknya. Sungguh terharu dengan jalinan ukhuwwah yang bermula. Cuma yang agak kelakarnya, ramai tidak percaya saya ini lebih tua dari adik H, huhu. Mungkin juga adik H itu lebih tinggi dan nampak matang dari saya. Sampaikan seorang adik itu berkali-kali mendapatkan kepastian yang adakah saya ini lebih tua dari adik H, alahai....

Teks Usrah di Terengganu

Selepas isyak, mereka mempunyai agenda tersendiri, maka berdiamlah saya di bilik adik H sambil mengupdate blog saya. Malam ini ada Usrah di Chabang Tiga, huhu. Sedih bila sahabat saya petang tadi menghantar sms memaklumkan hal tersebut dan menyuruh saya membawa Hadith 40. Apapun, saya sudah redha dengan keputusan yang saya ambil, maka disitu sudah pasti ada kos melepas yang harus saya terima.

Usai pertemuan, mereka rupa-rupanya ada agenda lain pula. 'Projek A', tertanya-tanya juga saya apa dia, rupa-rupanya untuk 'Projek Amar Makruf Nahi Mungkar'. Membanteras aktiviti dating malam-malam. Mereka akan meronda di sekitar tempat-tempat sasaran dan menasihati mereka yang terlibat. Bagus program ni, malah tiada halangan daripada pihak pentadbiran, demi menjaga nama baik Universiti. Ibarat Jawatankuasa Rukun Tetangga pula, tapi di kampus. Mudah-mudahan suatu masa nanti di lain-lain kampus pun mampu untuk berbuat hal yang sama.

Adik H tidak terlibat turun, tapi dia menyediakan makan malam untuk mereka yang terlibat. Saya sebetulnya agak letih sehari dua ini, bermula dari terpaksa berkejar ke KL, kemudian sampai pulak ke Perak, namun bersemangat kembali dengan keletah adik-adik kampus yang mesra-mesra belaka. Serasa rindu untuk kembali bergelar pelajar, insyaALLAH, cuma suasana dan juga kaedah yang berbeza. Hampir jam 2.30 baru melelapkan mata. Catatan ini bakal bersambung lagi...Wassalam.









Friday, August 15, 2008

CATATAN NARUMI EPISOD 1:TEMAN KE PERAK,YOP...!

Pagi Jumaat, sesuatu yang signifikan di Terengganu adalah Kuliah Ayah Chik, malah masa untuk merehatkan diri bagi mereka yang bekerja. Keadaan yang tidak akan mungkin sama (setakat ini!) di Lembah Klang. Rakan-rakan saya bekerja hari ini. Najibah terkocoh-kocoh menyiapkan dirinya untuk ke pejabat. Saya ada janji hari ini, sementelah pula, sudah dipelawa adik F, salah seorang housematenya untuk ke Perak. Kami keluar dari rumah hampir jam 9, mengambil teksi untuk bertemu rakannya di LRT Asia Jaya. Rakan si F memperkenalkan dirinya sebagai D. kami mengambil teksi dan bertolak ke Damansara. Perjalanan yang kurang sesak mengambil masa lebih kurang 20 minit. Sebenarnya masih boleh dijimatkan lagi, namun kami tercari-cari tempat janji temu dengan rakan F yang menunggu berhampiran, adik B. Dialah tuan punya kereta yang akan membawa kami ke Perak.
Selesai berjumpa, kami meneruskan perjalanan sebelum berhenti di Hentian R&R Tapah, untuk mengambil seorang lagi rakan F, si M. Jadilah 5 orang musafir dalam perjalanan kali ini. F, B, D, M dan Narumi dalam perjalanan ke Perak. Dalam perjalanan saya berborak dengan B untuk menghilangkan rasa mengantuknya. Lagipun tidaklah rasa mengantuk sangat. Sepanjang perjalanan kelihatan laluan Banjaran Titiwangsa yang berdiri megah dan gua-gua batu kapur yang saya ingat pernah belajar tentangnya dalam sejarah sekolah menengah suatu masa dahulu. B banyak mendengar celoteh saya, kesian dia..huhu. Banyak perkara yang kami sembangkan, jadi perjalanan hampir 2 jam setengah itu tidak terasa mana. Rakan-rakannya di belakang mengambil keputusan melelapkan mata sebelum tiba ke destinasi.
Hampir jam 12.30 tengahari kami tiba di Stadium Ipoh, disebabkan B mempunyai urusan penyerahan dokumen, kami melilau sebentar ke tempat lain sebelum temujanjinya jam 2.45 petang. Makan tengahari di Greentown Mall,Ipoh. Sebelum itu mencari-cari alatan penting di Kedai Kain. Shopping kain atau baju, perkara yang saya paling tidak minati. Maka saya hanya menunggu-nunggu di luar sementara mereka siap memilih apa yang dicari. kami makan tengahari dan bersolat di tempat yang sama. Rasa ralat melihat suasana di ruang makanan itu, ramai lelaki Melayu (pada amatan saya kebiasaannya Islam) tidak ke masjid untuk Solat Jumaat. Yang tua-tua pun begitu juga, fenomena akhir zaman yang menakutkan. Tidak hairan Islam masih lagi dijajah pemikirannya oleh golongan kuffar.....
Menyiapkan urusan B di dua tempat, kemudian kami ke Stadium Indera Mulia untuk menyaksikan perbahasan Ucapan Dasar Presiden. Agak meriah dengan Karnival di luar stadium. Membayar RM5 untuk tag pemerhati, kami mengambil tempat yang agak tinggi. Berderet-deret perwakilan yang ada beratur untuk menyatakan pandangan mereka. Paling menarik bagi saya, perwakilan dari Sabah yang meminta agar pihak Pusat mempertimbangkan agar memperkasakan program keahlian dan parti dengan lebih agresif di Sabah kerana mereka amat mengharapkan sokongan dan dokongan dari luar. Penerimaan dari penduduk agak baik sebenarnya, cuma mungkin kerana masalah jentera penerangan dan juga kekurangan sokongan yang baik dari mereka yang berwajib dikesalkan.
Perwakilan itu turut menyatakan, untuk memenangi kerusi di Sabah amatlah tidak mustahil berkat gerak kerja kolektif semua pihak. Pemerkasaan ahli perlu dilakukan dengan lebih bersungguh-sungguh malah kebajikan ahli perlu menjadi keutamaan pihak pimpinan. Ayat yang kelihatan biasa tetapi cukup menusuk: Jangan hanya tahu buat anak tetapi tak pandai jaga anak!...Secara keseluruhan, amatan saya terhadap sesi semalam agak positif. Perwakilan banyak menyentuh isu pendidikan dan juga hal berkenaan pengurusan remaja bermasalah, malah penghargaan terhadap Lajnah Guaman yang terkehadapan dalam membela mereka yang memerlukan keadilan, sedari isu Batu Buruk, Petisyen Pilihanraya, malah bermacam-macam lagi kes yang mana komitmen mereka wajar dipuji.