Showing posts with label Muktamar PAS Perak. Show all posts
Showing posts with label Muktamar PAS Perak. Show all posts

Wednesday, August 20, 2008

CATATAN NARUMI EPISOD 3: SAYONARA DARUL RIDZUAN...

Stadium Indera Mulia, Ipoh melakar sejarah Muktamar Agung PAS 2008

Ahad, 17 Ogos 2008. Subuh berjemaah bersama sahabat-sahabat tersayang, perasaan yang amat terharu sukar untuk saya gambarkan, dan hampir bertahun-tahun saya rindukan kenangan dan suasana ini, ALLAH makbulkan ketika kami bertemu dalam permusafiran dan Muktamar, alhamdulillah kami juga sempat mengadakan tazkirah lewat subuh bersama-sama. Bercerita masalah dan nasihat-menasihati antara satu sama lain.

Nur memperihalkan tentang hadis Rasulullah yang beliau dapati daripada Buku Perubatan Dr Harun Din mengenai doa yang terbaik. Doa itu merupakan doa dari seorang sahabat yang mendoakan sahabatnya yang lain tanpa diketahui oleh sahabat yang didoakan. Kemudian Allah mengutuskan Malaikat yang bernama Muwakkil yang akan mengaminkan doa sahabat yang mendoakan sahabatnya itu.

Alangkah indahnya ukhuwwah dan jalinan yang ada, namun kadang-kadang kita seringkali terlupa dengan insan yang terdekat dengan kita iaitu keluarga kita yang turut perlu didoakan dan juga didakwahkan dalam kita mengejar matlamat kita setelah memahami rangka perjalanan yang telah disyariatkan ALLAH melalui utusanNYA Rasulullah S.A.W.

Sempat bersarapan pagi mihun goreng di rumah Hayati dan sebelum bertolak, kami bergambar kenang-kenangan di halaman rumahnya. Sayangnya, bukan kamera saya, huhu. Kami bertolak hampir jam 9.30. Sampai di Ipoh, menewar sebentar di gerai, kerana elok-elok kami sampai, sidang berehat seketika.

Ustaz Ridhuan ketika berdemo

Saya sempat ke gerai Ustaz Ridhuan Mohd Nor, Exco Pemuda PAS Pusat yang banyak mengarang buku-buku terkini dunia gerakan Islam di Malaysia. Diskaun terhadap buku yang beliau jual mengujakan saya. Orangnya agak serius namun sempat juga saya meminta tandatangan daripada beliau, hehe.

Sidang bersambung dengan ucapan Kak Aiman Athirah Jundi, wakil Dewan Muslimat PAS Pusat merangkap Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat. Ucapan yang lantang dan penuh bersemangat membahaskan usul yang dibawa. Sidang Muktamar berakhir sebelum asar dengan ucapan penangguhan daripada Presiden PAS. Saya sungguh terkesan dengan ingatan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang tentang petikan dari Surah As-Saff malah sebahagian ucapan beliau.

Perasaan sayu dengan doa penutup daripada Presiden dan harapan saya mudah-mudahan ujian yang mendatang disambut dengan penuh bijaksana dan pengharapan sepenuhnya dari ALLAH. Malah kesatuan ISLAM perlu diperkasakan dari semasa ke semasa agar usaha UMNO untuk melihat PAS berpecah-belah hanya tinggal impian dan anganan. Kami berpisah usai sahaja muktamar tersebut. Mudah-mudahan masih ada lagi peluang sebegini di masa akan datang.

Saya ingin menghadiri Walimah Double K, sementelah peluang itu seolah-olah terbuka luas. Cuma saya mungkin perlu menaiki bas dari Kota Bharu setelah menumpang Kak Anees, macamana ye? Berdoa juga, mudah-mudahan ada rombongan Terengganu yang boleh saya tumpang. Tapi macam hampa, akhirnya saya memutuskan untuk menumpang Kak Anees ke Kelantan dan kemudian naik bas ke Kuala Terengganu.

Hampir 20 minit kami (Saya, Kak Anees, Kak Leni dan seorang lagi kakak yang tidak sempat saya tanyakan namanya) tersesat untuk ke jalan keluar melalui Grik-Gua Musang. Alhamdulillah dipermudahkan akhirnya. Hampir jam 5 kami berhenti makan di RnR Grik, tiba-tiba saya ternampak Aina PRO Nisa' Terengganu dan adiknya Amal! Saya cuba melambai tapi sayangnya dia tidak ternampak, hmm bukan rezeki saya agaknya..huhu.

Sedang kami menjamu selera tiba-tiba Aina dan adiknya datang ke meja kami. Rupa-rupanya dia ingin menegur Kak Lenny, yang mungkin dikenalinya ketika di Mesir dahulu. Peluang didepan mata, lantas segera saya tanyakan kalau-kalau saya boleh menumpang kereta beliau, alhamdulillah, kebetulan masih ada satu kekosongan kerana rakan arwah ibunya Che Ngah Yah (juga emak kepada rakan sepejabat saya) tidak jadi menumpang kereta mereka. Alhamdulillah, rezeki dari Allah.

Maka menumpanglah saya kereta Aina yang dipandu oleh abang beliau bersama isterinya. Banyak perkara yang disembangkan. Saya tidak mengenali Aina secara rapat sebelum ini kerana kami jarang bekerja bersama-sama, tambahan pula Aina bertugas sebagai guru di Setiu. Namun begitu, banyak perkara yang kami bual-bualkan sepanjang perjalanan ini.Suasana jalan yang banyak selekoh kadang-kadang agak mendebarkan. Tambahan hujan turun ketika maghrib hampir tiba.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Tantawi

Kami tiba di puncak gunung dan berhenti di salah sebuah hentian di situ. Terserempak dengan Ustaz Nasaruddin Tantawi , Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat bersama-sama dengan isteri dan rakan beliau.Perjalanan disambung dan kemudian berhenti seketika di rumah keluarga arwah emak Aina, Allahyarhamah Hajjah Hamidah Daud, di Apal, Besut. Ceria sungguh keluarga ibu saudara Aina, penuh dengan gelak ketawa dan harmoni. Kami dijamu dengan goreng pisang dan goreng cempedak. Hampir jam 11.30 perjalanan disambung semula.

Sebelumnya saya telah menghubungi Kak Baity meminta izin untuk menumpang tidur di rumahnya. Kami sampai di Gelugur Kedai hampir jam 1.30 pagi. Kak Baity sempat menggoreng nasi untuk makanan adiknya esok. Sempat juga kami bersembang, tambahan pula bagi saya ini antara kejutan, keajaiban, malah rezeki dari ALLAH untuk saya yang langsung tidak saya jangkakan. Apa yang penting saya mohon agar TAWAKKAL dan REDHA jadi pakaian saya, wallahu'alam.

CATATAN NARUMI EPISOD 2: MASIH DI SENTANG, BATU GAJAH

Rakan-rakan saya menghadiri Forum di Stadium Indera Mulia sementara saya bercadang untuk menemani Mak Cik Rohani di rumah sambil melakukan aktiviti sendiri. Mak Cik Rohani seorang yang sungguh sporting, jarang sebenarnya saya temui insan berumur yang suka melayani kerenah anak muda, apatah lagi yang banyak cakap seperti saya ini, huhu. Banyak perkara yang kami sembangkan sambil menonton Majalah 3.

Mak Cik Rohani berasal dari keturunan Minang namun menetap di Perak, rupa-rupanya orang Minang mengandungi pecahan Minang pulak, Minangkabau, Minang Mendailing dan satu lagi saya lupa jenis Minangnya. Perbezaan antara Minang ini mungkin hanya dari segi dialeknya sahaja. Banyak ilmu yang saya dapat dari Mak Cik Rohani. Orang-orang lama suka menadah kita. Antara pengetahuan baru yang saya dapat malam itu:


Orang tua ada 3 jenis:
1. Tua Bongkok
2. Tua Datuk
3. Tua Kutuk

Tua Bongkok ialah jenis orang tua yang tidak kisahkan hal orang lain, waima anak isteri sekalipun. Tua Kutuk perlu dijauhi kerana tidak boleh dipakai pemikiran dan tingkah lakunya. Tua Datuk yang paling baik kerana sifat prihatin dan cakna kepada orang lain.

4 jenis ajal manusia, 2 darinya Mak Cik Rohani lupa, yang diperturunkan kepada saya hanya dua:

1. Ajal ALLAH - Ajal yang paling baik kerana ia telah ditetapkan oleh ALLAH



2. Ajal Syaitan - Ajal yang dipegang oleh Syaitan kerana perjanjian yang dibuat dengan Syaitan. Contohnya membela Hantu Raya, Pendamping, Susuk dan sebagainya.

Selain itu Mak Cik Rohani turut bercerita pengalaman ketika zaman darurat dahulu. Seingat saya, Perak antara tumpuan malah kubu kuat Bintang Tiga suatu masa dahulu. Pernah orang sekampung Mak Cik Rohani di Tronoh dikelar-kelar lengannya dan dititis limau nipis.

Sungguh kekejaman Bintang Tiga suatu masa dahulu sangat memeritkan. Tambahan pula saya pernah terbaca kisah-kisah sebegitu sebelum ini. Malah Filem 'Tragedi Bukit Kepong' arahan Datuk Jins Shamsuddin begitu membekas di hati saya. Rakan-rakan pulang ketika hampir jam 12 malam dari Ipoh. Makan tengah malam pulak, hai...Baru petang tadi ada kursus diet, tapi pujukan rakan-rakan buat saya mengalah. Iyelah, bukan selalu dapat berkumpul begini. Bersambung semula nanti...Wassalam.

Tuesday, August 19, 2008

CATATAN NARUMI EPISOD 2: ZIARAH KE BATU GAJAH PULAK!

Sempat melalui Kellie's Castle tapi tidak berpeluang singgah...

Sabtu pagi, 16 Ogos 2008. Saya terkejut dari tidur agak lambat, namun masih sempat dengan waktu subuh. Adik-adik UTP agak sibuk bersiap-siap menuju ke destinasi masing-masing. Ingatkan sempat la berjumpa kali terakhir, rupa-rupanya bukan rezeki saya kali ini. Tak mengapalah, sekurang-kurangnya kami dah berkenalan semampu mungkin.

Perjalanan saya ke Ipoh agak terlambat pagi itu, namun hikmahnya saya sempat bersembang dengan adik A, kelahiran Melaka namun agak lama tinggal di Terengganu. Kami berbicara soal-soal kehidupan (hehe, berfalsafah je nampaknya). Soal don't judge the book by its cover, perlu menghormati manusia dan memberikan hak yang sepatutnya pada mereka walau bagaimanapun dia, namun dengan syarat kita wajar berhati-hati.

Adik A menceritakan pengalaman ayahnya ketika mahu membeli barang di Terengganu, ayah si A ini suka berpakaian biasa-biasa saja walaupun dia sebenarnya seorang jurutera. Ketika dia mahu membuat pesanan barang, penjual di kedai tersebut memandangnya dengan kehairanan. "Pak Cik ada duit ke nak beli barang ni?". Tidak percaya dengan penampilan ayah A mampu membeli barang-barang yang harganya mungkin menjangkau puluhan ribu.

Ayah A dengan nada bersahaja terus mengeluarkan kad kredit emas beliau, terus penjual tersebut terkejut. Pada borang pembelian, dia dengan sengaja menulis jawatan 'Manager of...', Jabatan beliau bekerja. Namun sempat lagi dia menasihati penjual tersebut agar jangan memandang rendah pada orang lain, walau setua atau seselekeh mana pun dia, terkedu penjual itu dengan nasihat 'berbisa' ayah A.Pengajaran bersama untuk Narumi disini, huhu.

Kami bertolak hampir jam 11.30 pagi, sampai di Stadium Indera Mulia hampir jam 12 tengahari. Ralit mendengar ucapan dari perwakilan-perwakilan negeri yang sempat saya ikuti. Perwakilan dari Pulau Pinang yang digelar 'Pulau Pening', hehe. Mereka menyambut memandang positif isu muzakarah@muqabalah namun meminta agar pimpinan PAS Pusat memantau perjalanan isu tersebut agar tidak dimanipulasi sewenag-wenangnya oleh UMNO dan juak-juaknya itu. Pantun menarik perwakilan PAS Pulau Pinang:

Balik Pulau, Bayan Lepas,
Sini terpelahau, sana terlepas,
Baik UMNO atau Orang PAS

Terserempak dengan rakan saya, Nur dan juga Aisyah semalam. Kami berjanji untuk bertemu hari ini, turut ada sama Hayati, atau saya lebih suka memanggilnya Aqilah (nama anak saudara beliau). Saya dan adik-adik UTP berpisah disitu kerana mereka akan pulang semula ke Tronoh jam 2 petang. Saya, Nur, Aisyah dan juga Aqilah petang itu ke rumah Aqilah di Batu Gajah. Alang-alang turun ke Perak, berziarahlah ke rumah sahabat terdekat.

Sampai di Batu Gajah hampir jam 3 petang. Rupa-rupanya emak si Hayati sudah menyediakan juadah tengahari buat kami. Masakan yang agak ringkas, tapi air tangan chef professional memang membuka selera kami. Tambahan pula beberapa hari makan di Perak, tak terasa masakan yang asli, pedar dan kurang rasa masakan. Sup sayur ayam dan juga ayam goreng yang diperap dengan halia, benar-benar membuat kami kecur liur.

Saya kembali ke Batu Gajah setelah hampir 3 tahun yang lalu pernah sampai ke sini waktu menemani Hayati melawat ayahnya Allahyarham Haji Ibrahim yang telah kembali ke rahmatullah 1 Januari 2005 di Hospital Besar Ipoh. Layanan keluarga Hayati sangat baik dan mesra. Saya juga kerap bertanya khabar emaknya yang kini tinggal bersama-sama adiknya yang sekarang belajar dalam tingkatan 6 rendah, Burhan namanya.

Usai makan tengahari, (yang saya boleh katakan makan petang!) kami berehat di ruang tamu sambil bersembang-sembang dengan Mak Cik Rohani. Mak Cik Rohani seorang yang gemar dengan herba-herba tradisional dan juga mempunyai kepakaran mengurut. Saya dan Nur sempat merasa herba yang dibuat oleh beliau sendiri dan juga agak mudah untuk disediakan. Kunyit sebesar kelingking, asam jawa, gula kabung dicampur dan dimasak dengan air, kemudian diminum. Baik untuk sistem peredaran darah dan pelawasan.

Kami berehat petang itu dan tidak keluar kemana-mana, tambahan pula hujan dan ribut yang turun. Hayati dan ibunya ke Pekan Batu Gajah untuk membaiki pengingin hawa yang rosak. Tersedar hampir jam 7 malam, bagus betul tidur maghrib-maghrib begini. Hmmm, nasib baik saya teringat, malam ini malam Nisfu Syaaban, alhamdulillah cuba melakukan yang terbaik meskipun berada dalam permusafiran, membaca Yaasin dan solat sunat menyambut Nisfu Syaaban bersama rakan-rakan saya yang lain. Bersambung lagi catatan akan datang,Wassalam.