Tuesday, August 19, 2008

CATATAN NARUMI EPISOD 2: ZIARAH KE BATU GAJAH PULAK!

Sempat melalui Kellie's Castle tapi tidak berpeluang singgah...

Sabtu pagi, 16 Ogos 2008. Saya terkejut dari tidur agak lambat, namun masih sempat dengan waktu subuh. Adik-adik UTP agak sibuk bersiap-siap menuju ke destinasi masing-masing. Ingatkan sempat la berjumpa kali terakhir, rupa-rupanya bukan rezeki saya kali ini. Tak mengapalah, sekurang-kurangnya kami dah berkenalan semampu mungkin.

Perjalanan saya ke Ipoh agak terlambat pagi itu, namun hikmahnya saya sempat bersembang dengan adik A, kelahiran Melaka namun agak lama tinggal di Terengganu. Kami berbicara soal-soal kehidupan (hehe, berfalsafah je nampaknya). Soal don't judge the book by its cover, perlu menghormati manusia dan memberikan hak yang sepatutnya pada mereka walau bagaimanapun dia, namun dengan syarat kita wajar berhati-hati.

Adik A menceritakan pengalaman ayahnya ketika mahu membeli barang di Terengganu, ayah si A ini suka berpakaian biasa-biasa saja walaupun dia sebenarnya seorang jurutera. Ketika dia mahu membuat pesanan barang, penjual di kedai tersebut memandangnya dengan kehairanan. "Pak Cik ada duit ke nak beli barang ni?". Tidak percaya dengan penampilan ayah A mampu membeli barang-barang yang harganya mungkin menjangkau puluhan ribu.

Ayah A dengan nada bersahaja terus mengeluarkan kad kredit emas beliau, terus penjual tersebut terkejut. Pada borang pembelian, dia dengan sengaja menulis jawatan 'Manager of...', Jabatan beliau bekerja. Namun sempat lagi dia menasihati penjual tersebut agar jangan memandang rendah pada orang lain, walau setua atau seselekeh mana pun dia, terkedu penjual itu dengan nasihat 'berbisa' ayah A.Pengajaran bersama untuk Narumi disini, huhu.

Kami bertolak hampir jam 11.30 pagi, sampai di Stadium Indera Mulia hampir jam 12 tengahari. Ralit mendengar ucapan dari perwakilan-perwakilan negeri yang sempat saya ikuti. Perwakilan dari Pulau Pinang yang digelar 'Pulau Pening', hehe. Mereka menyambut memandang positif isu muzakarah@muqabalah namun meminta agar pimpinan PAS Pusat memantau perjalanan isu tersebut agar tidak dimanipulasi sewenag-wenangnya oleh UMNO dan juak-juaknya itu. Pantun menarik perwakilan PAS Pulau Pinang:

Balik Pulau, Bayan Lepas,
Sini terpelahau, sana terlepas,
Baik UMNO atau Orang PAS

Terserempak dengan rakan saya, Nur dan juga Aisyah semalam. Kami berjanji untuk bertemu hari ini, turut ada sama Hayati, atau saya lebih suka memanggilnya Aqilah (nama anak saudara beliau). Saya dan adik-adik UTP berpisah disitu kerana mereka akan pulang semula ke Tronoh jam 2 petang. Saya, Nur, Aisyah dan juga Aqilah petang itu ke rumah Aqilah di Batu Gajah. Alang-alang turun ke Perak, berziarahlah ke rumah sahabat terdekat.

Sampai di Batu Gajah hampir jam 3 petang. Rupa-rupanya emak si Hayati sudah menyediakan juadah tengahari buat kami. Masakan yang agak ringkas, tapi air tangan chef professional memang membuka selera kami. Tambahan pula beberapa hari makan di Perak, tak terasa masakan yang asli, pedar dan kurang rasa masakan. Sup sayur ayam dan juga ayam goreng yang diperap dengan halia, benar-benar membuat kami kecur liur.

Saya kembali ke Batu Gajah setelah hampir 3 tahun yang lalu pernah sampai ke sini waktu menemani Hayati melawat ayahnya Allahyarham Haji Ibrahim yang telah kembali ke rahmatullah 1 Januari 2005 di Hospital Besar Ipoh. Layanan keluarga Hayati sangat baik dan mesra. Saya juga kerap bertanya khabar emaknya yang kini tinggal bersama-sama adiknya yang sekarang belajar dalam tingkatan 6 rendah, Burhan namanya.

Usai makan tengahari, (yang saya boleh katakan makan petang!) kami berehat di ruang tamu sambil bersembang-sembang dengan Mak Cik Rohani. Mak Cik Rohani seorang yang gemar dengan herba-herba tradisional dan juga mempunyai kepakaran mengurut. Saya dan Nur sempat merasa herba yang dibuat oleh beliau sendiri dan juga agak mudah untuk disediakan. Kunyit sebesar kelingking, asam jawa, gula kabung dicampur dan dimasak dengan air, kemudian diminum. Baik untuk sistem peredaran darah dan pelawasan.

Kami berehat petang itu dan tidak keluar kemana-mana, tambahan pula hujan dan ribut yang turun. Hayati dan ibunya ke Pekan Batu Gajah untuk membaiki pengingin hawa yang rosak. Tersedar hampir jam 7 malam, bagus betul tidur maghrib-maghrib begini. Hmmm, nasib baik saya teringat, malam ini malam Nisfu Syaaban, alhamdulillah cuba melakukan yang terbaik meskipun berada dalam permusafiran, membaca Yaasin dan solat sunat menyambut Nisfu Syaaban bersama rakan-rakan saya yang lain. Bersambung lagi catatan akan datang,Wassalam.






No comments: