Di UTP pun ada Masjid Terapung...
Saya dan gerangan adik-adik seperjalanan mengikuti sidang muktamar sehingga petang. Kemudian mereka bercadang untuk kembali ke UTP di Tronoh, Perak. Sebagai ahli rombongan, perasaan teruja saya untuk sampai ke UTP memang tak dapat disangkal lagi. Antara IPTA yang tersohor di negeri Perak, agak berhampiran dengan UiTM Seri Iskandar, Perak. Kami bertolak dari Ipoh hampir jam 5.30 petang. Apa agaknya reaksi adik H, salah seorang warga UTP andaikata dia terserempak saya disana sebelum saya serempak memberitahu? Sungguh mengujakan!Hampir jam 7 malam sampai di UTP. Saya disambut dengan pemandangan yang indah tasik buatan selepas pintu masuk utama. Spontan saya menyebut "Welcome To UTP!" kemudian disambut gelak ketawa adik-adik yang lain. Rupa-rupanya sebelum ini kawasan ini diduduki oleh warga USM, kemudiannya diambil alih oleh UTP yang bermula tahun 1999. Tun Dr. Mahathir merupakan pengasas IPT ini yang menawarkan kursus kejuruteraan dan juga teknologi maklumat.
Sampai di Kolej Kediaman adik-adik berempat itu, saya sengaja menghubungi adik H. Satu kejutan buatnya kerana tidak menyangka saya kemari. Kami bertemu di kafe sebelum membeli nasi lemak tersohor yang sangat-sangat diidamkan-idamkan oleh adik B, huhu. Rupa-rupanya ramai juga warga asing disini, saya lihat yang berpakaian seperti warga Arab dan Somalia. Selebihnya saya lihat ramai penuntut yang berbangsa Cina mendiami UTP ini.
Adik H itu saya kenali ketika kami sama-sama berprogram di Dungun satu ketika dulu. Menariknya, kami berkenalan seketika kemudian saya sudah berani mengajak dia menemani saya ke Program Pilihanraya di Kemaman pada hari yang sama. Adik H seorang yang agak matang, namun tahan bergurau, lebih-lebih lagi dengan saya yang kuat meloyar ni, huhu.. Dia kembali belajar di UTP setelah menamatkan Internshipnya di Paka bulan 6 baru-baru ini.
Menumpang rehat di bilik adik H, rupa-rupanya kolej mereka seperti mini apartment, ibarat sebuah rumah yang ada 6 bilik, satu ruang makan dan juga bilik air. Cukup selesa untuk belajar, tidak hairanlah warga UTP amat beruntung, kerana mereka juga diibaratkan anak emas PETRONAS, mengikat janji dan menerima biasiswa selepas menamatkan pengajian di sini. Setiap bilik dibekalkan internet percuma, jeles betul, huhu. Maka sempatlah saya mencoretkan catatan blog saya sebelum ini di UTP, ekslusif kenangan ini...!
Kami bersembang tentang perkembangan terkini masing-masing. Adik H dan rakan-rakannya yang lain melain saya seperti melayan tetamu yang selayaknya. Sungguh terharu dengan jalinan ukhuwwah yang bermula. Cuma yang agak kelakarnya, ramai tidak percaya saya ini lebih tua dari adik H, huhu. Mungkin juga adik H itu lebih tinggi dan nampak matang dari saya. Sampaikan seorang adik itu berkali-kali mendapatkan kepastian yang adakah saya ini lebih tua dari adik H, alahai....
Selepas isyak, mereka mempunyai agenda tersendiri, maka berdiamlah saya di bilik adik H sambil mengupdate blog saya. Malam ini ada Usrah di Chabang Tiga, huhu. Sedih bila sahabat saya petang tadi menghantar sms memaklumkan hal tersebut dan menyuruh saya membawa Hadith 40. Apapun, saya sudah redha dengan keputusan yang saya ambil, maka disitu sudah pasti ada kos melepas yang harus saya terima.
Usai pertemuan, mereka rupa-rupanya ada agenda lain pula. 'Projek A', tertanya-tanya juga saya apa dia, rupa-rupanya untuk 'Projek Amar Makruf Nahi Mungkar'. Membanteras aktiviti dating malam-malam. Mereka akan meronda di sekitar tempat-tempat sasaran dan menasihati mereka yang terlibat. Bagus program ni, malah tiada halangan daripada pihak pentadbiran, demi menjaga nama baik Universiti. Ibarat Jawatankuasa Rukun Tetangga pula, tapi di kampus. Mudah-mudahan suatu masa nanti di lain-lain kampus pun mampu untuk berbuat hal yang sama.
Adik H tidak terlibat turun, tapi dia menyediakan makan malam untuk mereka yang terlibat. Saya sebetulnya agak letih sehari dua ini, bermula dari terpaksa berkejar ke KL, kemudian sampai pulak ke Perak, namun bersemangat kembali dengan keletah adik-adik kampus yang mesra-mesra belaka. Serasa rindu untuk kembali bergelar pelajar, insyaALLAH, cuma suasana dan juga kaedah yang berbeza. Hampir jam 2.30 baru melelapkan mata. Catatan ini bakal bersambung lagi...Wassalam.
No comments:
Post a Comment