Friday, August 15, 2008

CATATAN NARUMI EPISOD 1:TEMAN KE PERAK,YOP...!

Pagi Jumaat, sesuatu yang signifikan di Terengganu adalah Kuliah Ayah Chik, malah masa untuk merehatkan diri bagi mereka yang bekerja. Keadaan yang tidak akan mungkin sama (setakat ini!) di Lembah Klang. Rakan-rakan saya bekerja hari ini. Najibah terkocoh-kocoh menyiapkan dirinya untuk ke pejabat. Saya ada janji hari ini, sementelah pula, sudah dipelawa adik F, salah seorang housematenya untuk ke Perak. Kami keluar dari rumah hampir jam 9, mengambil teksi untuk bertemu rakannya di LRT Asia Jaya. Rakan si F memperkenalkan dirinya sebagai D. kami mengambil teksi dan bertolak ke Damansara. Perjalanan yang kurang sesak mengambil masa lebih kurang 20 minit. Sebenarnya masih boleh dijimatkan lagi, namun kami tercari-cari tempat janji temu dengan rakan F yang menunggu berhampiran, adik B. Dialah tuan punya kereta yang akan membawa kami ke Perak.
Selesai berjumpa, kami meneruskan perjalanan sebelum berhenti di Hentian R&R Tapah, untuk mengambil seorang lagi rakan F, si M. Jadilah 5 orang musafir dalam perjalanan kali ini. F, B, D, M dan Narumi dalam perjalanan ke Perak. Dalam perjalanan saya berborak dengan B untuk menghilangkan rasa mengantuknya. Lagipun tidaklah rasa mengantuk sangat. Sepanjang perjalanan kelihatan laluan Banjaran Titiwangsa yang berdiri megah dan gua-gua batu kapur yang saya ingat pernah belajar tentangnya dalam sejarah sekolah menengah suatu masa dahulu. B banyak mendengar celoteh saya, kesian dia..huhu. Banyak perkara yang kami sembangkan, jadi perjalanan hampir 2 jam setengah itu tidak terasa mana. Rakan-rakannya di belakang mengambil keputusan melelapkan mata sebelum tiba ke destinasi.
Hampir jam 12.30 tengahari kami tiba di Stadium Ipoh, disebabkan B mempunyai urusan penyerahan dokumen, kami melilau sebentar ke tempat lain sebelum temujanjinya jam 2.45 petang. Makan tengahari di Greentown Mall,Ipoh. Sebelum itu mencari-cari alatan penting di Kedai Kain. Shopping kain atau baju, perkara yang saya paling tidak minati. Maka saya hanya menunggu-nunggu di luar sementara mereka siap memilih apa yang dicari. kami makan tengahari dan bersolat di tempat yang sama. Rasa ralat melihat suasana di ruang makanan itu, ramai lelaki Melayu (pada amatan saya kebiasaannya Islam) tidak ke masjid untuk Solat Jumaat. Yang tua-tua pun begitu juga, fenomena akhir zaman yang menakutkan. Tidak hairan Islam masih lagi dijajah pemikirannya oleh golongan kuffar.....
Menyiapkan urusan B di dua tempat, kemudian kami ke Stadium Indera Mulia untuk menyaksikan perbahasan Ucapan Dasar Presiden. Agak meriah dengan Karnival di luar stadium. Membayar RM5 untuk tag pemerhati, kami mengambil tempat yang agak tinggi. Berderet-deret perwakilan yang ada beratur untuk menyatakan pandangan mereka. Paling menarik bagi saya, perwakilan dari Sabah yang meminta agar pihak Pusat mempertimbangkan agar memperkasakan program keahlian dan parti dengan lebih agresif di Sabah kerana mereka amat mengharapkan sokongan dan dokongan dari luar. Penerimaan dari penduduk agak baik sebenarnya, cuma mungkin kerana masalah jentera penerangan dan juga kekurangan sokongan yang baik dari mereka yang berwajib dikesalkan.
Perwakilan itu turut menyatakan, untuk memenangi kerusi di Sabah amatlah tidak mustahil berkat gerak kerja kolektif semua pihak. Pemerkasaan ahli perlu dilakukan dengan lebih bersungguh-sungguh malah kebajikan ahli perlu menjadi keutamaan pihak pimpinan. Ayat yang kelihatan biasa tetapi cukup menusuk: Jangan hanya tahu buat anak tetapi tak pandai jaga anak!...Secara keseluruhan, amatan saya terhadap sesi semalam agak positif. Perwakilan banyak menyentuh isu pendidikan dan juga hal berkenaan pengurusan remaja bermasalah, malah penghargaan terhadap Lajnah Guaman yang terkehadapan dalam membela mereka yang memerlukan keadilan, sedari isu Batu Buruk, Petisyen Pilihanraya, malah bermacam-macam lagi kes yang mana komitmen mereka wajar dipuji.

1 comment:

Nafastari said...

I wish I was there too! Sememangnya I kat Ipoh on the 15th & 16th tapi I busy kat satu kenduri tu.