Wednesday, August 20, 2008

CATATAN NARUMI EPISOD 2: MASIH DI SENTANG, BATU GAJAH

Rakan-rakan saya menghadiri Forum di Stadium Indera Mulia sementara saya bercadang untuk menemani Mak Cik Rohani di rumah sambil melakukan aktiviti sendiri. Mak Cik Rohani seorang yang sungguh sporting, jarang sebenarnya saya temui insan berumur yang suka melayani kerenah anak muda, apatah lagi yang banyak cakap seperti saya ini, huhu. Banyak perkara yang kami sembangkan sambil menonton Majalah 3.

Mak Cik Rohani berasal dari keturunan Minang namun menetap di Perak, rupa-rupanya orang Minang mengandungi pecahan Minang pulak, Minangkabau, Minang Mendailing dan satu lagi saya lupa jenis Minangnya. Perbezaan antara Minang ini mungkin hanya dari segi dialeknya sahaja. Banyak ilmu yang saya dapat dari Mak Cik Rohani. Orang-orang lama suka menadah kita. Antara pengetahuan baru yang saya dapat malam itu:


Orang tua ada 3 jenis:
1. Tua Bongkok
2. Tua Datuk
3. Tua Kutuk

Tua Bongkok ialah jenis orang tua yang tidak kisahkan hal orang lain, waima anak isteri sekalipun. Tua Kutuk perlu dijauhi kerana tidak boleh dipakai pemikiran dan tingkah lakunya. Tua Datuk yang paling baik kerana sifat prihatin dan cakna kepada orang lain.

4 jenis ajal manusia, 2 darinya Mak Cik Rohani lupa, yang diperturunkan kepada saya hanya dua:

1. Ajal ALLAH - Ajal yang paling baik kerana ia telah ditetapkan oleh ALLAH



2. Ajal Syaitan - Ajal yang dipegang oleh Syaitan kerana perjanjian yang dibuat dengan Syaitan. Contohnya membela Hantu Raya, Pendamping, Susuk dan sebagainya.

Selain itu Mak Cik Rohani turut bercerita pengalaman ketika zaman darurat dahulu. Seingat saya, Perak antara tumpuan malah kubu kuat Bintang Tiga suatu masa dahulu. Pernah orang sekampung Mak Cik Rohani di Tronoh dikelar-kelar lengannya dan dititis limau nipis.

Sungguh kekejaman Bintang Tiga suatu masa dahulu sangat memeritkan. Tambahan pula saya pernah terbaca kisah-kisah sebegitu sebelum ini. Malah Filem 'Tragedi Bukit Kepong' arahan Datuk Jins Shamsuddin begitu membekas di hati saya. Rakan-rakan pulang ketika hampir jam 12 malam dari Ipoh. Makan tengah malam pulak, hai...Baru petang tadi ada kursus diet, tapi pujukan rakan-rakan buat saya mengalah. Iyelah, bukan selalu dapat berkumpul begini. Bersambung semula nanti...Wassalam.

No comments: